Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Wacana

SINAR SYAWAL: SATU HARI DI HARI RAYA

Hikmah di sebalik sambutan Aidilfitri kali ini

May 24, 2020 | 05:30 AM

PERGI jalan lain, balik jalan lain.

Itu antara nasihat yang diberikan ketika ke masjid bagi menunaikan solat sunat Aidifitri di pagi Hari Raya.

Pagi ini, nasihat itu tidak dapat diamalkan kerana tidak ada solat Aidilfitri di masjid.

Semua masjid masih ditutup ekoran langkah sekatan pemutus litar jangkitan koronavirus Covid-19.

Malam tadi dan pagi ini, alunan takbir memuji Ilahi tidak kedengaran berkumandang di masjid.

Mudahan-mudahan alunan takbir itu dilantun di rumah.

Kebiasaan lain di Hari Raya - jemaah bersalaman selepas solat Aidilfitri sebelum bersurai, pulang bersarapan bersama keluarga dan kemudian memenuhi hari sama ada dengan mengunjungi keluarga terdekat atau duduk menanti kunjungan tamu - juga tidak ada.

Pagi ini, masing-masing duduk di rumah.

Sebahagian besar keluarga mungkin mendirikan solat Aidilfitri bersama. Mungkin ada ketua keluarga yang kemudian membacakan khutbah Aidilfitri atau mungkin semua duduk mendengar khutbah yang disampai Mufti menerusi wadah seperti SalamSG TV.

Tidak ada tradisi kunjung-mengunjung.

Sebaliknya, ramai yang mungkin bertemu, bertukar ucap selamat dan bermaaf-maafan di alam maya menerusi panggilan video di wadah seperti aplikasi Zoom, Imo, WhatsApp dan Facebook Live.

Selamat datang ke suasana dan pengalaman baru - lain tetapi diharap sama meriah.

Kita harap suasana ini berjalan lancar tanpa terganggu dengan kemungkinan masalah teknikal ekoran penggunaan tinggi komunikasi menerusi Internet ini.

Semua maklum Ramadan dan Syawal kali ini berbeza.

Tidak ada kesyahduan tarawih, iftar dan solat jemaah di masjid.

Tidak ada kesibukan dan kesesakan berbelanja di bazar Ramadan dan bazar Hari Raya.

Malam tadi, kawasan Geylang Serai yang biasanya sesak pengunjung bazar sehingga jalan raya di sekitarnya sesak dengan kenderaan terus sepi, meski masih bermandi cahaya dengan hiasan lampu Hari Raya.

Seri dan kemeriahan 1 Syawal kurang terlihat.

Mungkin semua suasana itu akan terlihat seminggu lagi - apabila tempoh sekatan pemutus litar berakhir pada 1 Jun nanti dan masyarakat Islam boleh mula kunjung-mengunjung mulai 10 Syawal, tetapi masih dalam tahap berhati-hati.

Beberapa hari lalu, pasukan bertindak silang kementerian mengenai pandemik Covid-19 membentangkan rancangan melonggarkan sekatan secara bertahap-tahap - fasa pembukaan semula selamat, fasa peralihan selamat, dan fasa negara selamat.

Di bawah fasa pembukaan selamat yang bermula pada 2 Jun, lebih banyak tempat kerja, sekolah dan tempat ibadah dibuka semula.

Di bawah fasa ini, beberapa sekatan turut dilonggarkan bagi keluarga dan masyarakat seperti membolehkan anak menziarahi ibu bapa atau datuk nenek mereka, tetapi masih perlu mematuhi syarat seperti mengehadkan kunjungan kepada hanya sekali sehari dan tidak melebihi dua orang yang tinggal di rumah yang sama.

Apa pun, kita harus bersyukur kerana telah dapat menyempurnakan ibadah puasa Ramadan.

Dalam suasana baru ini, tersimpul hikmah yang boleh diceduk, yang mengajar kita untuk lebih mesra keluarga, lebih memahami erti kesabaran, menyentak kesedaran betapa lemahnya manusia dengan ujian oleh kuman yang tidak kelihatan, mengakui pentingnya kerjasama dan perpaduan dalam mengharungi cabaran, melatih mengamalkan kesederhanaan dalam menyambut perayaan dan banyak lagi hikmah yang boleh digali daripada episod ini.

Yang penting daripada semua ini ialah meningkatkan ketakwaan yang memang merupakan matlamat ibadah puasa.

Ini satu pengalaman baru yang begitu unik dalam lipatan sejarah kehidupan kita yang akan tersemat dalam ingatan dan menjadi bahan perkongsian dengan anak cucu di masa depan.

Setelah sebulan menjalani latihan membaiki diri sepanjang Ramadan, semoga kita termasuk di kalangan hamba-hamba-Nya yang telah berjaya menahan diri daripada pelbagai desakan hawa nafsu, dan memulakan langkah baru di 1 Syawal ini kembali kepada fitrah asal sebagai manusia yang bersih suci dan lebih bersedia menyambung kehidupan dengan beberapa penyesuaian dan norma baru dalam kehidupan.

  • Penulis Editor Naskhah BH/BM

"Setelah sebulan menjalani latihan membaiki diri sepanjang Ramadan, semoga kita termasuk di kalangan hamba-hamba-Nya yang telah berjaya menahan diri daripada pelbagai desakan hawa nafsu, dan memulakan langkah baru di 1 Syawal ini kembali kepada fitrah asal sebagai manusia yang bersih suci dan lebih bersedia menyambung kehidupan dengan beberapa penyesuaian dan norma baru dalam kehidupan."
- Penulis.