Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Bulan Bahasa

Tema, program Bulan Bahasa tahun ini bertujuan bawa orang ramai kembali ke zaman-zaman dahulu untuk memperingati pembangunan Singapura
Sep 08, 2019 | 05:30 AM



'Cita. Citra. Cinta. Bahasa Kita' - tema pendek yang merangkumi matlamat dan harapan Bulan Bahasa 2019 yang ingin meraikan kepelbagaian bahasa Melayu dan menyemai rasa cinta terhadap bahasa ibunda dalam diri anggota masyarakat. Ikuti 'sembang' wartawan SITI AISYAH NORDIN (naisyah@sph.com.sg) dan FAKHRURADZI ISMAIL (mfismail@sph.com.sg) bersama pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Cik Rahayu Mahzam, dan beberapa duta bahasa yang dipilih tahun ini.




SELEPAS menyambut ulang tahun ke-30 tahun lalu, Bulan Bahasa tahun ini kembali dengan tema segar - Cita. Cinta. Citra. Bahasa Kita.



'Cita' untuk kekalkan kerelevanan bahasa, usaha menyemai 'cinta' terhadap bahasa ibunda dalam diri anggota masyarakat, dan 'citra' atau kepelbagaian dalam penggunaan bahasa Melayu.



Tema baru itu menggantikan tema lama - Ilmu, Budaya, Mesra - yang telah digunakan sejak 2013.



Namun, pengerusi jawatankuasa Bulan Bahasa, Cik Rahayu Mahzam, akui ingin terus menyasarkan kempen yang lebih baik berbanding kempen sebelumnya.



Untuk itu, kerjasama masyarakat dalam membentuk inisiatif 'grounds up' itu, terutama sekali dalam menyarankan idea-idea baru, amat bermakna.



"Bulan Bahasa telah melalui evolusi yang hebat. Jika dahulu tumpuan adalah terhadap golongan literati, kini ia melibatkan semua lapisan masyarakat.



"Kami ingin memperbaiki apa yang telah dibina selama ini dan kami galakkan semua jenis maklum balas daripada anggota masyarakat. Kami juga mempunyai 'blindspot' yang mungkin tidak diketahui atau tidak dibincangkan. Jika anda melihat sesuatu yang kurang pada kempen Bulan Bahasa, berilah kritikan anda dan sarankan sesuatu yang boleh membantu," katanya, semasa dihubungi Berita Minggu baru-baru ini.



Tambahnya, kerjasama dengan rakan-rakan kongsi terpilih dalam membentuk program Bulan Bahasa membantu mereka melihat dari perspektif berbeza.



Menurut Cik Rahayu, bersesuaian dengan sambutan Bicentennial Singapura, tema dan program Bulan Bahasa tahun ini bertujuan membawa orang ramai kembali ke zaman-zaman dahulu untuk memperingati pembangunan Singapura, tetapi pada masa yang sama memperkenalkan faktor kesegaran.



"Dengan mengongsi sejarah serta kisah dan naratif bahasa Melayu, kita berharap dapat mencetus minat dan rasa cinta yang mungkin terkait dengan pengalaman-pengalaman lama supaya mereka lebih tertarik dengan apa yang dipersembahkan.



"Pada masa yang sama kami juga ingin menyuntik kesegaran dalam kegiatan-kegiatan ini supaya ia kekal relevan untuk golongan yang lebih muda supaya kita terus jatuh cinta dengan bahasa Melayu dan budaya yang dikaitkan dengannya," ujarnya, membentangkan program tahun ini.



Orang ramai boleh menjangkakan pelbagai kegiatan yang rencam selepas Bulan Bahasa dilancarkan semalam di Muzium Tamadun Asia.



Menurut Cik Rahayu, kegiatan-kegiatan tersebut sesuai untuk semua lapisan masyarakat, tidak kira tahap penggunaan bahasa Melayu mereka.



"Kami semua berada di tahap-tahap berbeza dari segi penggunaan bahasa Melayu, dan Bulan Bahasa ini adalah sajian untuk semua, tak bermakna ia hanya untuk mereka yang pakar bahasa saja.



"Duta-duta bahasa yang kita pilih juga tak bermakna mereka pakar, tetapi apa yang mereka miliki adalah cinta dan semangat untuk berusaha menggunakan dan melestarikan bahasa kita," ujarnya.



Antara acara yang bakal diadakan termasuk dua persembahan tarian interaktif oleh kumpulan Sriwana, Sis Cuba dan Nenek I (Watch) yang memberi peluang kepada pengunjung menguji pengetahuan perkataan Melayu mereka melalui permainan multimedia.



Sis Cuba memaparkan seorang wanita bernama Amy yang baru pulang dari menetap di luar negara.



Untuk menyesuaikan diri dengan bahasa dan budaya Melayu, beliau mengunjungi Geylang Serai untuk membeli-belah.



Nenek I (Watch) pula menyentuh tentang kaitan teknologi dan budaya Melayu.



Kedua-dua persembahan tersebut menggunakan kuiz dalam persembahan tarian itu untuk melibatkan penonton.



Selain itu, untuk mengenali dan menghayati seni, tekstil, terbitan dan artifak yang terdapat di Nusantara pada abad ke-19, Bulan Bahasa akan melibatkan Rakan Bahasa dalam program Jelajah Muzium.



Rakan Bahasa merupakan pelajar yang telah dilantik untuk memperjuangkan kegiatan bahasa Melayu di sekolah mereka.



Selain mengetahui tentang sejarah, ia juga dapat meningkatkan keyakinan Rakan Bahasa untuk menyampaikan kisah berkenaan artifak itu kepada pengunjung dalam bahasa Melayu.



Bulan Bahasa kali ini juga akan dikembangkan ke beberapa estet perumahan, dengan yang terbaru kali ini di Toa Payoh.




EVOLUSI BULAN BAHASA



Bulan Bahasa telah melalui evolusi yang hebat. Jika dahulu tumpuan adalah terhadap golongan literati, kini ia melibatkan semua lapisan masyarakat. Kami ingin memperbaiki apa yang telah dibina selama ini dan kami galakkan semua jenis maklum balas daripada anggota masyarakat. Kami juga mempunyai 'blindspot' yang mungkin tidak diketahui atau tidak dibincangkan. Jika anda melihat sesuatu yang kurang pada kempen Bulan Bahasa, berilah kritikan anda dan sarankan sesuatu yang boleh membantu.
- Cik Rahayu Mahzam, pengerusi Bulan Bahasa 2019. 




BUDAYA KITA TERKAIT DENGAN BAHASA



Mungkin ada ibu bapa yang menyoalkan sama ada perlu atau tidak bahasa ini dalam kehidupan anak mereka, dan ada yang rasa baik gunakan bahasa Inggeris sahaja. Tapi kita kena ingat asal diri kita, budaya kita terkait dengan bahasa. Mungkin bahasa Melayu boleh menyentuh anak-anak dengan cara yang berlainan, mungkin ia satu alat komunikasi yang lebih lembut caranya jika digunakan dengan betul dan boleh dijadikan satu cara untuk mendekatkan diri mereka dengan kita.
– Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.



DEKATI BAHASA MELALUI UNSUR MUZIK



Saya lihat pelantikan saya sebagai duta bahasa tahun ini sebagai satu peringatan bahawa sebenarnya kita pernah fasih bertutur dalam bahasa Melayu sewaktu zaman persekolahan. Ini juga merupakan peluang bagi saya mengumpulkan serta mengajak para belia di Singapura agar mendekati semula bahasa dan budaya kita dengan menggunakan cara berbeza seperti menerapkan unsur muzik. Jika saya dapat menonjolkan diri saya sebagai seorang yang bersungguh-sungguh ingin mengenali semula bahasa dan budaya Melayu, saya harap ramai lagi dapat mengikut saya dalam perjalanan ini.
– Cik Nabillah Jalal.



PENTINGNYA BAHASA MELAYU KERAP DIGUNA DI RUMAH



Banyak cara yang mampu kita lakukan untuk mendekatkan lagi bahasa dan budaya kita dengan generasi sekarang, namun pada akhirnya, secara peribadi, saya rasa bahasa Melayu perlu kerap digunakan di rumah kerana di situlah tempat di mana kita dapat banyak berinteraksi dalam bahasa kita sendiri.
– Encik Aqmal Noor.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >