Subuh
5:35
Syuruk
6:52
Zuhur
12:56
Asar
4:03
Maghrib
6:58
Isyak
8:07
Wacana

Guna bahasa Melayu untuk lakar identiti sendiri

Mar 09, 2020 | 05:30 AM

BAHASA Melayu harus dijadikan titik permulaan bagi setiap anak muda melakar identiti mereka.

Seni berbicara dan berpidato merupakan cara terbaik menggunakan bahasa Melayu dengan segala kekayaan dan kemurniannya.

Justeru, ia menjadi antara sebab yang mendorong Encik Mohamad Hijazi Sudarmaji, 39 tahun, menganjurkan Pertandingan Projek Pidato yang diadakan di Wisma Geylang Serai buat julung kalinya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Encik Hijazi berkata pertandingan itu berfungsi sebagai wadah mendedahkan seni berpidato kepada anak muda dan mengundang pelibatan mereka.

Berpuas hati dengan "sambutan yang sangat memberangsangkan", Encik Hijazi percaya bahawa dengan adanya wadah berpidato atau pengucapan awam dalam bahasa Melayu, pastinya ia dapat memberi peluang kepada penggiat seni mencungkil bakat mereka.

"Pihak kami sememangnya ingin kejayaan ini menjadi acara pencetus atau penggerak kepada banyak lagi kegiatan-kegiatan pidato yang lain.

"Kami amat berharap ada pihak berwenang, seperti Majlis Bahasa dan sepertinya, menjadikan kegiatan berpidato sebagai teras utama dalam mempromosi kecintaan terhadap bahasa ibunda, sekali gus menjadi wadah kepada lebih ramai lagi penggiat seni untuk berkecimpung dan bergerak bersama lantas melahirkan pemidato bertaraf antarabangsa," ujarnya.

Beliau menambah bahawa penting untuk memastikan seni berpidato terus berkembang di Singapura.

Meskipun hanya 12 individu berusia 18 tahun ke atas mengambil bahagian, Encik Hijazi berkata bahawa ini sudah melebihi jangkaannya memandangkan amalan berpidato dalam bahasa Melayu belum berkembang sepenuhnya di Singapura.

Selain cabaran menarik perhatian anak muda, terdapat cabaran dari aspek kewangan, menurutnya lagi.

"Kos menganjurkan merupakan cabaran paling utama. Oleh sebab inisiatif ini merupakan atas dasar usaha saya sendiri, maka saya telah menggunakan pembiayaan secara peribadi untuk menampung perbelanjaan.

"Mujur kami ada menerima sedikit sumbangan daripada rakan-rakan yang memberi sokongan.

"Di samping itu, kami menghadapi cabaran memasarkan acara ini secara besar-besaran. Oleh sebab skala acara ini kecil, maka kami hanya menggunakan wadah media sosial sebagai saluran pemasaran utama kami," ujar Konsultan Komunikasi itu.

Sungguhpun demikian, Encik Hijazi tetap positif bahawa jika kesedaran terus dipertingkat, lama-kelamaan makin ramai yang akan meluahkan minat terhadap seni tersebut.

Pertandingan yang telah berlangsung di WGS itu menyaksikan pemidato-pemidato mengupas pelbagai jenis isu seperti sejarah Melayu, antara adat dengan ibadat dan lain-lain lagi.

Juara pertandingan itu, Encik Amirul Hakim Ibrahim, 19 tahun, berkata bahawa ia satu peluang yang sangat baik untuk memperkasakan penguasaan bahasa Melayu.

Pelajar tahun akhir Politeknik Temasek itu menambah:

"Tentunya banyak yang dapat diraih daripada usaha pertandingan pidato ini. Antaranya, saya dapat pelajari langkah-langkah penulisan pidato dalam membincangkan isu yang relevan dan luas mengikut tema yang diberikan.

"Saya juga belajar bagaimana saya boleh suntikkan elemen yang berbeza bagi mencantikkan corak penulisan initipati pidato saya."

  • Penulis pelajar Universiti Malaya dan lulusan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.

"Kami amat berharap ada pihak berwenang, seperti Majlis Bahasa dan sepertinya, menjadikan kegiatan berpidato sebagai teras utama dalam mempromosi kecintaan terhadap bahasa ibunda, sekali gus menjadi wadah kepada lebih ramai lagi penggiat seni untuk berkecimpung dan bergerak bersama lantas melahirkan pemidato bertaraf antarabangsa."
- Encik Mohamad Hijazi Sudarmaji, 39 tahun, menganjurkan Pertandingan Projek Pidato.

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian