A&W mahu kembalikan keistimewaan restoran keluarga

Cawangan pertama S'pura di Jewel; cawangan Hab Ang Mo Kio mula operasi lewat Julai; cawangan ketiga dijangka dibuka awal 2020

RESTORAN makanan segera A&W sedang mengusahakan strategi untuk berkembang ke pasaran baru di Indochina dan Filipina - berdasarkan produk dan prosedur baru yang dicipta di Singapura sedang ia membuka cawangan baru di Jewel.

Restoran berusia 100 tahun itu memilih untuk melabur secara langsung di cawangan milik syarikat itu di sini, 16 tahun selepas ia keluar daripada pasaran Singapura.

Di luar Singapura, A&W mempunyai 361 cawangan di Asia Pasifik, namun tiada satu milik syarikat tersebut.

Indonesia mempunyai cawangan paling banyak dengan 265 cawangan.

Cawangan lain ialah di Malaysia, Thailand dan Okinawa di Jepun.

Cawangan pertama Singapura di Jewel dibuka April lalu, sementara cawangan di Hab Ang Mo Kio Hub akan mula beroperasi lewat Julai. Cawangan ketiga dijangka dibuka awal 2020.

A&W mengambil langkah lebih perlahan daripada jangkaan berbanding restoran makanan segera lain, kerana ia merancang berada di sini dalam tempoh lebih lama.

Langkah lebih perlahan itu dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) A&W, Encik Kevin Bazner kepada akhbar The Business Times.

Melabur secara langsung di pasaran Singapura memberi A&W lebih banyak ruang untuk mengawal mutu, jelasnya.

"Kami lebih lambat daripada biasa berbanding jenama lain yang ke sini. Jenama lain akan masuk dan kata: "Kami akan membuka 20 lokasi, 30 lokasi"... kami sengaja mengambil langkah lebih perlahan."

A&W akan menghidangkan semua makanan klasik Amerika seperti sandwic coney dog dan kentang goreng, curly fries dan menyediakan minuman ringan popular mereka, root beer, setiap hari.

"Masa perkhidmatan lebih lama," jelas Encik Bazner.

"Namun ia (makanan) tidak akan menanti pelanggan. Ia sebahagian besar daripada inisiatif mutu kami," jelasnya.

Restoran direka dengan langkah lebih perlahan di dalam fikiran.

Melebihi sajian makanan segera, firma itu mahu ibu bapa menikmati pengalaman membawa anak-anak mereka ke A&W sebagai sambutan istimewa.

Jika rayuan media sosial warga Singapura untuk kembali ke Singapura sejak beberapa tahun lalu tidak membuktikan ada rasa nostalgia di pasaran sini, bilangan mereka yang mengunjungi cawangan Jewel telah membuktikannya bagi Encik Bazner.

"Yang paling menarik perhatian saya apabila saya mengunjungi Jewel ialah bilangan keluarga - anak-anak kecil, datuk nenek dan ibu bapa. Tiga generasi sama-sama datang dan menikmati A&W," katanya.

A&W pertama kali berada di sini pada 1996, sebelum ia kemudian membuka lapan cawangan.

Pada 2002, syarikat makanan dan minuman Yum! Foods, yang memiliki jenama seperti KFC, Pizza Hut dan Taco Bell, memiliki A&W, tetapi mereka gagal menjayakan jenama tersebut.

A&W menutup kedai terakhirnya di sini, di Woodlands, pada 2003.

Laporan media berkata cawangan Singapura, kendalian francais Malaysia, rugi lebih RM2 juta (S$656,000) sejak Jun 2001 berikutan kos tinggi, persaingan sengit, pasaran lebih kecil dan ekonomi yang lembap.

Apa yang telah berubah sejak tempoh itu?

Sementara satu laporan SingStat pada April 2019 menunjukkan bahawa sektor makanan segera maju mempunyai pertumbuhan 8.2 peratus dalam perolehan tahun demi tahun, Encik Bazner menekankan bahawa A&W kembali untuk memperbaiki identitinya.

"Dahulu, ada lebih tekanan agar semua sama seperti yang lain," katanya.

Pada 2011, hanya 300 stor A&W kekal di Amerika Syarikat.

Tahun itu, francais Amerika Syarikat dan Indonesia membeli jenama dari Yum! Foods dan Encik Bazner, yang dahulu bertugas di A&W dari 1998 hingga 2003, kembali sebagai CEO.

Beliau mahu kembalikan keistimewaan A&W.

"Kami tidak sama seperti jenama restoran makanan segera yang lain, jadi jangan cuba bersaing secara langsung dengan mereka. Mari bersaing dalam ruang kami, dan apa yang orang ingat tentang kami: keluarga, mutu dan kenangan indah," katanya.

Apabila membina semula jenama buat jangka masa panjang, pemegang saham A&W berfikiran sama, katanya.

Mereka bukan di sini untuk "jual demi mendapat keuntungan cepat".

Kakitangan korporat A&W di sini juga telah meluangkan masa di cawangan Jewel.

Encik Bazner berkata pejabat tempat untuk mengira angka tetapi "perniagaan kami ialah di dalam restoran."

  • Laporan ini pertama kali diterbitkan di akhbar The Business Times pada 6 Julai lalu