HENDAK seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
Itulah pepatah yang dipegang warga senja, Encik Mohamed Hamzah Sharif, dalam mengubah keadaan kesihatannya menjadi lebih baik meskipun usia menjangkau lebih 70 tahun.
Ini selepas tahap kesihatannya merosot menyusuli peranan yang dimainkannya selaku pemberi jagaan sepenuh masa kepada arwah isterinya selama bertahun lamanya.
Malah tiga tahun terakhir sebelum pemergian Allahyarhamha Alwiyah Alwee pada 2016, Encik Mohamed Hamzah langsung tidak memantau keadaan kesihatannya dengan baik selain makan ubat bagi penyakit kronik yang dihidapinya.
Beliau akan menemani arwah isterinya itu setiap masa - termasuk ke poliklinik, hospital, rawatan dialisis atau sekadar berjalan-jalan di luar rumah.
Akibatnya, keadaan kencing manisnya langsung tidak terkawal, tekanan darah meningkat dan keadaan jantungnya agak kurang baik. Kakinya juga sering sakit sehinggakan beliau hanya mampu beribadah di atas kerusi.
Namun, semua itu berubah selepas bapa lima anak yang sudah bergelar datuk itu membulatkan tekad untuk mengubah gaya hidupnya.
"Jika sebelum ini saya gemar makan pada lewat malam, makan dan minum manisan, dan tidur selepas makan, kini saya ubah kepada gaya hidup lebih sihat.
"Pemakanan saya setiap hari kini lebih kepada buah-buahan dan sayur-sayuran, ikan dan ayam.
"Saya juga kurangkan manisan.
"Tapi yang membuat saya kurang makan adalah kerana gaya hidup aktif yang kini saya amalkan hampir setiap hari," kata pesara polis yang kini berusia 75 tahun.
Beliau yang rajin berjalan pantas ulang-alik ke masjid setiap subuh kemudian akan meneruskan kegiatan berjalan di kawasan East Coast ditemani anak bongsunya dan pembantu rumahnya.
Kini, beliau mampu berjalan sejauh lima kilometer selama sejam tanpa henti sehingga empat kali seminggu.
Ini belum lagi kegiatan berjalan pantas ke pasar untuk membeli keperluan dapur selain ke masjid yang masih dilakukan sehingga kini.
Ini berbeza berbanding semasa beliau mula mengamalkan kegiatan berjalan pantas ini, dengan beliau hanya mampu berjalan selama 15 minit sebelum dinaikkan kepada sekitar setengah jam, sebanyak sekali dua setiap minggu.
Hasilnya: Dalam tempoh tiga tahun, selain berat badannya turun daripada 82 kilogram kepada 72 kilogram, kadar kencing manis dan tekanan darahnya kini lebih terkawal dan dalam keadaan yang sesuai dengan usianya.
Beliau juga berjaya mengurangkan dosaj ubat bagi kencing manis dan tekanan darahnya dan kekerapannya berjumpa doktor di poliklinik dikurangkan kepada sekali setiap empat hingga enam bulan.
Disebabkan beliau tidak perlu makan banyak ubat, maka kesan sampingan pada tubuhnya juga berkurangan, dan lebih penting lagi beliau dapat menjimatkan kos jagaan kesihatannya.
SOKONGAN KELUARGA
Menurutnya, selain dirinya sendiri yang hendak berubah, beliau juga menganggap sokongan anak-anak sebagai faktor utama yang mendorongnya berbuat demikian.
Setiap kali beliau berjalan pantas, beliau pasti akan ditemani anak bongsunya, Dr Fadzil Hamzah, yang merupakan doktor pakar dalam perubatan sukan.
Kata Dr Fadzil:
"Jika saya sedaya upaya membantu kehidupan pesakit saya, lebih penting lagi bagi saya bantu bapa saya sendiri.
"Lagipun, saya telah lihat arwah ibu dan banyak pesakit saya yang menderita pelbagai penyakit kronik pada usia senja mereka.
"Padahal usia tua bermakna seseorang itu menghabiskan masa bersama yang tersayang - bukannya di hospital.
"Segala simpanan yang dibuat sepatutnya dihabiskan pada perkara dan kegiatan yang menyelesakan, dan kurang ke atas kos jagaan kesihatan."
Ditanya adakah rutin gaya hidup sihatnya akan diteruskan dalam masa pandemik ini, Encik Mohamed Hamzah yang aktif dalam atletik, bola sepak dan bina badan semasa zaman mudanya, berkata:
"Ya sudah pasti, dengan penyesuaian terus dibuat.
"Saya dinasihatkan elakkan kawasan yang sesak semasa bersenam dalam kawasan tertutup.
"Saya juga akan bersenam semasa di luar waktu sibuk, seperti sebelum matahari terbit dan di kawasan terbuka.
"Saya juga akan memakai pelitup apabila tidak bersenam selain menjaga kebersihan diri termasuk cuci tangan dan elak daripada memegang muka tanpa perlu.
"Tapi yang penting sekali, saya tidak akan bersenam jika tidak sihat."
"Jika sebelum ini saya gemar makan pada lewat malam, makan dan minum manisan, dan tidur selepas makan, kini saya ubah kepada gaya hidup lebih sihat.
Pemakanan saya setiap hari kini lebih kepada buah-buahan dan sayur-sayuran, ikan dan ayam.
Saya juga kurangkan manisan.
Tapi yang membuat saya kurang makan adalah kerana gaya hidup aktif yang kini saya amalkan hampir setiap hari."
- Encik Mohamed Hamzah Sharif, pesara polis yang kini berusia 75 tahun.