Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Cekal dampingi pesakit ginjal walau hidap kegagalan buah pinggang

Dec 27, 2021 | 05:30 AM



Fungsi utama buah pinggang ialah membersihkan darah, membuang sisa toksik dan bahan kimia lain yang tidak diperlukan badan. Malangnya, penjagaan kesihatan buah pinggang semakin diabaikan menyebabkan jumlah pesakit yang menghidap penyakit ini kian meningkat. Menyedari kepentingan menjaga ginjal, sukarelawan bekerjasama rapat dengan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) bagi program pendidikan kesihatan ginjal serta daya usaha untuk mendekati penduduk kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. BERITA HARIAN melaporkan.




MUNGKIN ada sesetengah orang yang berasa lemah apabila ditimpa masalah kesihatan berlarutan.



Ada yang mungkin memilih lebihkan berehat daripada melakukan kerja-kerja berat ataupun kerja sukarela.



Namun, bagi Cik Siti Hanim Abdul Rahim, dia mempunyai pandangan berbeza.



Wanita berjiwa cekal berusia 58 tahun itu yang mengalami kegagalan buah pinggang terus memilih melakukan kerja kemasyarakatan dengan menjadi sukarelawan dengan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF).



Padahal dia perlu menjalani dialisis sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap sesi berjalan selama empat jam, sejak April 2019.



"Alhamdullilah, Tuhan masih berikan semangat dan kekuatan dalam diri saya.



"Apa yang perlu sekarang adalah menyalurkan tenaga saya kepada mereka yang senasib saya," jelasnya.



Cik Siti Hanim yang merupakan model video pengurusan jagaan diri sendiri sebelum rawatan haemodialisis terbitan NKF, antara lain menjadi pendamping kepada pesakit buah pinggang termasuk mereka yang menjalani dialisis sepertinya.



Di samping itu, dia turut memberi ceramah ringkas mengenai pesakit buah pinggang, termasuk pengalaman dirinya sendiri kepada pertubuhan akar umbi, syarikat, dan sekolah di serata Singapura.



Cik Siti Hanim yang telah menjadi sukarelawan NKF sejak tiga tahun lalu juga berkongsi pengalaman dengan pesakit sepertinya dengan hasrat menyuntik semangat terhadap golongan senasib dengannya.



"Terus terang, saya sendiri seolah-olah menafikan apa yang saya hidapi kali pertama saya disahkan menghidapnya.



"Pernah juga saya tangisi nasib yang saya alami dan menyoal mengapa saya yang menghidap penyakit ini.



"Namun lama-kelamaan, atas dorongan dan sokongan adik-beradik, dan anggota keluarga lain serta kakitangan jagaan kesihatan, saya lebih bertekad kuatkan diri ini.



"Lagipun, saya mula anggap ini ujian buat diri saya - ujian tentang bagaimana saya hadapinya dan ujian bagaimana saya dapat redakan emosi yang tertekan dalam kalangan pesakit seperti saya," jelasnya.



Menurutnya, sebelum wabak Covid-19 melanda, dia menghabiskan sekali setiap minggu dalam sesi dan program anjuran NKF yang diadakan secara fizikal.



Kini, lebih banyak kegiatan bertemu pesakit lain, pertubuhan akar umbi atau sekolah diadakan secara dalam talian.



Meskipun menganggapnya tidak serupa seperti bertemu secara fizikal, Cik Siti Hanim berasakan kegiatan ini masih tetap meninggalkan kesan ke atas pesakit yang dia temui.



"Memang ada juga yang tidak mampu atau tidak dapat gunakan aplikasi Zoom bagi pertemuan ini.



"Namun, di sebalik itu, masih ada sesetengah pesakit yang ditemui lahirkan rasa senang setiap kali saya bertemu mereka, biarpun secara dalam talian.



"Ada yang luahkan perasaan yang dialami mereka pada ketika itu dan ada juga yang menangis tatkala berkongsi kisah mereka.



"Walaupun saya terkesan dengan kisah mereka, saya perlu kuatkan diri dan tidak menangis di hadapan mereka. Sebaliknya, saya terus berikan kata-kata perangsang kepada mereka agar teruskan saki-baki kehidupan," ujarnya.



SOKONGAN YANG DITERIMA



Mujur bagi Cik Siti Hanim, dia mendapat sokongan padu daripada adik-beradiknya yang peka akan kesejahteraannya sejak kali pertama dia dikesan menghidap penyakit itu.



Dia kini tinggal bersama keluarga adik lelakinya yang tinggal bersama isteri serta tiga anak lelaki mereka di kawasan Woodlands.



Anggota keluarganya yang lain turut menghubungi dan bertanyakan khabarnya secara kerap - memandangkan mereka sukar bertemunya dalam sekitaran hari ini.



Ditanya tentang ongkos yang perlu dibiayainya setiap bulan, Cik Siti Hanim berkata kos dialisisnya ditanggung sepenuhnya oleh pihak NKF memandangkan dia tidak bekerja.



Dia perlu menjalani dialisis di Pusat Dialisis Jo & Gerry Essery-NKF di Blok 204, Marsiling Drive, setiap Isnin, Rabu dan Jumaat malam.



Bekas pentadbir di sebuah syarikat telekomunikasi dan instruktor gamelan di sekolah-sekolah setempat itu turut menerima bantuan wang sebanyak $550 sebulan daripada ComCare.



Kos perubatannya juga ditanggung pihak hospital setiap kali dia tampil berjumpa doktor dan untuk mendapatkan ubat yang diperlukannya.



"Apa yang saya terima digunakan untuk menaiki pengangkutan awam seperti teksi.



"Biasanya, saya seorang diri ke mana sahaja saya pergi termasuk ke pusat dialisis atau kerja kemasyarakatan," katanya yang turut menghidap penyakit tekanan darah tinggi sejak usia awal 20-an tahun.



Bagi mengisi masanya secara lebih aktif, Cik Siti Hanim juga kerap bermain boling selain berbasikal bersama anggota keluarganya.



Nasihatnya kepada pesakit buah pinggang lain yang ingin turut aktif, Cik Siti Hanim berkata:



"Saya sarankan mereka dapatkan nasihat doktor dahulu sebelum mulakan kegiatan yang aktif.



"Dan lebih penting lagi, lakukan ikut tahap kemampuan mereka sendiri."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >