Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Wawasan menganjak rakyat dari Dunia Ketiga ke Dunia Pertama

Cabaran merubah tabiat rakyat menjadi sebuah masyarakat yang menepati standard kelas pertama
Dec 27, 2019 | 05:30 AM



DI PERSIDANGAN ulang tahun ke-200 Singapura di Institut Pengajian Dasar, saya telah mengatakan bahawa Singapura merupakan negara Dunia Pertama dengan masyarakat Dunia Ketiga.



Apa yang saya maksudkan ialah Singapura mempunyai banyak aspek kelas pertama seperti ekonomi yang dinamik dan mutu hidup yang cemerlang, tetapi terdapat beberapa tabiat kita sebagai satu masyarakat yang tidak menepati standard kelas pertama.



Namun, selepas direnungkan, saya tidak sepatutnya menggunakan istilah Dunia Ketiga. Terdapat beberapa orang rakan saya yang memberitahu saya bahawa orang-orang dari negara-negara miskin baik hati, berbudi bahasa dan berfikiran sivik. Benar cakap mereka. Sememangnya saya mempunyai rakan dari seluruh dunia, termasuk dari negara-negara yang kurang membangun atau negara-negara Dunia Ketiga.



Dalam esei ini, saya ingin menumpukan perhatian pada apa yang harus rakyat Singapura lakukan supaya boleh dianggap sebgai masyarakat Dunia Pertama. Mereka harus lulus ujian-ujian berikut.



UJIAN PERTAMA



Ujian pertama bagi rakyat Singapura atasi adalah untuk berhenti membuang sampah sembarangan. Rakyat Dunia Pertama seperti orang Jepun, Korea Selatan dan Taiwan tidak membuang sampah sembarangan. Mereka juga akan bersemuka dengan sesiapa yang berbuat begitu dan akan memberi tekanan bagi mereka untuk memungut sampah tersebut.



Singapura pernah menjadi sebuah bandar yang kotor dan busuk. Apabila Parti Tindakan Rakyat (PAP) berkuasa pada 1959, salah satu perkara yang mereka mula-mula lakukan ialah melancarkan sebuah kempen untuk mewujudkan Singapura yang bersih. Sembilan kempen dijalankan pada tahun 1960an, tiga pada tahun 1970an dan empat pada tahun 1980an untuk mengubah pendapat awam dan kelakuan rakyat Singapura terhadap sekitaran mereka.



Hasil daripada kempen-kempen ini, Singapura telah dikenali sebagai sebuah bandar yang bersih di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, dalam tahun-tahun kebelakangan ini, lebih ramai rakyat Singapura telah kembali pada tabiat lama mereka. Apabila saya lihat di sekeliling Singapura pada hari ini, saya lihat sampah sarap di mana-mana.



Encik Liak Teng Lit, mantan pengerusi Majlis Kebersihan Awam (PHC), yang mengetuai Gerakan Menjadikan Singapura Bersih, tidak salah apabila beliau mengatakan bahawa Singapura bukan sebuah bandar yang bersih tetapi sebuah bandar yang dibersihkan. Itu juga merupakan pemerhatian pengerusi PHC yang sekarang ini. Mr Liak pernah membuat perbandingan yang kurang baik antara Singapura dan Taipei. Singapura, yang mempunyai penduduk sebanyak 5 juta orang, mempunyai 70,000 orang pembersih. Taipei, dengan penduduk sebanyak kira-kira 2.7 juta orang, mempunyai kira-kira 5,000 orang pembersih. Di Taiwan, semua sekolah dibersihkan oleh para pelajar mereka dan bukan pembersih professional. Kita patut mempertimbangkan melaksanakan amalan ini.



Pada 26 April yang akan datang merupakan satu peluang untuk rakyat Singapura membersihkan estet perumahan mereka sendiri kerana majlis -majlis perbandaran telah bersetuju untuk memberi semua pekerja pembersihan hari cuti pada hari tersebut. Sebaliknya, para penduduk akan membersihkan estet perumahan mereka sendiri.



Inisiatif Hari Membersihkan Sg bertujuan untuk menunjukkan "sebahagian besar penduduk Singpura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan" apa akan berlaku jika sampah sarap di tempat-tempat awam tidak dibersihkan dan untuk menggalakkan mereka untuk membersihkan estet perumahan mereka. Saya menggesa rakyat Singapura untuk menyokong inisiatif ini dan mengambil langkah untuk membersihkan estet perumahan mereka pada hari itu, dan meneruskan amalan tersebut setiap hari selepas itu.



UJIAN KEDUA



Ujian kedua ialah mempunyai tandas awam yang sebersih tandas di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan. Tandas-tandas awam di Singapura pada masa dahulu amat kotor. Keadaan ini telah berubah menjadi lebih baik kerana usaha bersama organisasi bukan pemerintah dan Pemerintah.



Terdapat seorang rakyat Singapura yang luar biasa bernama Jack Sim, yang menubuhkan Persatuan Bilik Air (Singapura) dan Organisasi Tandas Dunia. Dengan karisma dan semangat yang berkobar-kobar, beliau telah mempunyai kesan yang amat besar terhadap Singapura dan dunia. Ini kerana saranan beliau yang membolehkan Singapura meyakinkan Bangsa-bangsa Bersatu untuk memperuntukkan 19 November sebagai Hari Tandas Sedunia.



Persatuan Bilik Air (Singapura) dan Agensi Sekitaran Nasional(NEA) telah berkempen untuk tandas awam yang bersih di Singapura. Mereka telah menganugerahkan tiga bintang bagi tandas-tandas awam yang menepati standard minimum. Tandas-tandas awam yang terbaik, seperti yang terdapat di Lapangan Terbang Changi dan Jewel, diberikan enam bintang maksimum.



Kira-kira 70 peratus daripada tandas awam di Singapura telah diberikan bintang. Tetapi, 30 peratus lagi yang terletak di pasar-pasar, pusat penjaja, kedai-kedai kopi dan juga beberapa restoran, masih dalam keadaan Dunia Ketiga. Sesebuah masyarakat Dunia Pertama seharusnya tahu bagaimana untuk memastikan tandas awam mereka bersih.



UJIAN KETIGA



Ujian ketiga merupakan ujian untuk berfikiran sivik dan berbudi bahasa. Apakah beberapa tabiat asas yang baik yang telah dilupakan oleh rakyat Singapura?



Saya fikir ramai rakyat Singapura telah lupa untuk mengucapkan "Tolong" dan "Terima kasih". Apabila pintu lif atau keretapi buka. ada rakyat Singapura yang terburu-buru masuk tanpa menunggu mereka yang di dalam lif atau keretapi untuk keluar dahulu. Apabila menaiki eskalator, terdapat rakyat Singapura yang tidak mematuhi peraturan berdiri di sebelah kiri escalator untuk membenarkan mereka yang ingin cepat dapat bergerak dahulu.



Di dalam keretapi, terdapat rakyat Singapura yang muda yang tidak mengendahkan tanda tempat duduk keutamaan dan sebaliknya duduk di tempat duduk yang dikhususkan untuk orang-orang yang kurang upaya, warga emas dan wanita-wanita yang sedang mengandung. Kurangnya pemikiran sivik ini sesuatu yang amat buruk.



Di pusat-pusat penjaja, ramai rakyat Singapura enggan mematuhi permintaan untuk meletakkan dulang, pinggan dan mangkuk di tempat yang diperuntukkan selepas mereka makan. Ramai yang juga tidak membersihkan meja mereka selepas makan.



Saya juga tidak bersetuju dengan sikap sebahagian rakyat Singapura yang bercakap dengan kuat apabila menggunakan telefon bimbit mereka di restoran dan panggung wayang. Ada juga rakyat Singapura yang berbual semasa menonton konsert.



Di negara-negara Dunia Pertama, masyarakat di sana tidak melakukan perbuatan yang tidak bertimbang rasa yang sebegitu. Masyarakat Dunia Pertama juga merupakan sukarelawan yang aktif dan penderma yang murah hati. Dengan adanya kepimpinan Pusat Sukarelawan dan Kedermawanan Nasional, kita telah mempunyai kemajuan dalam kedua-dua bidang, tetapi kita masih boleh lakukan lebih baik lagi.



UJIAN KEEMPAT



Ujian keempat ialah ujian celik budaya. Masyarakat Dunia Pertama merupakan masyarakat yang berbudaya. Masyarakat yang berbudaya merupakan masyarakat yang berbudi bahasa dan baik hati. Masyarakat yang berbudaya harus melayan orang lain dengan sopan dan dengan rasa penghargaan.



Masyarakat yang berbudaya sepatutnya mempunyai penghargaan terhadap budaya dan kesenian. Mereka patut membaca buku dan menghormati para penyajak dan penulis kita. Mereka patut mendengar muzik, melawat muzium-muzium kita dan mempunyai minat terhadap sejarah dan warisan kita.



Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, ramai rakyat Singapura telah menunjukkan minat dalam warisan dan budaya kita. Trend ini sangat menggalakkan.



UJIAN KELIMA



Ujian kelima merupakan sikap kita terhadap alam semula jadi dan sekitaran. Sesebuah masyarakat Dunia Pertama patut cinta pada semula jadi dan menjaga sekitaran. Mereka harus tahu, contohnya, bahawa perubahan iklim merupakan ancaman yang nyata pada Singapura dan dunia.



Saya fikir Pemerintah Singapura memahami ini tetapi saya tidak pasti jika rakyat Singapura memahami ini. Ramai rakyat Singapura tidak faham bahawa kebanyakan tenaga yang kita gunakan dihasilkan oleh loji kuasa dengan menggunakan gas asli dan bahawa karbon dioksida dikeluarkan dalam proses ini. Mereka mungkin tidak faham bahawa lebih banyak tenaga digunakan, lebih banyak karbon dioksida yang dikeluarkan di atmosfera.



Saya tidak faham mengapa ramai rakyat Singapura terus meletakkan suhu termostat alat hawa dingin di pejabat, hotel, restoran dan kelab-kelab pada suhu 18 darjah Selsius sedangkan paras selesa kita ialah 23 darjah Selsius dan NEA telah menyarankan bahawa kita menetapkan termostat alat hawa dingin kita di suhu 25 darjah Selsius. Rakyat Singapura banyak membazirkan tenaga dengan membuat premis mereka terlalu sejuk.



Dengan cara ini, mereka menyumbang pada perubahan iklim. Setiap hari, saya bergelut dengan hotel, restoran dan kelab-kelab untuk meyakinkan mereka untuk meletakkan suhu termostat alat hawa dingin pada suhu 23 darjah Selsius. Kita memerlukan Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) dan NEA untuk melakukan lebih banyak lagi bagi menjimatkan dan kecekapan tenaga.



Rakyat Singapura menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab yang sama terhadap makanan dan air. Pembaziran ini di paras yang tinggi. Pembaziran makanan telah meningkat sebanyak 40 peratus sepanjang tahun-tahun yang lalu, daripada 568,000 ton yang dibuang oleh rumah tangga dan industri makanan pada 2008 hingga sekitar 809,800 ton pada 2017.



Satu lagi tabiat yang membimbangkan ialah para pelanggan di kedai makan akan meminta lebih banyak air setelah mereka selesai menjamu selera dan menunggu kakitangan di kedai makan itu untuk memenuhi gelas-gelas mereka dengan air. Ramai para pelanggan ini akhirnya akan menghirup sedikit sahaja air yang telah dituang dan membazirkan selebihnya. Saya lihat banyak meja makan dengan gelas yang penuh dengan air apabila para pelanggan meninggalkan kedai makan.



Terdapat banyak air yang berharga dibazirkan setiap hari di restoran dan hotel menerusi cara ini. Saya menyokong dengan kuat kempen oleh MEWR untuk menjadikan Singapura sebuah masyarakat yang mempunyai pembaziran sifar. Saya menggesa Singapura untuk mempunyai keberanian untuk melarang penjualan air botol. Mutu air botol tidak lebih baik daripada air paip kita dan adanya air botol ini boleh mendatangkan banyak kerosakan pada sekitaran kita.



KESIMPULAN



Walaupun saya mungkin menjadi lelaki paling tidak popular di Singapura, saya tetap mempertahankan komen saya bahawa rakyat Singapura bukan masyarakat Dunia Pertama.



Saya harap kita akan lulus lima ujian yang telah saya kemukakan. Hanya dengan mengatasi ujian-ujian ini, barulah kita dapat katakan yang rakyat Singapura merupakan masyarakat Dunia Pertama.



  • Profesor Tommy Koh merupakan rektor Kolej Tembusu , Universiti Nasional Singapura. Rencana ini pertama kali disiarkan di akhbar The Straits Times




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >