Subuh
5:36
Syuruk
6:53
Zuhur
12:57
Asar
4:02
Maghrib
7:00
Isyak
8:08
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Wacana
37
0

Doha kukuh kedudukanselepas jayakan Piala Dunia

Singapura dan Qatar telah mengukuhkan hubungan dua hala dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Bin Jassim Al Thani, mengunjungi Singapura selama tiga hari pada 23 hingga 25 Ogos 2023. Ketibaan Perdana Menteri Qatar itu disambut hangat dalam pertemuan dengan mantan Presiden Halimah Yacob ketika itu. Beliau kemudian bertemu Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong. Sheikh Mohammed turut menyampaikan Kuliah Institut Antarabangsa bagi Pengajian Strategik Raffles mengenai topik ‘Negara Kecil: Strategi Kejayaan dalam Dunia Berdaya Saing’. Dalam ucapannya, beliau berkongsi strategi bagaimana negara boleh menjadi pemain yang berjaya di pentas sejagat. Menurutnya, untuk menjadi pemain sejagat yang berjaya, negara perlu memberi tumpuan kepada pembangunan prasarana dan pelaburan dalam sektor-sektor kunci utama yang akan mendorong pertumbuhan ekonomi. BERITA HARIAN melihat perkembangan kemajuan Qatar selepas dengan jayanya menganjurkan Piala Dunia 2022.
Sep 18, 2023 | 05:30 AM

Sembilan bulan selepas berakhirnya Piala Dunia 2022, hiasan pertandingan bola sepak masih memenuhi ruang-ruang utama di Doha, ibu kota Qatar.

Stadium-stadium yang dulu padat dengan sorakan kini menunggu untuk diubah suai menjadi ruang serba guna.

Papan-panan iklan yang mempromosikan temasya bola sepak masih teguh berdiri.

Sebuah patung Piala Dunia FIFA 2022 masih terpampang di teluk dengan kapal layar dhow yang tertambat di air teluk yang tenang menjadi latar belakangnya.

Semua itu menggambarkan seolah-olah Qatar masih ingin memegang erat kenangan kejayaan tersebut sambil memikirkan cara untuk meningkatkan prestasinya selepas menjadi negara Arab pertama menjadi tuan rumah salah satu acara sukan terbesar di dunia.

Ia membelanjakan lebih AS$220 bilion ($299 bilion) untuk prasarana, bagi mempersiap diri menjadi penganjur dengan membina hampir kesemua stadium baharu selain jaringan jalan raya, lapangan terbang baharu serta pelbagai kemudahan lain.

Perhatian kini beralih kepada pencapaian Qatar pasca Piala Dunia.

Pemimpin Qatar menegaskan bahawa mereka sedang merancang fasa seterusnya dalam pembangunan negara yang kaya dengan gas itu.

Mereka menggambarkan hasrat mencipta ekonomi berasaskan pengetahuan dan memainkan peranan sebagai “penyelesai masalah antarabangsa”.

Walaupun demikian, terdapat kebimbangan mengenai apa yang akan berlaku selepas itu ketika kerajaan menghadapi kritikan berterusan mengenai pengurusan pekerja migran dan dakwaan kontroversi mengenai cara ia memperoleh hak tuan rumah Piala Dunia.

“Enam bulan terakhir agak mengecewakan. Ramai orang berasa kecewa dan sulit membayangkan Doha akan kembali bangkit seperti dulu. Apa rancangan Qatar?,” tanya pengarah di Majlis Timur Tengah mengenai Hal Ehwal Sejagat, Encik Tarik Yousef.

Kesinambungan kemajuan

Namun tidak ramai sedar pulangan yang Qatar terima dari segi kesan ekonomi. Cara Qatar menjawab soalan itu akan menjadi kajian kes mengenai sejauh mana Piala Dunia memberi kesan ketara jangka panjang.

Salah satu cabaran utama ialah meyakinkan pelabur asing bahawa negara dengan populasi 3 juta orang, di mana hanya 400,000 merupakan rakyat Qatar, sepatutnya menjadi destinasi pelaburan pilihan.

Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani, yang memegang dua peranan sebagai Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, berkata: “Piala Dunia adalah permulaan, bukan pengakhiran.”

Qatar telah menyatakan hasrat untuk menjadikan kejohanan itu sebagai titik permulaan transformasi negara. Mereka berhasrat untuk terus berkembang dalam pelbagai sektor, daripada pendidikan kepada teknologi.

Sebagai negara Arab pertama menjadi tuan rumah bagi salah satu acara sukan terbesar di dunia, ia menaikkan profil Qatar di pentas antarabangsa.

Menurut Sheikh Mohammed, walau ada kecenderungan untuk terus terpaku kepada pencapaian tersebut, kini masanya sudah tiba untuk mengejar lebih banyak perkara lagi.

Kejayaan penganjuran Piala Dunia setakat ini telah memberi semangat kepada warga Qatar dan mengukuhkan azam mereka untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik di samping iltizam untuk membawa Sukan Olimpik 2036 ke Doha.

Dengan lebih 80 peratus tenaga kerja tempatan bekerja dalam sektor awam, pemimpin mahu meningkatkan produktiviti.

“Kami perlu membina daripada kejayaan Piala Dunia,” kata seorang pegawai kanan.

Sebagai salah satu pengeksport gas asli cecair terbesar di dunia, Qatar mempunyai sumber kewangan yang besar. Kini, dengan pendapatan gas yang dijangka meningkat, Qatar merancang memperluas kapasiti pengeluarannya.

Sheikh Mohammed mahu Qatar memanfaatkan kekuatan kewangannya dan prasarana baru untuk membangunkan sektor seperti penjagaan kesihatan, tenaga, logistik dan pendidikan.

“Tujuan kami adalah untuk menarik lebih banyak syarikat asing dengan meningkatkan insentif untuk mereka datang ke Qatar,” ujar Sheikh Mohammed.

Dari industri perikanan ke ekonomi terkaya dunia

Qatar, sebuah negara yang kini dikenali sebagai antara negara terkaya di dunia, telah menjalani perubahan amat drastik dalam tempoh beberapa dekad.

Sebelum merdeka dari United Kingdom pada 1971, Qatar merupakan negara dengan ekonomi dalam kategori termiskin di Timur Tengah. Industri perikanan menjadi tulang belakang ekonomi negara itu.

Namun, sepanjang tiga dekad lalu, nasib Qatar telah berubah dengan begitu ketara.

Penemuan minyak dan gas asli di negara tersebut telah mengubah landskap ekonomi mereka. Kekayaan hasil bumi itu telah memacu pertumbuhan ekonomi Qatar dengan pantas, menjadikannya salah satu kuasa ekonomi utama di rantau tersebut.

Penganalisis ekonomi percaya penemuan minyak dan gas asli merupakan faktor utama yang mendorong Qatar keluar daripada kemelesetan ekonomi dan mendorongnya ke puncak kejayaan.

Kini, dengan prasarana moden dan pelaburan yang tersebar di seluruh dunia, Qatar telah menetapkan dirinya sebagai salah satu pemain utama dalam arena ekonomi sejagat.

Kerajaan Qatar, di bawah bimbingan Sheikh Mohammed, telah menggariskan visi untuk mengembangkan ekonomi berasaskan pengetahuan dengan tumpuan kepada sektor utama seperti penjagaan kesihatan, tenaga, logistik, dan pendidikan.

Ia membayangkan memanfaatkan Dana Pelaburan Qatar, yang bernilai kira-kira $450 bilion, untuk membiayai daya usaha tersebut.

Sheikh Mohammed menambah: “Tujuan kami adalah untuk menarik lebih banyak syarikat asing dengan meningkatkan insentif untuk mereka datang.”

Selain itu, persaingan dengan Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang memiliki ekonomi dan sumber daya lebih besar, menambahkan tekanan.

“Kami mempunyai struktur ekonomi yang serupa tetapi pendekatan kami berbeza; kami cuba menjadi sangat khusus dan berfokus,” kata Sheikh Mohammed. Negara ini katanya perlu membuktikan bahwa ia lebih daripada sekadar tuan rumah acara sukan; ia juga harus menjadi pemain sejagat.

Satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian adalah status sosial dan ekonomi pekerja migran. Kontroversi mengenai perlakuan terhadap mereka selama pembinaan prasarana Piala Dunia menimbulkan soalan tentang komitmen Qatar terhadap hak asasi dan keadilan sosial.

Langkah yang diambil oleh Qatar setelah Piala Dunia akan menjadi kajian kes menarik tentang bagaimana sebuah negara mampu memanfaatkan rentak daripada acara sebesar itu untuk perubahan jangka panjang.

Dengan daya tarikan dan sumber daya yang ada, potensi untuk meraih kejayaan masih ada.

Namun, seperti yang dinyatakan oleh Encik Tarik, “Cabaran dalam membina taman teknologi atau kepelbagaian ekonomi bukan pada visi atau komitmen, tetapi pada pelaksanaan.”

Oleh itu, apa yang benar-benar akan menentukan kejayaan Qatar adalah keupayaannya merancang dan melaksanakan strategi yang berkesan dan dalam tempoh jangka panjang.

Sebab utama sesebuah negara sanggup menghabiskan dana bagi mendapatkan hak penganjuran perlu dilihat daripada sudut emosi dan psikologi, bukan lagi daripada sudut ekonomi – walau apa pun alasan yang digunakan ahli untuk memberikan pewajaran mendapatkan hak penganjuran, ujar Encik Tarik.

Menurut Qatar, penganjuran Piala Dunia telah memberikan dimensi baru kepada negara mereka dan temasya itu meletakkan Qatar di bibir masyarakat seluruh dunia, yang selama ini dibayangi negara-negara Arab lain walaupun hanya untuk tempoh sebulan.

Menurut syarikat media sejagat, Forbes, penganjuran Piala Dunia menelan kos tertinggi Piala Dunia. Ia menunjukkan bahawa Qatar telah membina semula negaranya untuk tujuan tersebut.

Kejohanan Piala Dunia menjadi kesempatan untuk negara tuan rumah menonjolkan identiti budaya mereka, dan ia biasanya dianggap sebagai titik permulaan kepada idea yang lebih luas dalam usaha mempromosikan negara, tambah Forbes.

Malah sektor ekonomi halal, Qatar kini menyaksikan peningkatan tinggi. Negara tersebut sedang menggalakkan sektor utama mempunyai potensi pertumbuhan tinggi bagi mewujudkan produk serta perkhidmatan yang selari dengan syariah Islam.

Qatar merekodkan aset pasaran bernilai AS$14.2 bilion dalam sektor pelancongan Islamik; AS$5,1 bilion dalam sektor kesihatan serta AS$849 juta dalam teknologi kewangan Islamik.

Dalam masa yang sama, negara tersebut kini sedang membina hab ekonomi halal di rantau tersebut.

Menurut Agensi Penggalak Pelaburan Qatar, negara tersebut merekodkan aset-aset pasaran yang bernilai AS$156.4 bilion dalam pasaran kewangan 2021 diikuti dengan AS$1 bilion dalam insurans Islamik yang juga dikenali sebagai takaful.

Selain itu, Qatar juga merekodkan aset pasaran bernilai AS$14.2 bilion dalam sektor pelancongan Islamik, AS$5,1 bilion dalam sektor kesihatan serta $849 juta dalam teknologi kewangan Islamik.

Kajian yang dilakukan oleh pihak yang sama turut menekankan peranan Qatar dalam mengembangkan ekosistem pentauliahan di peringkat nasional dan sejagat melalui pembentukan Pusat Pentauliahan Halal Pertubuhan Kerjasama Islam berserta perkembangan bimbingan Kementerian Kesihatan Awam dalam membawa masuk produk makanan halal.

“Nilai dan jaringan ekonomi halal negara ini disokong oleh para pemain rentas industri, daripada pembelian input halal sehingga pengiktirafan dan pentauliahan produk bagi piawaian halal serta logistik dan pengedaran kepada pengguna akhir”.

Qatar juga kini mempromosikan beberapa daya usaha seperti program ‘Halal Livelihood’ oleh Kementerian Perdagangan dan Industri bagi meningkatkan kesedaran berkenaan kehidupan halal serta kepentingan dan potensi takaful, pelaburan hijau dan penerbitan sukuk – yang menunjukkan pemilikan atau hak tuntutan perolehan berasaskan syariah. – Agensi berita.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3