Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

KORONAVIRUS

Asatizah sokong langkah terus tutup masjid demi kekang virus

Mar 26, 2020 | 05:30 AM



PEMIMPIN agama dan golongan asatizah setempat menyokong langkah terus menutup masjid di Singapura dan menggantung kegiatan perhimpunan agama sehingga keadaan wabak koronavirus (Covid-19) bertambah baik dan selamat.



Malah, mereka menggesa masyarakat terus bersatu pada saat ini dan menyokong satu sama lain untuk mengharungi masa mencabar ini.



Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), solat Jumaat juga ditiadakan sepanjang masjid ditutup.



Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir yang juga pengerusi Jawatankuasa Fatwa berkata keputusan itu antara lain berpandukan beberapa hadis Nabi saw yang mengatakan bahawa ketakutan ke atas keselamatan kita dan juga penyakit ialah dua sebab yang menggugurkan kewajipan solat berjemaah dan solat Jumaat.



Imam Masjid Ba'alwie, Syed Hassan Al-Attas yang lebih dikenali sebagai Habib Hassan, berkata Islam juga menganjurkan umatnya untuk beribadah dalam keadaan tenang.



"Kalau kita buka semula masjid dan solat Jumaat tidak dibatalkan sedangkan kita tahu penyakit ini masih menular dan berbahaya bagi jemaah dan kemudian ada jemaah yang dijangkiti koronavirus ini semasa solat Jumaat di masjid kita, betapa besarnya dosa kita?



"Ini kerana dalam ramai-ramai jemaah yang datang ke masjid, kita tidak dapat pastikan siapa yang dijangkiti virus itu dan pembawa virus itu juga mungkin tidak tahu kerana tidak mengalami simptom," ujarnya.



Tambahnya, Islam tidak susah dan tidak pernah menyusahkan umatnya, khususnya dalam ibadah.



Malah selama ini, tidak pernah menjadi isu apabila seseorang itu menggantikan solat Jumaat dengan solat zuhur sekiranya keadaan tidak mengizinkannya menunaikan solat Jumaat seperti semasa beliau sakit, sedang belayar atau dalam keadaan bahaya.



Habib Hassan turut menggesa masyarakat mengikut contoh Nabi saw dan sahabatnya yang bersikap tenang semasa menghadapi situasi wabak dahulu.



"Kalau ada wabak, jangan dekat (dengan tempat itu).



"Jadi kenapa kita nak berani masuk? Memang ajal di tangan Allah swt tetapi kenapa kita nak bahayakan diri sendiri?" katanya.



Kesemua 70 masjid di Singapura ditutup sejak 13 Mac untuk mengekang penularan koronavirus selepas kepulangan sekumpulan warga Singapura yang menghadiri sebuah perhimpunan tabligh di Kuala Lumpur.



Dengan masjid terus ditutup, Ustaz Muhammad Zulkarnain Azman, berkata ini mungkin menimbulkan rasa sedih dalam kalangan jemaah yang tidak dapat ke masjid dan solat berjemaah di sana buat masa ini.



Namun menurutnya, ini menunjukkan bahawa keimanan itu lebih daripada sekadar pergi ke masjid.



"Saya yakin masyarakat kita kukuh dan marilah kita bertindak dengan beradab, baik hati dan sifat memahami dalam keadaan yang tidak menentu sekarang," ujar pegawai dakwah Masjid Yusof Ishak itu.



Menurut Ustazah Nurul 'Izzah Khamsani pula, kerohanian tidak berpaksikan kepada masjid secara fizikal.



"Di mana sahaja bumi Allah swt kita berada, di situlah tempat kita bersujud.



"Yang utama, kita laksanakan ibadah asas (wajib) yang diperintahkan oleh Allah swt sesempurna mungkin dan ibadah tambahan (sunat) kita usahakan semampunya untuk meraih kasih Allah swt," kata ketua jabatan pendidikan dan Al Quran Masjid Jamiyah Ar-Rabitah itu.



Muis bagaimanapun telah membuka ruang kecil di 19 masjid bagi pekerja seperti pemandu teksi dan pekerja penghantaran makanan menunaikan solat zuhur dan asar secara tidak berjemaah.



Dalam pada itu, Dr Nazirudin juga berkata masyarakat Islam harus bersedia sekiranya masjid terus ditutup buat tempoh yang lebih lama dan berlanjutan sehingga Ramadan.



Sekiranya ini berlaku, Ustazah Nurul 'Izzah berkata masyarakat masih boleh menunaikan solat tarawih di rumah bersama keluarga.



"Bagi kaum Adam, inilah masanya untuk melatih diri menjadi imam di rumah kepada keluarga sendiri.



"Bolehlah latih dari sekarang bagi mereka yang belum biasa. Mungkin ini antara hikmah ujian Covid-19 ini, dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan," ujarnya.




PENTINGNYA BERIBADAH DALAM KEADAAN TENANG



"Kalau kita buka semula masjid dan solat Jumaat tidak dibatalkan sedangkan kita tahu penyakit ini masih menular dan berbahaya bagi jemaah dan kemudian ada jemaah yang dijangkiti koronavirus ini semasa solat Jumaat di masjid kita, betapa besarnya dosa kita? Ini kerana dalam ramai-ramai jemaah yang datang ke masjid, kita tidak dapat pastikan siapa yang dijangkiti virus itu dan pembawa virus itu juga mungkin tidak tahu kerana tidak mengalami simptom... Kalau ada wabak, jangan dekat (dengan tempat itu, contoh Nabi saw). Jadi kenapa kita nak berani masuk? Memang ajal di tangan Allah swt tetapi kenapa kita nak bahayakan diri sendiri?"
- Imam Masjid Ba'alwie, Syed Hassan Al-Attas yang lebih dikenali sebagai Habib Hassan.



MASA ERAT IKATAN KELUARGA DENGAN SOLAT BERSAMA



"Di mana sahaja bumi Allah swt kita berada, di situlah tempat kita bersujud. Yang utama, kita laksanakan ibadah asas (wajib) yang diperintahkan oleh Allah swt sesempurna mungkin dan ibadah tambahan (sunat) kita usahakan semampunya untuk meraih kasih Allah swt... Bagi kaum Adam, inilah masanya untuk melatih diri menjadi imam di rumah kepada keluarga sendiri. Bolehlah latih dari sekarang bagi mereka yang belum biasa. Mungkin ini antara hikmah ujian Covid-19 ini, dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan."
- Ketua jabatan pendidikan dan Al Quran Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, Ustazah Nurul 'Izzah Khamsani. 

 



KEIMANAN LEBIH DARIPADA SEKADAR KE MASJID



"Saya yakin masyarakat kita kukuh dan marilah kita bertindak dengan beradab, baik hati dan sifat memahami dalam keadaan yang tidak menentu sekarang."
- Pegawai dakwah Masjid Yusof Ishak, Ustaz Muhammad Zulkarnain Azman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >