Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

BAPA, BAPA... Kaulah perwira hatiku

Fitrah bapa saya - 'lebih banyak buat dari cakap'...

CATATAN WARTAWAN
Jun 21, 2020 | 05:30 AM



AYAH saya memang tidak banyak bercakap.



Beliau bukan jenis yang mudah meluahkan perasaannya secara terbuka.



Masa kecil-kecil dulu, contohnya, jarang sekali mendengar kata-kata "I love you" terluah daripada bibir beliau.



Namun saya dan adik-beradik yang lain tidak pernah ragu-ragu akan kasih sayang ayah kepada kami.



Ayah saya menunjukkan kasih sayangnya menerusi tingkah laku dan perbuatan.



Dan sebaliknya juga benar, iaitu beliau pun menunjukkan rasa kurang senang dengan cara yang sama.



Kami adik-beradik paling takut apabila ayah marah meskipun beliau jarang sekali meninggi suara, apatah lagi memukul anak-anaknya.



Kalau dia kata esok kita keluar 10 pagi, kami semua sudah siap sedia jam 9.30 pagi. Tak berani walau lambat lima minit pun!



Kalau ayah sudah siap sebelum kami, lintang pukang anak-anak dibuatnya.



Begitulah fitrah ayah saya - 'lebih banyak buat dari cakap'.



Saya masih ingat, di sekolah rendah apabila saya dipilih mewakili pasukan bola sepak sekolah.



Menjelang perlawanan pertama, saya begitu gementar kerana merupakan satu-satunya murid darjah tiga yang dipilih mewakili pasukan - pemain-pemain lain terdiri daripada murid darjah empat dan lima. Jadi dalam pasukan, saya tidak ada members rapat.



Kemudian, saya diberitahu oleh cikgu yang saya akan dipilih pula dalam kesebelasan utama.



Saya ingat, saya beritahu ayah: "Alamak, Hadi kena main striker-lah ayah!" (Sebab saya jarang diturunkan sebagai pemain penyerang).



Tiada reaksi berlebih-lebihan dari beliau, sekadar mengiktiraf perkataan yang keluar dari mulut saya itu. Mungkin beliau mengangguk, sejujurnya saya tidak berapa ingat.



Namun, yang terakam selamanya dalam ingatan saya ialah apa yang berlaku pada hari perlawanan.



Kami murid-murid berkumpul di sekolah dan menaiki bas ke lokasi pertandingan.



Sampai di lokasi, saya nampak bapa saya sudah pun sampai, berdiri di tepi padang.



Beliau tidak beritahu yang beliau akan datang menonton perlawanan itu. Beliau tidak pun berikan kata-kata semangat, senyum pun seingat saya tidak.



Tapi kehadiran ayah saya itu adalah cara beliau memberi anaknya ini sokongan.



Kini, giliran saya pula bergelar ayah kepada tiga orang anak - dua putera, berusia sembilan dan lima tahun, dan yang paling kecil seorang puteri yang baru berusia empat bulan.



Anak saya yang sulung berkeperluan khas - seorang anak autistik.



Bohong kalau saya katakan yang cara saya sebagai seorang ayah, sama seperti ayah saya dahulu.



Antara kami ada banyak perbezaan.



Saya tentunya lebih ekspresif.



Sejak bayi lagi, beberapa kali tiap hari saya meluahkan perkataan "I love you" kepada anak-anak saya, termasuk anak sulung saya meskipun kerana keadaan autismenya beliau hanya pandai bercakap pada usia empat atau lima tahun.



Saya pun banyak bernyanyi kepada anak sulung saya, lebih-lebih lagi semasa dia kecil, setelah saya dan isteri dapati dia lebih mudah berbual menerusi nyanyian. (Jangan haraplah ayah saya nak nyanyi untuk anak-anak dulu!)



Namun, setelah hampir sedekad sebagai seorang ayah, saya sedar ciri-ciri kebapaan ayah saya itu menjadi asas cara saya memimpin keluarga - terutama sikap ayah yang 'lebih banyak buat dari cakap'.



Saya melihat ini dalam hampir semua perkara yang saya lakukan.



Contohnya, apabila mahu membuat catatan di media sosial, saya berfikir bagaimana ia mencerminkan diri saya sebagai seorang ayah - sekiranya anak-anak saya dapat membacanya satu hari nanti bila mereka dewasa kelak.



Semakin berusia, semakin jelas bagi saya, kesan mendalam ayah kepada perjalanan saya sendiri sebagai seorang bapa.



  • Penulis ialah Penolong kepada Editor BH/BM.


"Namun, setelah hampir sedekad sebagai seorang ayah, saya sedar ciri-ciri kebapaan ayah saya itu menjadi asas cara saya memimpin keluarga - terutama sikap ayah yang 'lebih banyak buat dari cakap'. Saya melihat ini dalam hampir semua perkara yang saya lakukan. Contohnya, apabila mahu membuat catatan di media sosial, saya berfikir bagaimana ia mencerminkan diri saya sebagai seorang ayah - sekiranya anak-anak saya dapat membacanya satu hari nanti bila mereka dewasa kelak. Semakin berusia, semakin jelas bagi saya, kesan mendalam ayah kepada perjalanan saya sendiri sebagai seorang bapa."
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >