Subuh
5:31
Syuruk
6:54
Zuhur
12:57
Asar
4:20
Maghrib
6:57
Isyak
8:11
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Search Distance From Your Location = 1 KM
100 M 1 KM
No restaurant found within  from your distance.
Wacana3

CATATAN WARTAWAN

Besarnya kesan pandemik hingga tak dapat dakap ibu di pagi Raya

May 21, 2020 | 05:30 AM

HAMPIR saban tahun, saya sekeluarga bergilir-gilir beraya di Singapura dan Johor.

Jika ibu saya berada di Singapura, kami beraya di sini. Jika ibu saya berada di Johor, kami beraya pula di sana.

Cuma jika beliau di Johor, saya kadangkala tidak dapat beraya di sana pada hari pertama memandangkan warga Singapura diberi hanya satu hari cuti umum.

Ini di samping keadaan sesak di Tambak Johor untuk masuk ke Malaysia pada hari sebelum Raya dan pada Raya pertama kerana ramai warga Singapura, tidak kira bangsa, yang mahu bercuti di sana.

Jadi, seringkali kami beraya di sana seminggu kemudian atau pada hujung minggu pertama, semampunya.

Namun, tahun ini memang berbeza.

Penularan wabak Covid-19 di negara ini dan juga Malaysia telah 'memaksa' pertukaran cara sambutan biasa.

Pertama, penularan wabak itu telah menyebabkan saya tidak dapat bertemu ibu di Johor sejak sebelum Ramadan lagi, menyusuli sekatan pergerakan yang diambil kededua Malaysia dan Singapura.

Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu - lebih sebulan sebelum Ramadan bermula - dan tidak membenarkan warga asing memasuki negara itu.

Singapura pula sejak beberapa bulan lalu tidak menggalak warganya pergi ke luar negara.

Kemudian ia melaksanakan perintah pemutus litar (CB) rangkaian jangkitan Covid-19 pada 7 April dengan perintah pergerakan lebih ketat.

Akibatnya, ibu dan saya tidak dapat berjumpa semenjak sebelum puasa lagi, semasa berpuasa dan kemungkinan besar semasa Raya ini.

Pada tahun-tahun sebelumnya, lazimnya sebelum atau semasa Ramadan, saya akan ke Johor untuk bersama-sama ibu sehari dua, termasuk bertemu saudara lain yang berada di sana.

Namun, selepas PKP di Malaysia dan CB di Singapura, yang menjadi interaksi antara saya dengan ibu hanyalah melalui telefon.

Pernah juga kaum kerabat di Singapura dan Johor mengatur pertemuan maya dengan ibu saya menggunakan Zoom sejurus sebelum memasuki bulan Ramadan.

Namun, rasanya lain.

Rasa sedih dan sayu kerana tidak dapat bertemu secara empat mata.

Memang diakui dalam masa sukar dan mencabar ekoran penularan wabak virus Covid-19, perkara biasa yang kami lakukan saban tahun tidak lagi dapat dilakukan tahun ini.

Kini, hampir setiap hujung minggu saya dan ibu berhubungan melalui telefon bertanya khabar - lebih-lebih lagi saya bimbang tentang kesihatannya yang baru-baru ini terjejas selepas mengalami keretakan di bahagian pinggang belakangnya,

Ini menyebabkan beliau tidak dapat banyak bergerak. Selalu terpaksa duduk sahaja. Jika hendak berdiri, katanya, rasa sakit di belakang dan kaki.

Saya bersyukur kerana abang saya - yang terjejas kerjanya sebagai pemandu teksi di sini - dan keluarganya, duduk di rumah bersebelahan rumah ibu dan menjaganya dengan baik.

Begitu juga ada juga anak buah abang saya yang tinggal berdekatan di situ.

Namun, memang kadangkala berlinang air mata juga kerana merindui orang yang melahirkan dan membesarkan kita. Siapa tak sayang ibu!

Sepanjang sebelum dan semasa Ramadan ini, saya menghubungi ibu melalui telefon dan memanjatkan doa agar beliau sentiasa diberi kesihatan.

Covid-19 memang memberi kesan besar kepada cara saya dan keluarga menyambut Ramadan dan juga Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Namun, yang paling menjejas ialah tidak dapat bertemu empat mata dan memeluk tubuh ibu yang disayangi.

Kata orang alim, selagi ibu masih ada, sayangilah dan berbaktilah kepada mereka.

Kepada arwah ayah saya, moga diampunkan dosanya dan dilapangkan kuburnya.

Semoga wabak Covid-19 ini dapat berlalu secepatnya.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian