* Contoh syarikat manfaatkan wadah 'online'
* Wahyu juga mahu promosi produk ke pasaran global
BERMULA berniaga rempeyek dari rumah hampir dua dekad lalu, usahawan yang mengasaskan Wahyu Brand, Encik Norhashim Hasan, telah mengembangkan perniagaannya ke Malaysia dan Brunei.
Selain rempeyek dan tumpi, peniaga berusia 50 tahun itu memperkenal pelbagai barangan lain seperti sambal dan pes, dan kini menghasilkan sehingga 24 produk di bawah pengeluarannya.
Sejak 2019, produknya seperti pes dan sambal telah dijual di pasar raya Jaya Grocer, dan beliau juga mempunyai sebuah kedai di Shah Alam, serta beberapa ejen penjualan di serata Malaysia.
Di Brunei pula, produk Wahyu Brand dijual sejak tahun lalu di beberapa kedai dan pasar raya antaranya di Pasar Mini Samakaya Ban 3, Jafariya Supermarket, Al-Shafith Megastore Tanjung Bunut dan di beberapa kedai lain.
"Bagi syarikat yang bermula dari rumah pada 2003, memang banyak yang telah kami raih sepanjang hampir dua dekad ini. Antaranya melihat produk Wahyu Brand mampu dieksport ke negara jiran seperti Malaysia dan Brunei," ujar bapa seorang anak ini dengan ramah.
Setelah menjalankan perniagaan selama 18 tahun, beliau kini mempunyai kilang sendiri - meliputi dua unit sekitar 2,000 meter persegi, di International Road, di kawasan Boon Lay.
Encik Norhashim telah melabur lebih $200,000 demi perluasan dan memperkukuh empayar perniagaannya. Lebih membanggakan, pendapatan perniagaan bagi firma ini juga sudahpun melebihi sejuta dolar setahun.
Bukan itu sahaja, syarikatnya juga turut mengambil bahagian dalam acara akar umbi dan menyumbangkan produk Wahyu Brand menerusi satu daya usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberikan barangan mereka secara percuma.
Antaranya, firmanya menaja barangan makanan bagi acara penduduk khususnya di daerah Hougang dan Braddell Heights.
Encik Norhashim juga berpendapat, teknologi juga memainkan peranan yang sama penting untuk terus memajukan sesebuah syarikat. Contohnya, penggunaan mesin dan automasi dapat meningkat produktiviti syarikat.
Misalnya, beliau melabur dalam beberapa mesin automasi sekitar $100,000 untuk memasak dan menggaul pes tanpa menggunakan pekerja yang ramai. Firmanya menggajikan 15 orang pekerja sahaja.
Malah, baru-baru ini juga syarikat ini telah diberikan sijil bertaraf dunia, Sijil Sistem Keselamatan Makanan (FSSC) 22000, berpangkalan di Britain.
Sijil itu juga diiktiraf badan setempat dan luar negara contohnya, Indeks daripada Keselamatan Makanan Global (GFSI) dan Konsortium Runcit British (BRC).
Baginya, sijil itu merupakan "batu loncatan" dan satu kelebihan bagi syarikatnya terus ke depan dan menembusi pasaran global pula.
Selain ingin menebarkan sayap ke beberapa rantau Asia seperti Malaysia, Brunei, Taiwan, China dan Hong Kong, Encik Norhashim juga berhasrat meluaskan perniagaannya ke Timur Tengah, Amerika Syarikat dan pasaran Eropah.
"Proses permohonan untuk mendapatkan pensijilan FSSC ini agak ketat dan begitu terperinci. Banyak peraturan dan penyesuaian yang perlu kami lakukan di kilang ini. Kami juga telah mendapatkan khidmat pakar runding bagi membantu kami dalam permohonan bagi FSSC ini.
"Di samping itu, bayaran permohonan bagi pensijilan ini juga agak tinggi, tetapi kami telah menerima geran hampir 70 peratus dengan sokongan daripada Enterprise Singapore (ESG).
"Dengan sijil antarabangsa ini, syarikat kami lebih mudah menembusi pasaran global. Banyak syarikat antarabangsa seperti Walmart mengiktiraf dan memerlukan sijil ini sebelum kami boleh menjual produk kami di sana," jelas Encik Norhashim.
Berita Minggu (BM) difahamkan sijil ini harus diperbaharui setiap dua tahun, dan syarikatnya juga perlu melalui proses audit yang ketat setiap tahun.
Manfaatkan dan jalin jaringan luas dengan perusahaan dan usahawan
Beliau juga berpendapat, agar terus maju dalam perniagaan, seseorang perlu mempunyai jaringan kenalan atau rakan perniagaan yang luas yang kukuh seperti menganggotai persatuan niaga seperti Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) atau daripada Persekutuan Perkilangan Makanan Singapura (SFMF) bagi mendapat sokongan, bantuan atau mengetahui geran yang boleh dimanfaatkan.
"Networking sangat penting dalam perniagaan. Kita perlu rajin berjumpa dengan orang yang sudah berjaya dan belajar daripada pengalaman mereka. Ada beberapa pertubuhan di Singapura seperti DPPMS atau daripada SFMF menyediakan banyak jaringan perniagaan dan peluang perniagaan yang baik.
Ingin perkenal rempeyek dalam pasaran Eropah, global
Encik Norhashim berpendapat, orang di Barat juga gemar mencuba hidangan Asia, terutamanya hidangan bergoreng dan rangup, seperti rempeyek, keropok atau kerepek.
Setelah menembusi pasaran serantau, Wahyu Brand kini ingin pula menembusi pasaran sejagat dan yakin mampu melakukannya pada masa hadapan.
"Dengan permintaan yang tinggi dari luar negara bagi makanan orang Asia, kami ingin menembusi pula pasaran antarabangsa. Insya-Allah, Wahyu Brand ingin mencuba pasaran luar negara pula, dan yakin boleh melakukannya pada masa hadapan," tambahnya.
Untuk membeli produk Wahyu atau produk lain di BazaarRia, lungsuri laman www.bazaarria.sg.