Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Ibu anak istimewa atasi 'tekanan' dengan sertai CaringSG

Kumpulan amal yang didukung SG Enable, Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga beri sokongan kepada penjaga golongan berkeperluan khas
Jan 03, 2022 | 05:30 AM



SUDAH menjadi lumrah bagi seorang ibu mempunyai sifat pengasih dan penyayang terhadap anak-anaknya.



Di sebalik sifat tersebut, terselit juga perasaan syukur dan gembira yang bercampur penat tatkala melihat anak-anak yang dibelai dengan penuh kasih sayang itu membesar menjadi insan berguna.



Namun, bagi ibu anak istimewa kadangkala timbul perasaan yang pelbagai yang menduga kesabaran.



Seperti Cik Farah Juwita Alias, 42 tahun, yang melahirkan rasa sedih, 'kehilangan' dan amat penat sepanjang lapan tahun membesarkan anak istimewanya.



Anak bongsunya, Mohamed Ilhanshah Kamarudin, lapan tahun, dikesan menghidap autisme sejak usianya tiga tahun.



Anak keenamnya itu tidak mampu berkata-kata dengan ayat penuh, dan tidak tahu meluahkan perasaan.



Ini menjadikan anaknya itu sering kali berasa gelisah, marah dan cemas apabila tiada siapa dapat memahaminya atau apabila rutin hariannya berubah.



Anaknya itu juga tidak mempunyai jadual tidur yang tetap pada sebelah malam. Justeru, ini menjejas waktu rehatnya dan anggota keluarganya yang lain juga.



Ini kerana anak istimewanya itu kadangkala tidur selewat 12 tengah malam dan kemudian bangun sekitar dua jam kemudian kerana mungkin berasa resah dan gelisah atau terlalu gembira dengan kegiatan yang akan disertainya pada pagi berikutnya.



Semasa Pemutus Litar tahun lalu, rutin anaknya yang keluar berjalan di luar rumah atau bermain di taman permainan berdekatan ditemani Cik Farah setiap hari, terjejas.



Anaknya itu kemudian mengambil masa membiasakan diri dengan rutin duduk di rumah sepanjang tempoh itu.



"Ibu mana yang tidak sayangkan anak.



"Biarpun keadaannya tidak sempurna, saya tetap ibu kandungnya dan akan lakukan apa sahaja bagi memenuhi kehendaknya dan melindunginya semasa saya membesarkannya.



"Tapi saya tidak nafikan memang saya juga rasa sedih, kehilangan dan penat.



"Kadangkala saya terpaksa batalkan perjanjian yang telah dibuat dengan kenalan semata-mata sikap anak istimewa saya yang mudah berubah," ujar suri rumah itu lagi semasa ditemu ramah Berita Harian.



Namun, jelas daripada temu ramah itu, Cik Farah tidak pernah putus asa dengan nasib yang dialami ketika ini.



Malah ibu lima anak lelaki dan seorang anak perempuan itu bersyukur kerana mendapat sokongan penuh suami dan kesemua anaknya yang lain dalam proses menjaga Mohamed Ilhanshah.



Suaminya, Encik Kamarudin Mohamed Taib, 45 tahun, yang bekerja dalam sektor teknologi, dianggap salah satu tunggak bagi Cik Farah memainkan peranan sebagai ibu.



Anak-anak yang lain berusia antara 15 tahun dengan 22 tahun.



"Apabila anak-anak saya tidak bersekolah, mereka sama-sama menjaga adik bongsu mereka itu.



"Tapi masalah timbul apabila anak-anak saya yang lebih besar mula jalani Perkhidmatan Negara (NS) atau kembali ke sekolah selepas Pembelajaran di Rumah (HBL).



"Sebabnya, ini menjejas rutin anak bongsu saya yang kemudian mulai resah melihatkan abang dan kakaknya tiada di rumah seperti biasa.



"Apabila saya ada janji temu di luar, mereka mainkan peranan dengan baik mengambil alih tempat saya menjaga adik mereka itu," ujarnya lagi dengan nada tenang.



SERTAI CARINGSG



Menyedari dirinya kadangkala berasa 'tidak bermaya', 'kehilangan' dan penat, Cik Farah memilih menyertai kumpulan sokongan amal CaringSG, yang merupakan daya usaha untuk penjaga golongan berkeperluan khas atau kurang upaya.



Kumpulan berdaftar itu ditubuhkan pada 2020 dan disokong agensi yang membantu golongan kurang upaya, SG Enable, Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).



Cik Farah menceritakan, beliau dipelawa menyertai satu program latihan yang dapat saling membantu penjaga lain yang senasib dengannya.



"Apabila saya dapat tahu yang ia sebenarnya menawarkan sokongan kepada penjaga kepada golongan berkeperluan khas, saya rasa teruja sekali.



"Bukannya menjadi kaunselor, tapi sekadar mendengar dan mendampingi golongan sedemikian.



"Disebabkan saya sendiri lalui perasaan yang mereka rasakan, jadi saya dapat memahami mereka.



"Dan biasanya golongan sedemikian memang inginkan pendamping seperti saya yang bagi mereka memahami perasaan yang dialami ketika ini," ujarnya lagi.



Antara yang terkandung dalam program Carebuddy yang dijalaninya pada April lalu itu, Cik Farah diajar kemahiran mendengar, komunikasi berkesan, menjalin tali silaturahim, dan mengenal pasti bila sokongan tambahan mungkin diperlukan.



"Memandangkan kami bukan professional, maka kami tidak layak memberikan nasihat," tambahnya.



Pada masa ini, beliau merupakan teman tiga penjaga golongan istimewa.



Beliau menghabiskan masa sekali setiap bulan - secara bersemuka (sebelum wabak Covid-19) dengan setiap sesi berlangsung selama sejam.



"Macam-macam kisah yang mereka kongsi.



"Dengan tidak secara langsung ada juga yang bertanyakan bagaimana dan apa yang saya lalui dan cara saya tangani kesan pada emosi.



"Saya jawab semua orang berbeza dalam perjalanan masing-masing, namun saya tidak lokek berkongsi kerana mungkin sedikit sebanyak kami saling pelajari antara satu sama lain," ujarnya lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >