Topik diikuti
Pergi ke BHkuHanya $30,000 terkumpul daripada $3j yang diperlukan
Hanya $30,000 terkumpul daripada $3j yang diperlukan
SEJAJAR dengan perubahan landskap sejagat dan demi memenuhi permintaan jemaah yang semakin bertambah, Masjid Jamae Chulia bakal menjalani kerja-kerja peningkatan yang akan bermula pada akhir bulan ini.
Dibina pada 1826 dan berusia 196 tahun, masjid ini juga merupakan salah satu masjid yang tertua di negara ini dan telah diwartakan sebagai monumen negara pada 1974.
Antara kerja-kerja naik taraf yang perlu dilakukan adalah seperti memasang sistem hawa dingin di ruang solat serta menambah bilik darjah serta kemudahan mesra bagi golongan kurang upaya dan warga senja di sini.
Kerja-kerja peningkatan ini dijangka selesai selama 10 bulan, dan menelan belanja sehingga $3 juta.
Sepanjang tempoh itu, masjid yang terletak di South Bridge Road ini akan terus beroperasi seperti biasa.
Selain itu, Masjid Jamae Chulia ini juga dikenali juga sebagai 'Periya Palli' bermaksud Masjid Besar dalam bahasa Tamil, boleh menampung sekitar 1,200 jemaah apabila selesai kerja kerja pembaikan kelak.
Masjid Jamae Chulia merupakan di antara masjid di Singapura ini yang menawarkan kelas agama dalam bahasa Tamil, bagi memenuhi pembelajaran agama Islam khususnya bagi golongan India Muslim tempatan, pekerja Islam dan pelancong di kawasan tengah bandar seperti di Chinatown.
Pengerusi Masjid Jamae Chulia, Encik Rasheed Zaman Mohamed Rashad, berkata Masjid Jamae Chulia ini merupakan salah satu masjid yang bersejarah di Singapura dan kita harus menjaganya agar masjid ini terus berada dalam keadaan yang baik demi keselesaan masyarakat Islam di negara ini.
Di samping itu, beliau juga mengharapkan sokongan yang berterusan dapat diperolehi agar misi untuk mendapatkan jumlah $3 juta yang dikehendaki akan tercapai.
Selesainya kerja-kerja peningkatan ini nanti, Masjid Jamae Chulia boleh menampung 100 pelajar pada satu-satu masa dan menjadi lebih mesra warga tua dan golongan kurang upaya.
Menurut beliau lagi, setakat ini jumlah yang terkumpul hanya $30,000 dan pihak masjid masih lagi gigih untuk mencari dana bagi projek peningkatan ini.
Antara kegiatan yang dilakukan adalah melalui tabung keluarga, meletakkan tabung-tabung masjid di kedai dan gerai makan, melalui ceramah dan media setempat.
"Kami berharap orang ramai akan terus menyokong dan membantu mendapatkan dana yang masih berkurangan ini," jelas Encik Rasheed Zaman lagi.
"Kami berharap orang ramai akan terus menyokong dan membantu mendapatkan dana yang masih berkurangan ini.''
- Pengerusi Masjid Jamae Chulia, Encik Rasheed Zaman Mohamed Rashad.
CARA MENYUMBANG
- Hantarkan cek anda kepada Masjid Jamae Chulia melalui pos ke alamat: 218, South Bridge Road, Singapura 058767.
- Derma langsung ke pejabat masjid. Hubungi talian 6221-4165 atau WhatsApps kepada 9297-4192. Sila buat janji temu sebelum datang ke masjid ini.
- Pemindahan bank ke akaun semasa OCBC 517-070041-002.
- Imbas QR kod yang dipaparkan untuk memberikan sumbangan anda.