Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Teknologi pengesan gerak mata bantu Riz berhubung

Penggunaan peranti 'Tobii' diibaratkan golongan kurang upaya sebagai "jendela untuk melihat dunia luar"
Feb 02, 2021 | 05:30 AM



MESKIPUN perbualan antara kami kelihatan seperti biasa, dengan menggunakan aplikasi WhatsApp, namun kali ini, ia sangat berbeza.



"Sabar tau, menaip menggunakan mata lambat," kata mantan penyiar dan personaliti setempat, Riz Sunawan.



Riz, atau nama sebenarnya Asri Sunawan, 42 tahun, yang menghidapi penyakit saraf motor neuron (MND) atau lebih dikenali sebagai Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS), kini memanfaatkan peranti 'Tobii' - yang menggunakan teknologi pergerakan mata untuk menaip - bagi membolehkannya berhubungan dan berbual 'seperti biasa'.



Dengan menggunakan 'Tobii', Riz boleh ke Internet, guna media sosial dan menaip - tanpa perlu bergantung pada sesiapa.



"Saya diperkenalkan kepada Tobii oleh ahli terapi pertuturan selepas menjalani pembedahan tracheotomi sekitar lewat September tahun lalu," kata karyawan yang ramah dan lemah lembut itu semasa mengongsi pengalamannya dengan Berita Harian baru-baru ini.



Peranti 'Tobii' ini membolehkan pengguna menekan butang dan menaip di komputer. Ia juga boleh dipasang di kerusi roda bermotor atau bertindak sebagai alat kawalan jauh, sebagai contoh, untuk menggerakkan fungsi katil.



Peranti ini mengesan pergerakan mata si pengguna dan ia kemudian memaparkan pergerakan mata itu di skrin komputer.



Menurut syarikat pengeluar peranti ini, kemudahan ini membolehkan seseorang tidak lagi memerlukan papan kunci (keyboard) dan tetikus untuk menaip - sekali gus membolehkan individu kurang upaya menikmati kehidupan lebih bermakna.



Secara asas, alat ini mengeluarkan cahaya inframerah dan ia terpantul di mata pengguna.



Pantulan ini dikesan oleh kamera yang menjejak pergerakan mata.



Menerusi penapisan dan pengiraan rumit, alat yang menjejak pergerakan mata ini tahu di mana seseorang pengguna melihat.



"Meskipun konsep ini kelihatan mudah, sejumlah besar penyelidikan dan pengembang dijalankan untuk pergerakan mata Tobii Dynavox untuk membolehkannya berfungsi dengan cara yang mudah," kata Tobii Dynavox, sebuah unit perniagaan dalam Tobii Group di laman rasminya.



"Tobii ni kena dicuba dulu sama ada sesuai atau tidak dengan mata kita. Apabila peranti ni diperkenalkan, saya mula kerap berlatih menggunakannya. Tobii, bagi golongan kurang upaya seperti kami, adalah jendela untuk melihat dunia luar," katanya lagi.



Dalam perbualan kami, Riz mengakui jejarinya kian lemah dan beliau tidak lagi mampu menggunakan telefon bimbit - tidak seperti enam bulan lalu.



Ini menunjukkan betapa penyakit saraf begitu traumatik terhadap pesakitnya. Setiap sendi tubuh secara perlahan-lahan berhenti berfungsi menjadikan seseorang layuh dan longlai.



Pada awal September tahun lalu, keadaan Riz berubah kritikal kerana sukar bernafas, menyebabkan beliau dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH)



"Disebabkan keadaan diri dan gejala yang ada, ditambah pula dengan daya tahan badan yang rendah, saya perlu diasingkan dan menjalani ujian Covid-19.



"Hasil ujian pertama adalah negatif dan keputusannya sama untuk ujian kedua, tetapi pada hari ketiga hasil ujian tu, sistem pernafasan gagal berfungsi, menyebabkan saya tidak sedarkan diri dan pasukan perubatan melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) untuk beberapa minit dan melakukan intubasi.



"Pasukan perubatan berjaya menyedarkan saya dan semasa intubasi tu, mereka memasukkan tiub dari mulut terus ke kerongkong dan paru-paru. Saya dipantau beberapa hari di unit jagaan rapi," ceritanya.



Menurut Riz, selepas beberapa hari, tiub intubasi ditarik keluar dan beliau dipakaikan topeng pernafasan.



"Saya boleh bercakap tetapi tercungap-cungap dan paru-paru ni tak boleh tampung topeng pernafasan tu, jadi kena intubasi semula.



"Selepas pembedahan tracheotomi, keadaan saya mula stabil dan masa tu ahli terapi pertuturan mula perkenalkan saya dengan Tobii," terang Riz.



Namun di sebalik dugaan besar yang dihadapinya, beliau tetap cekal dan tabah mengharungi ujian.



"Saya sekarang makan dengan diberikan susu tetapi ahli terapi pertuturan mahu saya cuba makan makanan yang pekat kerana urat-urat (kerongkong) yang membantu menelan makanan masih berfungsi. Jadi selang hari saya makan bubur atau sop pekat," ujarnya.



Siapa menyangka dalam keadaan jasmani dirinya yang makin lemah, hati dan semangatnya begitu kuat untuk terus menyumbang kepada masyarakat.



Jiwa keihsanan Riz menyerlah.



Tidak ramai mengetahui Riz sejak lima-enam tahun lalu masih terus menjalankan tugasnya sebagai anggota Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Jawatankuasa Bulan Bahasa.



Di samping itu, beliau gigih dalam usaha meningkatkan kesedaran ramai tentang ALS dan MND - kedua-dua penyakit yang tiada penawarnya pada masa ini - dengan kempen di media sosial menggunakan tanda pangkah #rizfightmnd.



Pada masa yang sama, beliau membantu mengumpul derma untuk pesakit ALS sepertinya, Encik Muhammad Nazri Mohd Abdul Wahab, 31 tahun, yang bergantung kepada ibunya, Cik Salimah Hallel, bagi kegiatan hariannya disebabkan pergerakannya yang amat terhad. Contohnya, Encik Nazri akan menggerakkan matanya, kiri kanan sebagai tanda 'ya' atau 'tidak'.



"Sebab tu saya sangat terkesan dan tersentuh dengan keadaan Nazri, kerana itu juga saya berazam membantunya mengumpul derma.



"Ini bukan hanya untuk melanjutkan bantuan kepada yang lain tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran ramai. Alhamdulillah, sokongan masyarakat sangat baik. Orang ramai derma susu, lampin pakai buang, wang dan sebagainya," katanya.



Dalam catatan di Instagram, Riz mendedahkan bahawa Encik Nazri bergantung kepada mesin seperti alat pernafasan, dengan kesemuanya boleh mencecah $30,000.



"Selain itu barangan keperluan harian seperti susu serta barangan bekalan perubatan menelan belanja ribuan dolar sebulan pastinya menjadi beban ke atas keluarga ini. Adik Nazri, Huda, merupakan satu-satunya pencari nafkah bagi keluarganya," katanya.



Usaha Riz turut mendapat sokongan artis-artis tempatan seperti Najib Ali, Huda Ali, Hafiz Nasir, Syarif, Marina Yusoff, Syed Azmir dan Fadhlur Rahman, yang menerbitkan satu video ringkas yang menerangkan tentang penyakit MND serta cabaran yang dihadapi pesakitnya.



Video hitam putih sepanjang 3 minit 24 saat itu boleh ditonton di laman http://bit.ly/rizfightsmnd



Secara am, ALS dihidapi kira-kira 300 hingga 400 orang di Singapura.



Lebih mengesankan lagi, kebanyakan pesakit hanya dapat bertahan bagi tempoh purata sehingga lima tahun sahaja.



"Kehidupan seorang pesakit #MND / #ALS memang amat mencabar bukan hanya kepada pesakit tetapi juga keluarganya. Secara purata jangka hayat kami adalah 2-5 tahun dan tidak banyak yang dapat dilakukan. Disebabkan penyakit ini jarang dihidapi, ia kurang mendapat bantuan mahupun subsidi," kata Riz.



Dalam catatannya di Instagram, Riz mendedahkan bahawa penjagaan pesakit ALS sangat mencabar dan begitu mahal.



Secara purata, ia menelan belanja $250,000 atau lebih, bergantung kepada jangka hayat seseorang.




"Ini yang dinamakan semangat kental sebab saya benar-benar mahu ada keupayaan untuk berkomunikasi... Kehidupan seorang pesakit #MND / #ALS memang amat mencabar bukan hanya kepada si pesakit tetapi juga keluarganya. Secara purata jangka hayat kami adalah 2-5 tahun dan tidak banyak yang dapat dilakukan. Disebabkan penyakit ini jarang dihidapi, ia kurang mendapat bantuan mahupun subsidi... kesedaran membawa kepada kepedulian."
- Riz Sunawan, 42 tahun, menghidapi penyakit saraf MND atau ALS, kini memanfaatkan peranti 'Tobii' untuk memudahkan beliau berhubungan, selain berupaya duduk di kerusi roda condong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >