Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Dapatkah Pakatan Harapan mencabar BN?

Pengamat: Kesan gandingan Anwar-Mahathir mungkin tidak sedalam yang dijangka
Jul 26, 2017 | 05:30 AM



Kontroversi sodomi dan rasuah menjadikan mereka seteru selepas sekian lama menjalin hubungan di meja politik yang sama. Namun, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Anwar Ibrahim kini bergabung semula untuk berdepan dengan seteru yang sama, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. Apakah faedahnya gabungan ini dan bagaimana ia menambah kepada kerumitan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 Malaysia?



HUBUNGAN strategik antara dua seteru politik - mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dan mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad - adalah ancaman baru kepada Umno dan boleh menjejas pangkalan sokongan parti yang memperjuangkan hak Melayu itu, kata pengamat.



Malah, ia telah mencetus keprihatinan dalam kalangan kepimpinan Barisan Nasional (BN), yang kini sudah memulakan usaha memperkukuh pangkalan sokongan Melayu.



Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) mengenai sejarah pertembungan antara Anwar dengan Dr Mahathir, Zamil Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Mustafa Izzuddin, berkata ia bukan 'keprihatinan kritikal' kerana percanggahan seperti itu boleh dicari penyelesaiannya kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedar bahawa mereka perlu bekerjasama bagi mewujudkan peluang menewaskan BN yang diketuai Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.



"Ada lebih banyak manfaat politik bagi PPBM dan PKR dengan bekerjasama daripada berjuang secara sendirian atau mengkritik satu sama lain," kata Dr Mustafa.



PPBM, yang ditubuhkan akhir tahun lalu oleh Dr Mahathir, ialah anggota terbaru dan keempat Pakatan Harapan (PH).



PH ditubuhkan oleh mantan anggota perintis Pakatan Rakyat (PR) - Parti Tindakan Demokratik (DAP), Amanah - kumpulan pecahan daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS) - dan PKR, yang diketuai Anwar.



PAS berpecah daripada PR kerana perbezaan pendapat sekitar dua tahun lalu.



Baru-baru ini, Dr Mahathir berkata beliau memegang jawatan utama dalam PH , mengundang kemarahan penyokong Anwar.



Dr Mahathir dan Anwar masingmasing dilantik sebagai pengerusi dan ketua umum PH minggu lalu.



Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri kepada Dr Mahathir pada 1998, memulakan kontroversi sodomi, yang antara lain, menyebabkan Anwar dipenjarakan, sehingga kini.



Namun, melebihi sejarah, gandingan Anwar-Mahathir memberi kelebihan besar kepada PH kerana penyertaan PPBM menjadikannya perwakilan berbilang bangsa yang lebih ketara.



Lantaran itu, Profesor Madya daripada Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi berkata BN memerlukan strategi baru bagi menentang PH.



"Gandingan Anwar-Mahathir dan struktur Pakatan Harapan baru menyaksikan tidak ada monopoli etnik Cina dalam struktur baru yang menjadi stigma kepada etnik Melayu sebelum ini," kata Dr Awang Azman, yang menambah bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 boleh ditangguhkan kerana perkembangan itu.



Pada masa yang sama, kata Dr Mustafa pula, PPBM perlu prihatin tidak meminggirkan undi Cina dalam usaha memburu undi Melayu.



"PH perlu mencari keseimbangan. Jika ia terlalu menampilkan PPBM dan tidak dilihat berbuat serupa bagi DAP, ia boleh menyebabkan jumlah pengundi Cina berkurangan," ujar Dr Mustafa.



"Lebih buruk lagi, ia boleh menyebabkan undi Cina berpindah daripada PH kepada BN, yang boleh menjejas kerusi lebih kecil."



PRU 2017 di Malaysia perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan, tetapi para pengamat politik berkata ia mungkin berlangsung pada Oktober ini, sebagai mengambil kesempatan kemeriahan Sukan SEA dan Hari Kemerdekaan, kededuanya berlangsung bulan depan.



Satu lagi manfaat gandingan Anwar-Mahathir ialah pengaruh masing-masing ke atas undi Melayu di kawasan bandar dan pedalaman, kata mantan setiausaha politik Datuk Najib, Encik Oh Ei Sun.



"Gabungan mereka boleh menggabungkan kededua kumpulan undi ini," kata Encik Oh, yang berkhidmat dengan Datuk Seri Najib dari 2009 hingga 2011, dan kini seorang zamil kanan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).



Namun, beliau juga berkata kesan gabungan ini mungkin tidak sedalam yang dijangka, kerana sikap pengundi yang memang berbeza.



"Kebanyakan pengundi dari kota telah membuat keputusan mahu menyokong pembangkang, sementara pengundi di kawasan pedalaman lebih tertarik kepada perkembangan prasarana dan pembahagian sumber yang berpihak kepada mereka, disebabkan keadaan sosio-ekonomi lebih rendah," ujar Encik Oh.



Dalam pada itu, katanya, walau tumpuan kini terpahat kepada perbalahan antara parti berteras Melayu yang membetuk PH dengan Umno, kumpulan ketiga - PAS - boleh bertindak sebagai perosak dan 'menyalurkan' undi kepada Umno.



"Mereka (pengundi) besar kemungkinan akan berpaling daripada undi PH dan beralih kepada Umno, membenarkan Umno meraih kemenangan dalam sesebuah kawasan undi," kata Encik Oh.




"Ada lebih banyak manfaat politik bagi PPBM dan PKR dengan bekerjasama daripada berjuang secara sendirian atau mengkritik satu sama lain...

PH perlu mencari keseimbangan. Jika ia terlalu menampilkan PPBM dan tidak dilihat berbuat serupa bagi DAP, ia boleh menyebabkan jumlah pengundi Cina berkurangan."

- Dr Mustafa Izzuddin, Zamil Iseas-Institut Yusof Ishak.



"Pengundi di kawasan pedalaman lebih tertarik kepada perkembangan prasarana dan pembahagian sumber yang berpihak kepada mereka, disebabkan keadaan sosio-ekonomi lebih rendah... Mereka (pengundi) besar kemungkinan akan berpaling daripada undi PH dan beralih kepada  Umno, membenarkan Umno meraih kemenangan dalam sesebuah kawasan undi."
- Encik Oh Ei Sun, mantan setiausaha politik Datuk Seri Najib Razak.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >