Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SKIM YURAN TUISYEN PENGAJIAN TINGGI YAYASAN MENDAKI

TTFS ringankan beban kewangan keluarga, bantu fokus pada pelajaran

Jan 08, 2023 | 05:30 AM



MENDAPAT sokongan kewangan skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS), yang ditawarkan oleh Yayasan Mendaki, membolehkan Encik Musa Ahmad Dahlan memberi tumpuan penuh pada pengajiannya semasa di Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Di NTU, beliau berjaya meraih kepujian tertinggi kelas pertama dan penghargaan anugerah kecemerlangan akademik Dean's List dua tahun berturut-turut pada 2017 dan 2018.



Encik Musa, 28 tahun, yang kini bertugas sebagai penganalisis data, meraih ijazah sarjana muda dalam jurusan kejuruteraan mekanikal dengan kepujian tertinggi kelas pertama pada 2019.



Beliau menerima 100 peratus subsidi TTFS bagi pengajiannya di NTU. Ketika dihubungi Berita Harian, anak kedua lima beradik itu menjelaskan bahawa subsidi TTFS itu banyak membantu meringankan beban kewangan keluarganya.



"Apabila saya memohon subsidi TTFS Yayasan Mendaki, saya berasa sangat lega dan gembira apabila permohonan saya lulus.



Subsidi TTFS membantu membayar yuran tuisyen universiti saya sepenuhnya. Tanpa TTFS, saya mungkin perlu bekerja sambilan atau mengambil pinjaman atau terikat dengan sebuah syarikat yang boleh menyebabkan saya berhutang selepas pengajian di NTU.



"Tetapi, subsidi ini membolehkan saya fokus sepenuhnya dalam pengajian saya dan ini membantu saya mencapai kecemerlangan dari segi akademik dan juga secara peribadi," katanya.



Beliau menambah bahawa subsidi TTFS menjadi satu keperluan buat keluarganya apabila bapanya meninggal dunia ketika beliau berada pada tahun terakhir di NTU.



"Allahyarham bapa saya adalah satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga kami. Maka, keadaan kewangan akan menjadi lebih rumit tanpa bantuan subsidi TTFS," kata Encik Musa.



Allahyarham bapanya dahulu bertugas sebagai pengetua di pusat pendidikan Islam Andalus.



Ibunya seorang suri rumah yang kadangkala mengajar tuisyen dan telah membimbing beliau semasa beliau berada di sekolah rendah dan menengah.



Hasil bimbingan ibu dan bapanya yang sering mengingatkan beliau dan adik-beradiknya agar berjimat, Encik Musa mampu mengurus kewangannya, hasil daripada elaun Perkhidmatan Negara (NS), untuk menampung keperluan perbelanjaan lain seperti pengangkutan, makanan dan bahan-bahan pengajian.



Sebelum melanjutkan pengajian di NTU, Encik Musa merupakan pelajar sekolah rendah dan menengah di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah dan kemudian meraih kelulusan diploma dalam kejuruteraan aeronautikal daripada Politeknik Singapura.



Selain berjaya mendapat penghargaan anugerah Dean's List bagi pencapaian keseluruhan di NTU, beliau juga menerima Anugerah Cemerlang Mendaki bagi pencapaian cemerlangnya di universiti.



"Mendapat penghargaan anugerah Dean's List mendorong saya terus mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan saya berasa bangga kerana mendapat penghargaan hasil kerja keras dan dedikasi saya dalam pelajaran dengan Anugerah Cemerlang Mendaki," kata Encik Musa.



Sebagai pelajar, beliau selalu dedikasi dan fokus terhadap pelajarannya dan sanggup berusaha lebih gigih untuk memahami topik pelajaran dan meraih kecemerlangan dalam peperiksaannya.



"Saya bertuah dapat menangani pelbagai cabaran semasa menjadi mahasiswa dengan sokongan padu keluarga dan kawan-kawan saya. Pastinya, subsidi TTFS juga banyak membantu," katanya.



Selain tekun dalam pengajiannya, beliau juga menyertai pelbagai bengkel kepimpinan di NTU untuk membina perwatakan dan kemahiran lain.



Beliau juga meluangkan masa dan tenaga untuk menjadi sukarelawan mentor dalam program bimbingan Mendaki, Mentoring@MTS (kini amPowered@MTS).



Kata Encik Musa:



"Menjadi mentor adalah satu pengalaman memuaskan. Saya berpeluang membimbing pelajar-pelajar muda dan membantu mereka berjaya atau memperbaiki lagi pelajaran mereka. Ia juga memberi saya peluang berkongsi perspektif saya dengan mereka.



"Saya harap agar dapat terus turut serta dalam program-program Mendaki sebagai sukarelawan dan terus berbakti kepada masyarakat Melayu/Islam kita."



Selepas mendapat kelulusan ijazah sarjana muda di NTU, Encik Musa bertugas sebagai jurutera kanan di SMRT selama beberapa tahun tetapi membuat keputusan berubah haluan kerjaya dalam industri teknologi pada Disember 2022.



"Minat saya dalam kejuruteraan mekanikal timbul daripada keinginan saya mahu tahu cara kerja sesuatu benda dan saya mahu terlibat dalam projek mencabar. Namun, dengan kehangatan industri teknologi inovatif yang sentiasa berkembang kini, saya rasa ia peluang baik untuk saya menceburi cabaran baru dan saya rasa minat dan kemahiran saya bersesuaian dengan industri teknologi," jelasnya.



Selain fokus mengejar kecemerlangan dalam bidang akademik dan kerjaya, Encik Musa juga ingat pesan Allahyarham bapanya agar menjadi seorang yang jujur, baik, hormat pada semua dan selalu menghulurkan bantuan selain menjaga solat dan keluarga.




SKIM SUBSIDI YURAN TUISYEN PENGAJIAN TINGGI (TTFS)



Ditubuhkan pada 1991 menerusi geran tahunan pemerintah kepada Mendaki, TTFS bertujuan membiayai yuran pengajian pelajar Melayu di institut pengajian tinggi setempat. TTFS sebahagian komitmen perlembagaan pemerintah melindungi dan memupuk kepentingan pendidikan masyarakat Melayu Singapura demi menjamin kemajuan sosioekonomi kita.



Pada 2021, sebanyak $45,000 diagihkan kepada 11,000 pelajar bagi skim TTFS.



  • Kriteria Permohonan

- Warga Singapura atau Penduduk Tetap Singapura dengan salah seorang daripada ibu bapa (kandung, angkat atau tiri) yang masih hidup atau telah meninggal dunia adalah warga Singapura



- Pelajar daripada keluarga dengan Gaji Per Kapita (PCI)* kurang daripada $2,000



- PCI kurang daripada $1,400 akan menerima 100 peratus subsidi



- PCI antara $1,401 dengan $1,700 akan menerima 75 peratus subsidi



- PCI antara $1,701 dengan $2,000 akan menerima 50 peratus subsidi



- Mengikuti kursus di Politeknik, Universiti Berautonomi Setempat, Akademi Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA), Diploma Kejuruteraan Teknikal (TED) yang ditawarkan oleh Institut Pendidikan Teknikal (ITE) atau ijazah dan diploma tertentu di Maktab Seni Lasalle dan Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa)



- Dibuka kepada pelajar Melayu atau kacukan yang mempunyai Melayu sebagai komponen bangsa pertama



  • Permohonan pelajar yang mengikuti kursus di Maktab Seni Lasalle atau Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) masih dibuka hingga 15 Januari 2023.

  • Permohonan pelajar yang mengikuti kursus di Politeknik, Akademi Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA), Diploma Kejuruteraan Teknikal (TED) yang ditawarkan oleh Institut Pendidikan Teknikal (ITE) akan dibuka pada 15 Februari 2023.

  • Untuk maklumat lanjut mengenai TTFS atau kriteria kelayakan, lungsuri laman https://www.mendaki.org.sg/assistance_landing/tertiary-tuition-fee-subs….

  • Selain TTFS, Mendaki juga menawarkan bantuan kewangan pendidikan untuk pelajar Islam. Untuk maklumat lanjut, layari portal MyMendaki di my.mendaki.org.sg

*Untuk mendapatkan anggaran PCI, jumlah pendapatan kasar keluarga perlu dibahagikan dengan jumlah anggota keluarga




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >