Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

AKTIVIS KITA

Gigih pererat pertalian di kalangan penduduk

Dapat pendedahan awal daripada pak ciknya mantan AP Sidek Saniff, kini giliran Fazlur sumbang semula bakti kepada masyarakat
Oct 21, 2019 | 05:30 AM



MENONTON opera tradisional Cina dan melawat tempat ibadah kaum lain bukan perkara luar biasa bagi Encik Fazlur Rahman Kamsani.



Sejak umur belasan tahun lagi, beliau sudah pun didedahkan kepada acara kemasyarakatan seumpama itu.



Waktu itu beliau sekadar menemani pak ciknya, Haji Sidek Saniff, yang menjalankan tugas sebagai seorang anggota parlimen.



Tetapi, pendedahan seperti itu serta nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan oleh mantan Menteri Negara Kanan itu telah banyak mencorak perwatakan dan mempengaruhi pandangan jagatnya.



Sebagai Pengerusi Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Kembangan-Chai Chee, kini giliran dan tanggungjawabnya untuk membina pertalian antara penduduk menerusi pelbagai acara kemasyarakatan yang dianjurkannya.



"Pak Ngah (gelaran bagi Haji Sidek Saniff) banyak mempengaruhi saya. Saya anggap beliau sebagai mentor. Beliau seorang yang benar-benar menghayati keseimbangan antara dunia dan akhirat. Beliau seorang yang warak, teguh dalam beragama dan tidak berkompromi tentang nilai-nilai Islam.



"Tetapi pada masa sama beliau tidak kekok atau segan bercampur dengan masyarakat lain, mahu belajar dengan orang lain dan menolong mereka. Sifat rahmah dan peduli ini membuat orang sayang dan percaya kepadanya,'' kata Encik Fazlur, 51 tahun.



Sifat kepedulian dan keprihatinan inilah yang menjadi dorongan kepada Encik Fazlur dalam menyumbang bakti kepada masyarakat.



Selain Haji Sidek, beliau juga mendapat dorongan untuk kerja-kerja saling agama di bawah naungan IRCC, daripada Imam Masjid Ba'alwie, Habib Hassan, yang terkenal dengan usaha menjalin hubungan baik dengan agama lain.



Habib Hassan ialah penerima Anugerah Jauhari Berita Harian tahun ini.



Selain peranannya di IRCC, Encik Fazlur, yang bertugas sebagai wakil Bank Doha di Singapura, juga merupakan anggota Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Kembangan-Chai Chee dan Anggota Lembaga Institut Timur Tengah, Universiti Nasional Singapura (NUS).



Penglibatan sebagai aktivis masyarakat pun bukanlah baru bagi beliau.



Beliau mula mencebur diri dalam kerja kemasyarakatan sebagai Presiden Persatuan Bahasa dan Drama Melayu di Raffles Institution (RI) dan kemudian sebagai Naib Presiden Persatuan Muslim NUS.



Ini disusuli dengan penglibatan dalam beberapa badan Melayu termasuk sebagai Pengerusi Kelab Mendaki, Ketua AMP Muda, Pengerusi Belia Darul Arqam dan anggota Jawatankuasa Pelaburan Wakaf Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).



Kerja kemasyarakatan di Singapura terpaksa ditunda semasa beliau, seorang graduan dalam jurusan Pengurusan Estet dari NUS, diundang ke Qatar untuk membina kerjaya dalam bidang perbankan dan pengurusan selama tujuh tahun dari 2008 hingga 2015.



Niat menyumbang bakti kepada masyarakat disambung semula sejurus beliau pulang ke tanah air pada 2015.



"Bagi saya, kesejahteraan masyarakat adalah perkara utama. Sebagai aktivis, saya hanyalah satu saluran untuk mencapai matlamat ini dan saya mahu menyumbang tanpa jawatan mahupun pengiktirafan,'' kata bapa tiga anak berusia 16, 21 dan 23 tahun itu. Isteri beliau, Cik Su'ad Ahmad, seorang guru di Sekolah SJI International.



Ditanya pengamatannya sepanjang berdekad lamanya menceburkan diri dalam kerja kemasyarakatan dan bertugas di luar negara, beliau berkata masyarakat Melayu/Islam harus peka kepada arus globalisasi dan kesannya ke atas masyarakat.



"Pertama, trend globalisasi dan kemajuan teknologi akan menjejas ekonomi serta peluang pekerjaan dan perniagaan. Jadi, kita kena sesuaikan kemahiran dan perniagaan kita dengan peluang-peluang yang ada dan keperluan pasaran.



"Kedua, globalisasi akan wujudkan beberapa isu sosial, contohnya jurang pendapatan dan perbezaan masyarakat yang semakin meluas. Ini sudahpun kelihatan dalam masyarakat Melayu kita sendiri.



"Isu-isu ini perlukan huraian holistik. Kita perlu wujudkan kesinambungan dalam usaha-usaha dan sumber-sumber kita. Jika kita dapat wujudkan skala ekonomi dengan bersatu padu, kurangkan duplikasi dan pembaziran, kesannya akan lebih ketara,'' katanya.



Di samping itu, beliau berpendapat trend kewarakan dalam beragama boleh meningkatkan rasa eksklusif dalam kalangan penganut agama dan akhirnya menjejas kesefahaman dan keharmonian.



"Sebagai umat Islam kita perlu amalkan ajaran sesuai dengan konteks Singapura. Begitu juga dengan agama lain. Kalau kita tidak berinteraksi dan bergaul, macam mana nak menjalin persefahaman dan kepercayaan?'' katanya.




"Bagi saya, kesejahteraan masyarakat adalah perkara utama. Sebagai aktivis, saya hanyalah satu saluran untuk mencapai matlamat ini dan saya mahu menyumbang tanpa jawatan mahupun pengiktirafan... Sebagai umat Islam kita perlu amalkan ajaran sesuai dengan konteks Singapura. Begitu juga dengan agama lain. Kalau kita tidak berinteraksi dan bergaul, macam mana nak menjalin persefahaman dan kepercayaan?
- Encik Fazlur Rahman Kamsani.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >