Setiap bakat ada kisah untuk disampaikan tentang impian yang berkecai musnah mahupun jalanan seni atau usaha niaga yang penuh onak duri. Ikuti kisah jerih payah usahawan selebriti fesyen jalanan jenama Ghettomen Clothing, Fizz Ghetto, yang juga seorang 'rapper'. Teroka juga usaha terkini dua sahabat bangunkan studio muzik The Wonda Factory.BERITA HARIAN melaporkan.
EMPAT tahun lalu, usahawan selebriti yang dikenali dalam kalangan artis Singapura mahupun Malaysia sebagai Fizz Ghetto dan rakannya M Farid Jaffar memiliki visi serupa menghasilkan jenama kemeja-T sendiri.
Melihat pada kepayahan hidup yang mereka pernah harungi sewaktu meniti usia kanak-kanak dan remaja, kekata Ghettomen digunakan sebagai jenama.
Perlambangan 'ghetto' yang membawa maksud kawasan setinggan yang didiami kumpulan minoriti yang diuji dengan cabaran kewangan digunakan Fizz, yang nama sebenarnya Hafiz Zainal, 34 tahun.
Hasrat di hatinya dan Farid adalah mencipta jenama dengan gerakan menyumbang semula kepada masyarakat, tidak kira keluarga, warga senja atau kanak-kanak yang memerlukan berbekalkan wang hasil jualan kemeja-T ini.
Justeru, pada 22 Oktober 2017 - terciptalah secara rasmi bisnes fesyen jalanan Fizz, Ghettomen Clothing, yang mendapat tempat di hati selebriti setempat seperti Ryan Sufiyan, Yaya Hamid, Nor (The Grumpy Socialist), Atyy Malek, Yuslina Yussof, Iskandar Shah dan Fadli Kamsani.
Jenama ini juga ditebarkan ke seberang Tambak dengan nama besar seperti Mimifly, Datuk AC Mizal, Jannah Nick, Ara Johari dan Hafiz Suip turut menggunakan kemeja-T Ghettomendan memuatnaikkan foto mereka di Instagram.
Sungguhpun begitu. seperti mana-mana usahawan yang berjaya menempa nama dalam dunia perniagaan dan sektor hiburan, pasti ada kisah susah senang yang ingin dikongsi.
Ketika dihubungi baru-baru ini, Fizz, bapa dua anak berusia dua dan enam tahun, yang menjalankan perniagaan dengan menyewa ruang niaga di kedai gunting sekitar kawasan timur Singapura, berkata:
"Perjalanan penuh suka duka dengan keperitannya terasa memang suatu realiti yang tidak mampu saya nafikan.
"Pada 2017, sepupu saya, Mohamed Nazrul Misron, menyertai saya dalam perniagaan ini. Segalanya bermula lancar tetapi kami pula diperdaya pembekal bahan kemeja-T yang menggunakan bahan kurang bermutu.
"Kemeja-T yang dihasilkan tidak boleh dijual kepada orang ramai kerana mutu bahan yang terlalu rendah. Memandangkan kami baru sahaja bermula, tak mahulah pula jual produk kurang bermutu yang menjejas tanggapan pelanggan kepada kami.
"Semua kemeja-T yang sudah siap itu kami berikan kepada teman-teman dan keluarga. Modal menghasilkan produk ini terbuang begitu sahaja.
"Alhamdulillah, pengalaman pahit itu mengajar kami agar tidak mudah berputus asa dan berusaha mencari pembekal bahan yang lebih baik dan boleh dipercayai.
"Kami banyak menjalankan kajian bahan, meninjau harganya, peka soal trend dan prihatin tentang bilangan kemeja-T yang ingin dihasilkan."
Dalam masa enam bulan setelah menemui pembekal yang dipercayai, jenama Ghettomen menjadi sebutan selebriti Singapura yang menggayakannya.
Ia digunakan dalam telefilem Mekah Di Hati. Penyanyi runut bunyi telefilem tersebut, Ryan Sufiyan, bahkan adalah artis pertama yang menyokong jenama ini.
"Menerusi Ryan, kami mengenali selebriti Malaysia, Mimifly. Beliau meminta kami menaja kemeja-T buatnya dan penarinya di Kuala Lumpur.
"Mimifly membawa jenama Ghettomen ke pentas Gegar Vaganza tahun lalu apabila beliau dan rakan-rakannya dalam One Nation Emcees bertanding," kongsi Fizz.
Dalam perjalanan niaganya ini, Fizz yang bekerja sepenuh masa sebagai teknisyen perlu menelan kepahitan apabila sepupunya Nazrul tidak mampu membantu lagi kerana komitmen tugas.
Beberapa bulan selepas itu, rakan niaganya pula mengundurkan diri kerana kelarisan perniagaan ini menuntut pengorbanan masa daripadanya sehingga payah meluangkan waktu bersama empat anaknya.
"Saya sangat sedih apabila rakan niaga saya mengundurkan diri, menyedari saya tidak mampu membuat segalanya sendiri.
"Kadangkala timbul niat nak tutup sahaja perniagaan ini tetapi teringat pula kata-kata rakan niaga saya yang tidak mahu nyala rasa yang membara dalam diri saya ketika mula-mula membuka perniagaan ini bersamanya terpadam begitu sahaja.
"Saya juga tidak mampu abaikan cita-cita saya dan harus usahakannya hingga jaya dengan harapan rakan saya itu akan kembali membangun jenama ini bersama apabila masa mengizinkan suatu hari nanti." katanya lagi.
Fizz yang juga menyalur minatnya terhadap muzik dengan merakam lagu rap Barang Panas turut merakam penghargaan buat isterinya, Cik Nur Izwani Busrah, 31 tahun, yang banyak berkorban, memahami minatnya dan menjadi sumber inspirasi meneruskan bisnes ini.
Beliau juga menghargai kata-kata semangat ibu bapanya, Encik Zainal Othman dan Cik Laily Abdul Rahman yang meniaga makanan di Simpang Bedok serta dua kakaknya, Cik Noorliza dan Cik Noor Melissa.
"Pegangan saya dalam perniagaan adalah biarpun saya tidak kaya raya. saya tetap hargai perjalanan bermakna membangun jenama Ghettomen.
"Saya mahu jenama ini berkembang dan memberi inspirasi buat usahawan fesyen jalanan atau busana satu harapan bahawa perniagaan kecil mampu bertahan dan menjadi jenama yang disegani.
"Yang penting, kita yakin pada kerja seni kita dan manfaatkan hasil penjualan kita ini bagi tujuan berfaedah sebagai sumbangan kepada masyarakat.
"Kalau dahulu saya adalah anak nakal yang menyusahkan ibu bapa saya, saya harap mereka kini bangga dan syukuri usaha saya.
"Lagi pun saya bersandarkan pada mutiara kata 'rapper' Nipsey Hussle yang menyatakan, 'Perbezaan terbesar antara wang dan masa adalah anda tahu berapa banyak wang anda miliki tetapi tidak tahu berapa banyak masa yang tinggal dalam hidup'. Jadi, jangan sia-siakan masa yang ada," katanya.