Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

DUNIA HOLLYWOOD

Tragedi pelakon, kru filem maut di set filem

Empat kejadian ngeri Hollywood disingkap susuli kematian ahli sinematografi Halyna Hutchins
Oct 29, 2021 | 05:30 AM



MALANG memang tidak berbau. Dalam keseronokan dan kegigihan menggalas amanah di set perfileman, beberapa karyawan filem Hollywood terkorban dalam tragedi menyayat hati.



Baru-baru ini, dunia digegarkan dengan kematian ahli sinematografi kelahiran Ukraine, Halyna Hutchins, 42 tahun, yang terbunuh secara tidak sengaja di set penggambaran filem koboi Rust sekitar New Mexico, Amerika.



Dalam latihan menembak menggunakan pistol prop sebelum adegan dirakam, pelakon Alec Baldwin, 63 tahun, dikatakan telah tertembak Hutchins.



Menurut laporan laman CNN, Hutchins dibawa ke hospital dengan helikopter tetapi disahkan meninggal oleh pegawai perubatan di Hospital Universiti New Mexico.



Pengarah Rust, Joel Souza, 48 tahun, dihantar ke Pusat Perubatan Serantau Christus St. Vincent dengan ambulans selepas cedera dalam kejadian itu.



Siasatan masih dijalankan dengan maklumat awal menyatakan garis panduan keselamatan bagi penggunaan pistol dan senapang tidak dipatuhi di set Rust.



Menyusuli kejadian itu, beberapa perubahan dibuat dari segi keselamatan penggunaan senjata di set penggambaran bagi memastikan nyawa pelakon dan karyawan filem tidak dalam bahaya.



Ini termasuk menggantikan penggunaan pistol dan senapang sebenar dengan pistol 'airsoft' atau pistol replika.



Namun, ini bukan kali pertama kemalangan yang membawa pada kematian berlaku di set penggambaran filem Hollywood.



Rencana laman Deadline.com melaporkan dalam tempoh 10 tahun, empat anggota pasukan kamera perfileman terbunuh di set sekitar Amerika.



Jumlah ini seganda lebih daripada kematian berpunca daripada aksi nekad.



Kru kamera terdedah pada pelbagai adegan aksi, baik melibatkan kereta dan kereta api yang memecut laju atau peluru yang tersasar.



Mereka terbunuh dalam nahas pesawat dan helikopter, lemas di lautan, dilanggar kenderaan atau tersepit seandainya trak kamera terbabas dan merempuh kenderaan atau objek lain.



Berita Harian mengumpulkan beberapa kisah kematian di set penggambaran, melibatkan pelbagai karyawan filem Hollywood daripada cabang berbeza.



Tragedi 'Twilight Zone'



Nahas paling dahsyat di Hollywood, jelas laman New York Post, melibatkan pelakon Vic Morrow dan dua pelakon cilik, Renee Shin Yi-Chen, enam tahun, dan Myca Dinh Le, tujuh tahun, pada 1982.



Morrow yang ketika itu berusia 53 tahun awal sebelum itu dikenali sebagai Sarjan Chip Saunders dalam drama Perang Dunia Kedua, Combat.



Dalam Twilight Zone yang diterbitkan Steven Spielberg, Morrow membawa watak Bill Connor, lelaki yang condong pada sikap perkauman dan dibawa mengembara masa dalam pelbagai situasi yang memerlukannya bergaul dengan tiga lelaki - seorang Yahudi, seorang berkulit hitam dan seorang berketurunan Vietnam.



Pada awal pagi 23 Julai, 1982, Morrow, Le dan Chen, sedang melakonkan adegan di mana watak mereka melarikan diri daripada sebuah perkampungan Vietnam untuk mengelakkan helikopter tentera Amerika.



Penggambaran dijalankan di kawasan Indian Dunes di California. Helikopter yang berada 7.3 meter di atas mereka berada dalam keadaan berbahang ekoran penggunaan bahan peledak piroteknik bagi adegan kesan khas.



Keadaan itu membuatkan bilah rotor helikopter itu rosak dan jatuh menjunam menghempap tiga pelakon itu sehingga maut serta-merta.



Tubuh Morrow dan Le terpancung dan terkerat kerana terkena rotor helikopter manakala tubuh Chen remuk.



Enam karyawan filem lain juga cedera dalam kejadian ini. Kes ini dibawa ke mahkamah dengan pengarah John Landis dan penyelaras kesan khas, Paul Stewart, dituduh cuai.



Mereka bagaimanapun terlepas daripada hukuman menyusuli perbicaraan selama 10 bulan.



Keluarga dua kanak-kanak itu bagaimanapun diberi ganti rugi AS$200 juta ($269.6 juta). Keluarga Morrow dalam tuntutan mahkamahnya turut menerima ganti rugi yang tidak didedahkan jumlahnya.



Anak Bruce Lee mati di puncak gemilang kerjaya



Pada 31 Mac 1993, anak ikon filem seni pertahanan diri Bruce Lee, Brandon Lee, 28 tahun, sedang menjalani penggambaran babak filem The Crow di mana wataknya ditembak oleh penjahat.



Watak Lee sebagai Eric Driven, memasuki apartmen dan mendapati tunangnya dipukul dan dirogol.



Watak penjahat yang dimainkan Michael Massee menembak pistol Magnum yang tidak diperiksa sebelum ini dan mengandungi peluru sebenar.



Pengarah Alex Proyas menyangka apabila Lee rebah ke belakang dan bukannya ke depan seperti diarah, ia hanya satu percubaan Lee bergurau untuk memberi kelainan pada babak itu.



Tidak diduga, itulah detik terakhir Proyas dan pelakon lain bertemu Lee yang ditemui pelakon aksi nekad Jeff Imada, sudah tidak sedarkan diri dengan pernafasannya tidak menentu.



Pegawai medik Clyde Baisey mengesahkan kematian Lee yang sepatutnya berumah tangga selepas penggambaran filem itu tamat.



Nahas motosikal 'Deadpool 2'



Pelumba motosikal profesional dan pelakon aksi nekad, Joi Harris, 40 tahun, tidak menggunakan topi keledar dalam set penggambaran filem Deadpool 2.



Beliau meninggal selepas tercampak daripada motosikal yang terbabas dan merempuh jendela bangunan.



Operator kamera maut dilanggar tren pengangkut



Pada hari pertama penggambaran filem riwayat hidup penyanyi Gregg Allman, Midnight Rider pada 21 Februari 2014, bencana sudah melanda.



Operator kamera, Sarah Jones, 27 tahun, terbunuh apabila kereta api pengangkut tiba-tiba muncul di kawasan pedalaman Georgia, ketika penggambaran.



Ia berlaku sewaktu kru filem dijadualkan meninggalkan set filem itu dalam masa beberapa minit lagi.



Hingga ke hari ini, Midnight Rider yang berdasarkan kisah sebenar anggota band Allman Brothers itu tidak dibereskan untuk tayangan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >