Subuh
5:30
Syuruk
6:53
Zuhur
12:55
Asar
4:19
Maghrib
6:56
Isyak
8:10
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Wacana0

KORONAVIRUS

Cabarannya tetap ada tapi kerja jalan terus walau dari rumah

Mar 29, 2020 | 05:30 AM

SUDAH hampir dua bulan saya kena 'duduk' di rumah.

Tapi ini bukan kerana saya dikuarantin atau dapat notis usah keluar rumah kerana ada kaitan dengan Covid- 19.

Saya duduk di rumah untuk bekerja.

Syarikat saya telah memutuskan untuk membahagikan operasi bilik berita akhbar ini kepada dua pasukan - pasukan 'Home Team' dan pasukan pejabat.

Saya antara mereka dalam 'Home Team' yang dikerah bertugas dari rumah.

Manakala pasukan di pejabat tetap bekerja di pejabat di Toa Payoh North.

Tujuannya ialah supaya jika terdapat salah seorang daripada kami atau pasukan terjangkit Covid-19, akhbar Berita Harian/Berita Minggu (BH/ BM) masih dapat terus menerbitkan berita.

Dalam keadaan penularan virus sekarang ini, maklumat dan perkembangan terkini mengenai wabak itu perlu disiarkan untuk pengetahuan umum.

Pembaca ingin tahu keadaannya, justeru maklumat yang tepat dan betul dari akhbar seperti BH/BM memainkan peranan penting.

KERJA JALAN TERUS

Ini bukan pertama kali saya bekerja di luar bilik berita.

Semasa wabak Sars pada 2003, BH/BM juga telah membahagikan operasinya kepada dua pasukan.

Saya dengan sekumpulan wartawan lain dikerah bekerja di pejabat milik syarikat kami di Genting Lane - terasing daripada ibu pejabat kami.

Rasionalnya sama.

Kerja di rumah serupa kerja di pejabat tetapi tanpa suasana ofis, tanpa rakan kerja dan tanpa sesi berehat minum teh di kantin bersama teman menghilangkan penat.

Di rumah, tugas tetap dijalankan.

Namun posisi ruang bertugas sering bertukar - kadang di meja makan, kadang di sofa dan pernah juga di katil.

Cuma di dapur sahaja yang belum saya cuba sebagai ruang bekerja!

Yang penting tanggungjawab menjalankan tugas tetap dijalankan dan masa bekerja tetap dipatuhi.

Lebih-lebih lagi waktu untuk memulakan pencetakan akhbar pada 9.30 malam, atau istilah bilik berita dipanggil masa 'off-stone'.

Sekiranya terlewat memulakan pencetakan dan tidak mengikut waktu, ia akan menjejas pencetakan akhbar lain kerana kami dan beberapa akhbar lain mengongsi mesin cetak yang sama.

Jika lambat mencetak, penghantaran surat khabar ke rumah juga mungkin lambat.

TEKNOLOGI MEMBANTU

Berbanding episod Sars dahulu, kami hari ini bersyukur dapat hidup seiring dengan kecanggihan teknologi masa kini.

Teknologi hari ini telah merubah cara bekerja. Dengan teknologi, kami boleh bekerja di mana sahaja.

Hasilnya sama pantas dan sama berkesan, serupa hasil ketika di pejabat.

Selain Internet tanpa wayar dan komputer riba lebih canggih yang memudahkan tugas, kami juga mudah berurusan dengan rakan kerja lain melalui telepersidangan, perhubungan melalui WhatsApp, dan banyak lagi.

Ia sekali gus dapat membantu mengekalkan daya penghasilan, meskipun kami sebenarnya berada di rumah.

Walaupun semua tugas kini dilakukan secara digital, tiada masalah tugas yang terbantut, melainkan jika terdapat komputer atau Internet 'hang'.

Cemas juga dibuatnya, tetapi sokongan teknikal syarikat segera dapat membantu.

Jika dibandingkan, bekerja semasa episod Sars dahulu terasa diri macam berada di zaman 'kuno' - serba kekurangan.

Waktu itu kami hanya dapat berhubung menerusi mesin faks dan 'pager', bahkan e-mel pun masih setahun jagung.

CABARAN RUMAH

Bohong kalau saya katakan bekerja di rumah tiada cabarannya. Sebaliknya di rumah lebih banyak cabaran daripada pejabat!

Ketika baru memulakan tugas di rumah, saya perlu menyesuaikan diri seberapa segera.

Saya harus selalu mengingatkan diri bahawa rumah saya kini 'pejabat'.

Beberapa perkara seperti isu teknikal serta penyelarasan dan komunikasi yang dijalankan tanpa hubungan fizikal perlu diperbetul dan dilaksanakan secara teratur.

Kalau tidak, perkara seperti kiriman mesej dan e-mel tanpa henti boleh menenggelami tugas.

Bekerja di rumah juga kadangkala terasa asing dan sepi. Mujur WhatsApp dan Hangout dapat menyambung gurau senda bersama teman kerja di alam maya.

Namun bagi saya cabaran utama ialah fokus. Suasana santai di rumah dan 'gangguan' lain boleh menghilangkan fokus pada tugas.

Tapi saya mungkin bernasib baik kerana selain dapat 'mengawal' gangguan, saya juga tidak ada anak kecil, justeru dapat memberikan tumpuan 100 peratus kepada pekerjaan.

Bagaimana pula bagi mereka yang masih ada anak kecil?

Terdapat juga tanggapan bahawa bekerja di rumah satu keistimewaan.

Ada yang menyangka ia membenarkan pekerja bekerja secara relaks dan menjalankan kegiatan peribadi dalam waktu bertugas.

Tapi ini semua hanya tanggapan dan sangkaan. Hakikatnya amanah yang diberikan tetap kami jalankan secara jujur dan penuh dedikasi.

Wabak Covid-19 sukar diramal bila akan berakhir.

Namun apa yang boleh dijangkakan ialah teknologi kini membolehkan pekerja bekerja di rumah.

Hari ini kami dan banyak lagi syarikat sudahpun mengamalkannya walaupun hanya sementara. Namun esok, lusa ia mungkin boleh menjadi satu realiti dan norma baru.


Penulis Editor Malam BH/BM.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian