Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Iman Fandi kerja keras cipta nama dalam muzik

Feb 25, 2021 | 05:30 AM



KELUAR dari zon selesa dan kepompong selamat seorang remaja bagi bertapak dalam dunia peragaan fesyen pada usia semuda 14 tahun agak mengerikan buat Iman Fandi.



Kini, pada usia 20 tahun, anak ikon bola sepak Fandi Ahmad, 58 tahun, dan model asal Afrika Selatan, Wendy Jacobs, 47 tahun itu, sudah membangun kerjaya baru sebagai penyanyi dan penggubah lagu di bawah label rakaman mapan, Universal Music.



Single pertamanya, Timeframe, mengenai kesayuan mengucapkan selamat tinggal dan hidup berjauhan daripada orang tersayang seperti keluarga dan sahabat, sudah pun diterbitkan dengan sambutan luar biasa.



Sejak dilancarkan di saluran Mediacorp Channel 5 dan YouTube Jumaat lalu, klip videonya sudah ditonton lebih 47,000 kali.



Bagi Iman yang dihubungi Berita Harian menerusi Zoom, kegigihan berhempas pulas mengejar impian dan menyemai semangat berdikari pada usia muda merupakan antara nilai murni yang disemai ibu bapanya demi masa depannya.



Fandi dan Wendy juga membangun nyala rasa masing-masing dalam sukan bola sepak atau dunia peragaan dengan bekerja keras sejak usia remaja.



Ikuti wawancara bersama Iman yang diselaraskan Universal Music.



SOALAN (S): Apakah pengertian 'Timeframe' buat Iman?



IMAN: Timeframe adalah lagu yang sangat bermakna buat saya. Sejak kecil, akan ada anggota keluarga saya yang mengembara ke luar Singapura. Saya pun ada keluarga sebelah ibu di Afrika Selatan.



Saya malah rindu siapkan sarapan bersama sanak-saudara, barbeku, pergi ke tepi pantai dan meninjau alam semesta serta haiwan seperti kuda belang dan singa. Keluarga ibu sukakan muzik. Kami akan menari bersama pada waktu santai.



Di sini pula teman-teman saya datang dan pergi. Lagu ini tercipta di kala saya rasa perit mengucapkan selamat tinggal kepada seorang teman yang meninggalkan Singapura.



Saya merasakan lagu ini cukup relevan dalam konteks wabak Covid-19 ini di mana anda pasti merindui seseorang yang jauh di mata tetapi dekat di hati.



Kerana itu, ia lagu pertama ciptaan saya yang diterbitkan dahulu.



S: Anda mencipta lagu ini dalam teksi. Apa yang terlintas di fikiran? Ada tempat lain yang mencetus ilham cipta lagu?



IMAN: Saya berada dalam teksi ketika ilham lagu ini datang. Teksi ini menyusuri lebuh raya. Saya bersedih mengingatkan teman saya. Mentari bersinar terang, silau ke arah mata saya. Tiba-tiba melodi lagu ini muncul di fikiran.



Saya merakamnya dalam nota suara di telefon bimbit. Saya tulis rangkap pertama korus lagu ini dan menyambungnya di rumah. Pemandu teksi itulah yang pertama mendengar rangka lagu saya!



Biasanya, saya mencipta lagu di bilik tidur saya. Ada satu lagu pula dicipta ketika saya sedang mandi!



S: Bagaimana pengalaman merakam klip video muzik lagu ini? 



IMAN: Saya perlu menenangkan diri saya agar selesa di depan kamera. Saya belajar tentang perlunya seorang bakat datang tepat pada masa agar rakaman berjalan lancar.



Terlalu banyak dandanan dan pakaian perlu ditukar ganti. Nak bersiap sahaja makan masa antara 10 minit dengan setengah jam.



Pada akhirnya, seronok menyiapkan klip video ini kerana pengarah dan penerbitnya tahu apa yang mereka mahu.



S: Ada babak Iman makan coklat dalam klip video ini. Apakah anda penggemar coklat?



IMAN: Sebenarnya, saya paling gemar manisan buah-buahan Gummy Bear! Tapi menggunakan bungkusan coklat dalam video ini nampak lebih cantik. Saya juga sukakan coklat.



S: Apakah yang cuba disampaikan dalam video anda?



IMAN: Di sebalik senyuman gembira yang terukir di bibir, ada kerja keras yang kadangkala membuat kita merintih di sebalik segalanya.



Ada babak saya menangis di penghujung klip video ini. Awalnya, saya terfikir, perlukah babak ini kerana saya tidak mahu ia kelihatan seperti paparan kelemahan.



Namun, segalanya adalah kebenaran. Ada kisah di sebalik setiap lagu yang saya cipta berdasarkan pengalaman peribadi.



Semua orang tidak sempurna tetapi berusaha menjadi yang lebih baik dari hari semalam.



S: Bagaimana rasanya bermula sebagai model pada usia 14 tahun menerusi peraduan The New Paper New Face dengan gelaran Miss Popularity dan New Look Miss Fashionista?



IMAN: Memulakan babak baru dalam kehidupan anda sangat mengerikan. Bermula sebagai model pada usia 14 tahun dan kini sebagai penyanyi pada usia 20 tahun penuh dengan debaran rasa.



Nasib baik ibu selalu ada menasihati saya. Sistem sokongan daripada keluarga membantu.



Apa yang melegakan, saya melakukan sesuatu yang saya minati dan ingin jadikan kerjaya.



S: Apakah nasihat paling bermakna daripada ibu bapa anda?



IMAN: Mereka berpesan agar saya kekal merendah hati, sanggup bekerja keras dan berdikari demi memburu nyala rasa dalam bidang yang saya cintai.



Ibu ayah juga berpesan jangan lupa diri dan jangan lupa siapa yang membantu saya. Hargai mereka yang menyokong saya. Kejar impian yang saya benar-benar inginkan. Jangan buat sesuatu sambil lewa.



Saya seronok dapat corak masa depan saya dengan perkasa minat dalam muzik walaupun saya tahu masa depan boleh berubah. Siapa tahu saya pun boleh jadi cef kerana minat membakar kek dan pastri?



S: Apakah pengajaran daripada Sekolah Sukan Singapura sebagai olahragawan balapan yang anda dapat gunakan dalam kerjaya sebagai model dan penyanyi?



IMAN: Dalam sukan olahraga, selalu ada tembak pemula acara pecut atau larian. Ia tempoh panik dan pecutan adrenalin.



Saya belajar untuk bertenang tetapi sentiasa siap sedia untuk teruskan sahaja perjuangan. Minda harus fokus dan tahu saya perlu bersedia buat penyesuaian segera bagi pelbagai peranan.



Ketik satu jari, saya pelari. Ketik lagi satu jari, saya beralih menjadi model dan kini seorang penyanyi.



S: Anda memburu ijazah psikologi di TMC Academy. Bagaimana ia membantu dalam kehidupan harian?



IMAN: Saya ingin tahu apa yang berlaku di sebalik minda dan tindak-tanduk manusia. Saya selalu dijadikan rujukan atau pakar terapi peribadi teman-teman dalam menghurai masalah mereka. Kursus psikologi ini banyak membantu saya memahami diri saya dan orang lain juga.



S: Apakah persamaan antara anda dengan bapa anda, Fandi Ahmad? Apakah persamaan antara anda dengan ibu anda, Wendy Jacobs?



IMAN: Saya dan ayah saya senang terhibur dengan gurauan dan lawak jenaka. Perkara kecil pun boleh kami gelak tawakan. Kami suka berkongsi jenaka yang dianggap 'cheesy'. Wajah saya dan ibu memang sama. Kami serupa dalam cara kami berbual, lengkap dengan gerakan tangan bagi melahirkan sesuatu.



S: Bagaimana rasanya menjadi pempengaruh sosial? Bagaimana anda tangani komen warganet yang negatif?



IMAN: Tentunya apabila saya membesar di mata awam, saya biasa dengan perhatian orang ramai. Saya belajar bagaimana menangani komen negatif. Sebelum ini, komen sebegini menjejas saya. Sekarang, saya biarkan ia berlalu malah menggunakan komen sebegitu sebagai rangsangan membangun keyakinan diri saya. Ia menjadikan saya ingin bekerja lebih gigih lagi. Cara pemikiran sebegini membantu saya. Memang mengerikan dan tertekan berada dalam perhatian masyarakat. Tapi saya perlu beranikan diri saya. 



S: Apakah hobi Iman?



IMAN: Saya suka melukis, membakar kek dan pastri, menyiapkan kraftangan seperti 'puzzle' dan apa sahaja yang kreatif.



S: Apa pesan Iman buat remaja yang ingin mencuba bidang nyanyian tetapi masih teragak-agak?



IMAN: Anda harus berani mengambil risiko. Cuba sahaja apa yang anda suka lakukan. Saya akui, saya sendiri masih takut mengeluarkan lagu ciptaan saya untuk pendengaran umum tetapi saya terfikir kalau tidak sekarang, bila lagi? Saya tidak harus membiarkan peluang berlalu pergi begitu sahaja. Cari masa yang tepat melancarkan kerjaya anda ini. Buat sahaja mengikut nyala rasa anda.



S: Adakah anda rasa sunyi memandangkan anda satu-satunya anak perempuan dalam lima beradik?



IMAN: Tak juga. Dahulu, saya idamkan miliki seorang kakak. Tapi saya terfikir, saya kelak akan ada kakak dan adik ipar. Jadi tak mengapalah. Saya suka bersantai dengan abang-abang dan adik-adik lelaki saya. Kami bermain dan bersenam bersama. Saya tak rasa kesunyian.



S: Apakah yang anda lakukan sepanjang tempoh Covid-19 tahun lalu dengan pemutus rantaian jangkitan Covid-19 memastikan semua orang duduk di rumah?



IMAN: Saya tak sangka betapa seronoknya duduk di rumah dan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. Saya siapkan banyak kerja tangan dan lukisan. Saya tambah kandungan YouTube. Saya buat kek dan pastri. Saya memperhalusi gubahan lagu saya. Alhamdulillah, ada hikmah di sebalik segala musibah yang melanda. Saya lebih menghargai masa bersama keluarga.



S: Bagaimana Iman Fandi yang sebenar?



IMAN: Saya suka dan berani mencuba sesuatu yang baru. Saya kreatif. Teman-teman saya juga kata saya kelakar. Jadi itulah saya!



S: Apa reaksi anda apabila dapat tahu ayah anda, seorang ikon bola sepak, miliki album beliau sendiri yang bertajuk 'Anugerah'?



IMAN: Saya baru dapat tahu perkara ini baru-baru ini. Sebelum ini, beliau tidak pernah memberitahu saya. Saya cari di YouTube lagu-lagunya dan nampak kulit album 'Anugerah'.  Saya tahu ayah suka menyanyi dalam kereta atau ketika di dapur tetapi biasanya lagu orang lain, bukan lagunya sendiri. Saya rasa, 'Wow!'...mungkin saya warisi minat, nyala rasa, inspirasi dan kecenderungan yang sama sepertinya.





 




Trivia Iman



Tiga lagu pencetus inspirasi...



* Three Little Birds oleh Bob Marley dan The Wailers kerana ia menenangkan dan memberi saya gambaran semuanya baik-baik saja.



* Safety Net oleh Ariana Grande. Lagu ini indah melodi dan liriknya.



* Arcade oleh Duncan Lawrence kerana ia terkenal dan membawa 'feel' yang membangkit semangat.



Tiga perkara menggembirakan...



* Minuman 'smoothie' yang membuatkan saya segar dan sedia bekerja.



* Muzik yang bermutu dan menggembirakan.



* Alam semesta, menghidu udara segar dan disinari mentari menceriakan.



Tiga perkara menyedihkan...



* Komen negatif warganet tetapi saya kini mampu menanganinya.



* Muzik sayu yang memilukan.



* Melihat haiwan sakit dan menghembuskan nafas terakhir atau melihat warga emas berdukacita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >