Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Detik-detik membanggakan

Sokongan semua pihak bantu perang dadah berhasil namun perjuangan perlu diteruskan
Aug 01, 2021 | 05:30 AM



DALAM beberapa tahun ini, masyarakat Melayu/Islam menghasilkan kemajuan ketara, terutama dalam meningkatkan kesedaran mengenai kemudaratan penyalahgunaan dadah dan pentingnya peranan ibu bapa dalam meningkatkan pelibatan dalam membesarkan anak, dan lebih prihatin tentang pergaulan dan kegiatan mereka.



Saya amat berbesar hati dan bangga atas pencapaian yang kita raih kerana ia menunjukkan masyarakat kita bersemangat gotong-royong dan ingin membantu saudara-saudara kita yang dalam kesusahan dan lebih memerlukan.



Kita juga dapat menyemarak kerjasama dan semangat kemasyarakatan padu dalam memberi sokongan kepada pesalah, bekas pesalah dan keluarga mereka.



Ini dapat membantu mereka mengatasi masalah dan cabaran yang dihadapi, dan mencegah daripada terlibat dalam kancah jenayah atau penyalahgunaan dadah sebagai jalan keluar daripada masalah mereka. Bak pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.



Kemajaun yang kita kecapi, sungguh pun diduga pandemik Covid-19, mencerminkan semangat ketahanan masyarakat kita.



Kami mengembeling tenaga badan-badan masyarakat seperti Pergas, AMP, MCS, PPIS, HGEF, 4PM, Mendaki, Mesra, Muhammadiyah, Bapa Sepanjang Hayat, SKML, IMSSA, rumah peralihan Jamiyah dan Pertapis untuk bekerjasama dengan pasukan Home Team bagi melakar usaha membendung penyalahgunaan dadah dan mencegah jenayah atau kemungkaran.



Banyak detik membanggakan yang kami raih hasil usaha itu dan akan dikongsi di sini.



USAHA PUSAT KHIDMAT PENJAGAAN BERTERUSAN BAGI PESALAH DAN KELUARGA (FITRAH)



Ditubuhkan pada 2019, FITRAH telah melakar kurikulum bagi pesalah Islam di penjara, termasuk menyediakan khutbah Jumaat, perbincangan isi khutbah, pembacaan Al-Quran, dan syarahan agama.



Mereka juga memberi sokongan kepada bekas pesalah dan keluarga mereka yang memerlukan bantuan. Dalam masa beberapa tahun ini, FITRAH telah menyediakan sokongan berterusan kepada pesalah semasa di penjara dan setelah dibebaskan.



Sokongan sebegini dapat memberi dorongan dan bimbingan kepada pesalah untuk terus memperbaiki diri dan berusaha menjauhi pergaulan dan pengaruh tidak baik.



FITRAH juga bekerjasama dengan M3 dan kawasan akar umbi kejiranan untuk memberi sokongan dan bantuan bagi keluarga pesalah. Sukarelawan FITRAH dan akar umbi melawat dan menilai keperluan keluarga pesalah sebelum memberi bantuan yang diperlukan atau menyalurkan mereka kepada badan masyarakat tertentu untuk memberi bantuan.



Dengan usaha mereka, FITRAH dapat meningkatkan jumlah sukarelawan Melayu/Islam untuk berkhidmat sebagai guru agama, pendamping atau pengendali program pemulihan di penjara.



Hingga Jun 2021, FITRAH mempunyai 450 sukarelawan terlatih - peningkatan sangat ketara daripada kurang 100 relawan yang berkhidmat sebelum FITRAH ditubuhkan.



SEBARKAN MESEJ ANTIDADAH



Dalam usaha mendekati masyarakat untuk menyebarkan mesej antidadah dan mencegah penyalahgunaan dadah, kempen Dadah Itu Haram (DIH) ditubuhkan pada 2017.



Kempen ini berjaya mendekati lebih 250,000 orang dalam masyarakat Melayu/Islam melalui kerjasama badan masyarakat, gerai makanan, kedai gunting rambut, masjid dan sukarelawan.



Sejak ia ditubuhkan, lebih 200 sukarelawan dan lebih 300 badan masyarakat dan perniagaan telah menyokong usaha ini.



Kempen ini meningkatkan kesedaran bahawa dadah adalah haram dan penyalahgunaan dadah akan membawa kemudaratkan kepada diri sendiri dan keluarga tersayang. Gabungan bersama sekolah dan pertandingan dianjurkan di bawah sepanduk DIH meraih tarikan hebat.



Sebagai contoh, pertandingan Dikir Barat, Piala Suara Serumpun, menekankan mesej antidadah pada acaranya. Mesej antidadah juga kerap dikongsi di media sosial DIH dan badan masyarakat yang menyokong kempen ini, agar dapat mendekati lebih ramai orang.



PERANAN MASJID YANG MENGEMBANG



Masjid juga berganding bahu menyokong kempen DIH. Pada hujung Jun, bagi menyambut Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pengedaran Dadah Haram, dan memberi sokongan kepada kempen DIH dan usaha mencegah penyalahgunaan dadah, kesemua 71 masjid di Singapura menyambut baik dan mengikrar sokongan kepada kempen ini dengan mempapar kain rentang dan sepanduk antidadah di pekarangan dan ruang masjid.



Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, melancarkan usaha gabungan CNB dan MUIS dalam menyebarkan mesej antidadah ini di kesemua masjid.



Saya menghadiri upacara pelancaran itu, di mana beliau memuji hubungan akrab dan komitmen Muis dan masjid dalam mencegah penyalahagunaan dadah dalam masyarakat kita dan menyokong usaha CNB mencegah penyalahgunaan dadah.



Dalam meningkatkan sokongan bagi pesalah dan bekas pesalah, Masjid Al Istighfar menyediakan ruang untuk mereka yang mengikuti fasa ketiga Program Insan Mukmin yang dilakar PERGAS. Pada Jun, kita menyaksikan 13 penuntut menamatkan pengajian mereka dalam program itu. Ini adalah usaha baik Muis dan Masjid Al Istighfar dalam mengembangkan peranan masjid dalam masyarakat.



SOKONGAN MUFTI



Saya juga amat berterima kasih akan sokongan kuat Pejabat Mufti dalam usaha kami meningkatkan kesedaran tentang kemudaratan penyalahgunaan dadah dan mendapatkan sokongan masyarakat dalam membantu pesalah dan keluarga mereka mengharungi rintangan.



Pada acara Muhasabah Masyarakat Bersama Mufti pada 2019, mantan Mufti, Dr Fatris Bakaram, menggesa masyarakat supaya memberi peluang dan menerima bekas pesalah kembali ke pangkuan masyarakat dan keluarga. Beliau juga menyeru masyarakat supaya tampil menjadi sukarelawan bersama FITRAH untuk memberi sokongan kepada pesalah dan keluarga mereka.



Pada Mac, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir meneruskan usaha ini dengan mendekati 380 pesalah di penjara untuk memberi kata-kata motivasi sebagai mangkin untuk mereka berubah dan memperbaiki semula hubungan bersama keluarga.



Pesalah yang saya temu bual semasa lawatan saya ke penjara berkata mereka terkesan oleh kata-kata mutiara Mufti dan berazam memperbaiki diri.



KADAR KEBENTENAN MEROSOT



Kadar dua tahun kebentanan pesalah merosot daripada 27.4 peratus dalam kalangan yang dibebaskan pada 2011 kepada 22.1 peratus bagi yang dibebaskan pada 2018.



Ini kadar terendah sejak 1990. Kadar dua tahun kebentanan pesalah Melayu pula merosot daripada 34.7 peratus bagi yang dibebaskan pada 2011 kepada 28.8 peratus bagi yang dibebaskan pada 2018.



Ini adalah kemajuan dan pencapaian yang kita raih atas usaha dan sokongan masyarakat selama ini. Namun, kita harus terus berusaha menyokong bekas pesalah supaya mereka dapat memulakan hidup baru, jauh daripada kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah.



PERJUANGAN BERTERUSAN



Sungguhpun kita meraih detik-detik membanggakan dalam beberapa tahun ini, banyak lagi usaha harus kita perjuangkan. Saya amat mengalu-alukan lebih ramai sukarelawan tampil membantu masyarakat kita di penjara dan keluarga mereka yang terpaksa mengharungi kehidupan susah.



Mereka boleh menghubungi FITRAH untuk mendapatkan latihan dan butiran lebih lanjut.



Ambillah pendekatan 'bersatu teguh, bercerai roboh' di mana jika kita mengembeling tenaga sebagai sebuah masyarakat, kita dapat membasmi penyalahgunaan dadah dan memberi peluang masa depan lebih baik bagi anak muda kita berjaya.



Jika kita tidak berusaha bersama atau kurang mengambil peduli, masa depan masyarakat kita mungkin terjejas oleh pengaruh anasir yang masih membelenggu.



Dalam kita menyambut Hari Kebangsaan yang akan datang ini, marilah kita berjuang bersama sebagai sebuah negara dalam memperbaiki masyarakat kita dan menjadikannya lebih baik untuk generasi akan datang.



Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan yang penuh kebanggaan untuk semua.



Majulah Singapura!




  • Penulis Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >