Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Fatwa di S'pura jadi contoh Muslim sedunia semasa pandemik

Nov 19, 2022 | 05:30 AM



SEDANG debu daripada pandemik Covid-19 yang menimbulkan pelbagai cabaran dalam kehidupan mulai mendap, umat Islam Singapura boleh berbangga dengan kepimpinan agama yang telah membimbing umat Islam di sini untuk memastikan gangguan minimum kepada aktiviti keagamaan, sambil melindungi nyawa.



Ketika Covid-19 memuncak, fatwa yang dikeluarkan seperti penutupan masjid dan langkah menjaga jarak selamat semasa solat, adalah keputusan yang sukar, tetapi terpaksa diambil.



Langkah yang diterajui kepimpinan agama kaum minoriti dalam sebuah negara kecil berbilang kaum dan agama, menjadi contoh kepada negara lain, termasuk negara majoriti Islam, mengambil langkah serupa.



Fatwa mengenai isu-isu rumit semasa Covid-19 itu dilihat sebagai satu cerminan kerja jawatankuasa Fatwa yang baik sehingga mendapat perhatian Sekretariat Agung bagi Pihak Berkuasa Fatwa Sedunia, pimpinan Dar al-Ifta Mesir.



Sejajar dengan itu, sekretariat tersebut memberi anugerah Imam Al-Qarafi bagi Kecemerlangan dalam Fatwa kepada Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), yang dipimpin Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir.



Dar al-Ifta mengiktiraf bahawa Jawatankuasa Fatwa Singapura telah menyediakan huraian praktikal dan berwibawa dalam berdepan dengan isu-isu dan cabaran baru, dan dalam penggunaan teknologi digital untuk berhubung dengan orang ramai.



Ia mendapati bahawa metodologi fatwa Singapura menggalakkan kewujudan bersama secara aman dan perpaduan sosial dan percaya bahawa masyarakat Islam di Singapura adalah model yang boleh dicontohi tentang bagaimana masyarakat boleh hidup bersama secara aman dan harmoni sambil mengekalkan identiti dan ajaran agama mereka.



Menurut Dar al-Ifta, "Jawatankuasa Fatwa bukan sekadar mengekalkan ketulenan tradisi Islam tapi juga mendampingi secara berkesan isu-isu kontemporari dalam pelbagai bidang seperti sosiologi, ekonomi dan kesihatan.



"Ini telah membenarkan masyarakat Muslim Singapura untuk terus mengamalkan kehidupan beragama dan menangani cabaran kontemporari dengan yakin."



Ini sekali gus menggambarkan pengiktirafan atas kecemerlangan pemikiran agama dan fatwa di sini.



SEMASA COVID



Masyarakat Islam Singapura tidak berlengah dalam mengambil tindakan dan menyesuaikan dengan keadaan.



Semasa Covid-19 baru bermula, sebuah masjid dikenal pasti sebagai antara kelompok jangkitan ekoran kunjungan jemaah yang terjangkit koronavirus selepas menghadiri satu perhimpunan jemaah Tabligh di negara jiran. Tindakan segera dibuat dengan menutup masjid berkenaan. Hasilnya, dalam beberapa waktu kes itu ditutup dan masjid itu tidak lagi disenarai sebagai kelompok.



Semasa pandemik berleluasa, langkah lebih luas dilakukan.



Fatwa pada Februari 2020 menyatakan solat berjemaah serta Jumaat di Singapura ditangguhkan selagi masjid-masjid perlu ditutup dan keadaan masih belum selamat bagi jemaah untuk menunaikannya kerana risiko jangkitan wabak.



Apabila keadaan reda sedikit, langkah berhati-hati diambil semasa membuka semula masjid.



Pada Jun 2020, Jawatankuasa Fatwa memutuskan solat berjemaah boleh dilakukan dengan jarak selamat; solat Jumaat boleh ditunaikan lebih dari sekali dalam sebuah masjid dan boleh dimulakan sebelum waktu zuhur sekiranya terdapat keperluan; dan golongan yang mudah dijangkiti penyakit, khuatir dijangkiti penyakit atau tidak mendapatkan tempat di masjid merupakan golongan yang berhalangan dan diberikan rukhsah (keringanan) untuk menggantikan solat Jumaat dengan solat zuhur.



Di samping itu, bilangan jemaah di masjid dihadkan menerusi peraturan pendaftaran bagi mendirikan solat berjemaah, terutama solat Jumaat dan dua Hari Raya; jemaah diperlukan buat tempahan solat, memakai pelitup, membawa sejadah sendiri, tidak berjabat tangan dan hanya melakukan salam mufti (dengan sekadar meletakkan tangan di dada).



Semasa Ramadan, mulanya solat tarawih, qiamulail, berbuka bersama semasa Ramadan ditiadakan, tetapi kemudian apabila mula dilonggarkan, dilakukan dengan secara tempahan berdaftar juga.



Beberapa langkah penyesuaian lain juga dibuat seperti menukar kelas agama secara fizikal kepada kelas di alam maya.



Melengkapi langkah itu, bazar Ramadan/Hari Raya di Geylang Serai dan beberapa kawasan lain juga ditiadakan.



Di samping itu, Singapura tidak menghantar jemaah haji dua tahun berturut-turut.



Begitu juga amalan penyembelihan binatang korban umumnya tidak dilakukan di sini.



SELAIN COVID



Lama sebelum Covid, banyak lagi pendekatan, langkah dan keputusan telah dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa sesuai dengan keadaan di Singapura.



Ini termasuk fatwa berhubung pendermaan organ - orang Islam yang ingin mengikrarkan organ mereka hanya perlu mendapatkan tandatangan dua lelaki Islam dewasa sebagai saksi. Waris pula tidak boleh membantah dan mesti menghormati kerelaan dan keputusan yang telah dibuat.



Juga ada semakan fatwa mengenai pemilikan rumah yang mengiktiraf kontrak berdasarkan pemilikan bersama, atau joint tenancy, sebagai sah dari segi agama.



Ia memberi hak pemilikan rumah kepada pihak yang masih hidup atau right of survivorship.



Dengan pengiktirafan itu, prinsip memberi hak pemilikan rumah kepada pihak yang masih hidup tidak lagi memerlukan dokumen tambahan - nuzriah atau hibah - seperti yang diperlukan sebelum itu di bawah fatwa lama.



Ia bermakna anggota keluarga lain atau pewaris lain tidak mempunyai hak lagi ke atas rumah yang dimiliki di bawah kontrak pemilikan bersama, jika setelah salah seorang pemilik bersama itu meninggal dunia.



Dari menetapkan permulaan bulan pula, sedang beberapa negara lain masih mengekalkan kaedah rukyah (melihat anak bulan bagi menentukan permulaan bulan, terutama menjelang Ramadan, Syawal dan Zulhijah), Singapura telah lama beralih kepada kaedah hisab.



Lantaran itu, walaupun Singapura dan Malaysia dalam rantau yang sama dan hanya dipisahkan koswe, dua negara ini menyambut Aidilfitri lalu berlainan hari - Singapura menyambut sehari selepas Malaysia - setentunya bersandarkan penjelasan dan dalil.



Dan buat pertama kali, seorang asatizah wanita telah dilantik sebagai anggota penuh Jawatankuasa Fatwa.



KESIMPULAN



Ia adalah antara beberapa contoh berkaitan fatwa di Singapura, mengambil kira pelbagai situasi dan konteks Singapura.



Covid-19 memang menampilkan cabaran besar yang menjejas seluruh dunia sehingga beberapa fatwa dan panduan dikeluarkan.



Tidak dinafikan bahawa pernah timbul suara-suara yang berasa tidak puas hati dengan panduan yang diberi, seperti penutupan masjid semasa Covid, dengan Singapura yang pertama mengambil langkah itu.



Namun kepimpinan agama tekal dengan langkah yang diambil atas pertimbangan yang difikirkan wajar, dengan melihat konteks dan situasi.



Covid-19 semakin hampir berlalu.



Namun, isu, masalah dan cabaran baru tidak akan terhenti di situ.



Dari masa ke masa akan timbul perkara baru yang perlu dihuraikan dengan mengambil kira konteks semasa demi kemaslahatan masyarakat Islam, tanpa lari daripada prinsip dan sempadan yang digariskan Islam.



Ia bermakna Jawatankuasa Fatwa perlu memberi bimbingan mengeluarkan fatwa, irsyad dan huraian praktikal.



Ia memerlukan sikap terbuka, berani dan dan menuntut perubahan pada paradigma pemikiran untuk membimbang masyarakat Islam Singapura mendepaninya.



Ia bermakna hukum dan amalan mungkin berubah tetapi prinsip dan tujuan Syariah, seperti prinsip memelihara agama dan nyawa, dengan mengambil kira konteks dan keadaan Singapura, terus menjadi panduan.



Seperti kata Mufti Dr Nazirudin dalam satu majlis: kepimpinan yang berpaksikan pemahaman konteks dan situasi penting untuk memberi penyelesaian bermakna dan berkesan bagi masyarakat.




Langkah yang diterajui kepimpinan agama kaum minoriti dalam sebuah negara kecil berbilang kaum dan agama, menjadi contoh kepada negara lain, termasuk negara majoriti Islam, mengambil langkah serupa. Fatwa mengenai isu-isu rumit semasa Covid-19 itu dilihat sebagai satu cerminan kerja jawatankuasa Fatwa yang baik sehingga mendapat perhatian Sekretariat Agung bagi Pihak Berkuasa Fatwa Sedunia, pimpinan Dar al-Ifta Mesir."
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >