Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Warisan' ibu diabadi pengarah Riri dalam filem

Jun 22, 2021 | 05:30 AM



SEBUT nama penerbit dan pengarah filem Indonesia, Riri Riza, pasti akan terpahat dalam ingatan sang pencinta filem akan karya seninya yang masih bermain di bibir ramai, daripad Ada Apa Dengan Cinta?, Laskar Pelangihinggalah 3 Hari Untuk Selamanya.



Dalam usaha Riri, 50 tahun, yang nama sebenarnya Mohammad Rivai Riza, terus memikirkan idea-idea baru untuk difilemkan, yang dekat di hatinya adalah kenangan terhadap arwah ibunya serta tradisi warisan Bugis yang disanjung tinggi.



Justeru, bak pucuk dicita, ulam mendatang apabila pihak Esplanade menugaskan beliau menghasilkan filem pendek berteraskan budaya Nusantara.



Warisan (Papassang Tu-riolo) yang memaparkan barangan yang Riri warisi hasil peninggalan arwah ibunya yang meninggal pada 2016 ditayangkan di laman Offstage, Esplanade, sempena Pesta Raya 2021.



Ia akan ditayangkan hingga 11.59 malam, Ahad ini.



Filem ini sepatutnya menjadi respons pada persembahan Teater Ekamatra, Pulang Balik, yang dibatalkan kerana ketetapan pandemik Covid-19.



Warisan, yang membawa persoalan apabila seseorang itu meninggal dunia, apakah yang ditinggalkannya, disokong Kedutaan Republik Indonesia di Singapura.



Ikuti wawancara bersama Riri yang dikendalikan menerusi Zoom.



Soalan (S): Apakah yang mencetus idea bagi 'Warisan'?



Riri: Saya dilahirkan di Makassar dalam keluarga yang masih memegang teguh kepercayaan dan tradisi Bugis.



Makassar menjadi tempat tinggal saya hingga usia 12 tahun. Ayah saya kemudian mendapat tawaran kerja sebagai pegawai negeri di Jakarta. Maka kami berpindah ke sana.



Namun, tradisi masih penting dalam kehidupan harian kami. Kami masih peka soal menyajikan makanan Bugis serta cara menyambut Lebaran misalnya, dengan menggunakan sarung Bugis dan songkok hasil peninggalan orang tua.



Banyak amalan keluarga kami mencampurkan kebudayaan dan keagamaan.



Namun, setelah saya bernikah dan membina keluarga sendiri, perkara tradisi ini seakan-akan terpisah daripada saya. Saya tidak terlalu memikirkannya.



Mujurlah, kerana saya bikin filem dan berkenalan dengan ramai orang, kesedaran agar lebih mengenali budaya warisan sendiri mula timbul.



Apabila ibu saya meninggal, kakak saya memutuskan membahagi-bahagikan barangan di rumah ibu antara kami adik-beradik dan saudara-mara.



Kerana saya sibuk bikin filem, saya tidak memilih barangan apa yang ingin saya miliki.



Apabila barang itu sampai di depan mata saya, saya nampak benda-benda harian yang ibu selalu gunakan seperti piring*, mangkuk usang dan barang perhiasan yang mengandungi banyak makna.



Saya merebut peluang khas ini untuk bikin filem bersandarkan barangan ibu yang tiba-tiba bertukar daripada barangan harian menjadi barangan paling bernilai sebagai subjek. Saya juga ingin fikirkan apakah yang akan saya tinggalkan buat anak cucu saya kelak sebagai warisan apabila saya sudah tiada?



S: Ceritakan tentang nilai beberapa barangan ini buat Riri dan kenangan yang terkandung dalam setiap barangan.



Riri: Saya ingat piring keluli tahan karat. Itulah piring yang ibu gunakan untuk ayah.



Saya ingat betapa ibu peka tentang penggunaan piring itu. Ia melambangkan betapa ayah seorang individu yang beliau sebagai isteri harus jaga dengan baik.



Jangan sampai piring itu pecah sebab kalau ia pecah, ia membawa petanda ada perkara tidak nyaman yang akan berlaku.



Misalnya, mungkin ayah akan terjejas atau keputusan dari segi kerjaya atau ekonomi.



Kemudian, saya ingat bekas berisi gula. Setiap kali saya menjalani penggambaran pada awal kerjaya saya, ibu akan ambil sesudu kecil gula, letakkannya dalam plastik dan sisipkannya dalam dompet wang saya.



Katanya, ia sebagai daya pemikat yang akan melancarkan urusan saya. Setiap kali saya pergi mesyuarat, gula itu akan ibu bekalkan buat saya.



Saya juga ingat cara ibu menyimpan buah-buahan di atas almari. Beliau akan letak labu di situ kerana katanya boleh tahan lama.



Setiap kali ayah ke luar kota atau negara untuk tugasan, ibu akan menyimpan segala perkakas untuk makan daripada piring hingga gelas di tempat yang tinggi, di atas almari.



Itu bermakna beliau menjaganya dengan rapi, jangan sampai tersentuh atau kotor. Ia melambangkan betapa menjaganya ibu terhadap kesejahteraan ayah serta doanya yang kudus buat ayah apabila beliau ke luar negara.



Lantaran itu, semua tradisi atau kepercayaan yang diamalkan ibu, baik yang dilihat dari mata kasar atau tidak terlihat memberi pengertian istimewa dan khusus tentang tradisi zaman berzaman yang kami amalkan.



S: Apakah antara cabaran yang dihadapi dalam menghasilkan 'Warisan'?



Riri: Tidak mudah bagi semua budaya memahami budaya yang saya cuba paparkan.



Saya berusaha mengetengahkannya dalam struktur yang membolehkan sesiapa sahaja menghayati emosi filem ini.



Saya cuba ketengahkan kisah rumpun Melayu dengan penekanan diberi tentang warisan yang disampaikan dalam hubungan ibu dan anaknya.



Saya juga perlu fikirkan bagaimana dapat menggambarkan barangan biasa menjadi luar biasa dalam filem ini.



S: Bagaimana peredaran atau evolusi filem Riri?



Riri: Saya menganggap proses perfileman sebagai sesuatu bagi mengenali diri saya dan mengajak penonton berdialog tentang siapa diri kita, apa persamaan dan perbezaan kita.



Sejak 2011, filem saya mula condong merakam keadaan di bahagian timur Indonesia. Saya merakam filem di Pulau Timor dan Sulawesi Selatan. Athirah antara kerja seni yang saya garap pada era itu.



Kemudian saya bikin filem di Pulau Sumba. Saya ingin mendorong usaha mengupas identiti Indonesia sebab ia negara yang besar dan rencam budayanya. Kita boleh teroka dari Aceh ke Papua New Guinea.



Sesebuah filem yang menarik mestilah mampu dihubungkan dengan manusia, membuka hati anda untuk merasakan emosi dan menghiburkan anda.



Sekarang ini, saya baru selesai menghasilkan filem ceritera, Paranoia, yang menyingkap kekhuatiran dan ketakutan sewaktu pandemik Covid-19 - bagaimana keluarga itu harus menjadi pertahanan terakhir kita.



* Dalam bahasa Indonesia, piring itu bermaksud pinggan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >