Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

CATATAN WARTAWAN

Junjung pengorbanan tentera jauh keluarga demi negara

Oct 30, 2019 | 05:30 AM



'BANDAR terapung'.



Begitulah yang diterangkan kepada saya oleh seorang pegawai Angkatan Tentera Laut Amerika tentang kapal induk USS Ronald Reagan.



Atas jemputan khas daripada Chargé d'Affaires di Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura, Encik Rafik Mansour, sekumpulan kecil yang terdiri daripada tetamu daripada kedutaan di Singapura, serta anggota media, diberi peluang melakukan lawatan ke USS Ronald Reagan, yang berada di sekitar perairan berdekatan Singapura pada baru-baru ini.



Sejujurnya, ini merupakan kali pertama saya ditugaskan membuat liputan berkaitan isu pertahanan. Tidak perlu saya katakan, saya pastinya ghairah.



Apakan tidak, ini bukan calang-calang aset tentera.



Ini kapal induk, aset gergasi yang dimiliki segolongan negara sahaja dan 'dicemburui' setiap Angkatan Laut di dunia yang lain.



Tambahan pula, saya akan mengunjungi USS Ronald Reagan, iaitu kapal induk yang menjadi flagship Amerika, atau aset yang paling dibanggakan.



Semakin saya membaca dan mempersiapkan diri untuk lawatan itu - di mana saya akan diterbangkan ke kapal induk tersebut dengan pesawat tentera, lantas ia diberi nama Fly Out - semakin teruja saya dibuatnya.



Kapal induk merupakan mesin perang yang mengetuai pangkalan Angkatan Laut dalam sesebuah misi.



Lantaran itu, ketika kami di USS Ronald Reagan, kami boleh melihat beberapa kapal tentera yang berlayar berhampiran.



Apabila ditanya, Laksamana Muda George M. Wikoff, mendedahkan bahawa kapal induk itu diiringi kapal perang lain, termasuk USS McCampbell, USS Antietam dan USS Chancellorsville.



Laksamana Muda Wikoff merupakan komander armada perang ketujuh dan USS Ronald Reagan merupakan salah satu kapal di bawah arahannya.



Berukuran 332 meter panjang dan setinggi lebih 20 tingkat, saiz fizikalnya sahaja sudah cukup membuat musuh 'kecut' apabila berdepan dengan USS Ronald Reagan.



Namun, meskipun saiznya yang besar, kapal induk itu juga ligat di air kerana dikuasai dua reaktor nuklear dan empat turbin angin dan empat shaft mampu mencapai kelajuan lebih 55 kilometer sejam.



Untuk melawat gergasi lautan itu, yang sedang berada di perairan Laut Cina Selatan, saya telah menaiki pesawat tentera C-2 Greyhound dari Pangkalan Udara Paya Lebar. Itulah pertama kali saya menaiki pesawat tentera dan ia mengingatkan saya kepada pesawat kartun Madagascar.



Ini kerana, pesawat itu tidak mempunyai tingkap, dan ia dibuat dengan besi - badan pesawat dan kesemua 24 kerusi pesawat.



Yang menariknya, kerusi kami menghadap pintu pesawat, dan bukan menghadap kabin juruterbang.



Pengalaman semasa mendarat adalah sesuatu yang tidak dapat saya lupakan.



Kerana USS Ronald Reagan hanya sepanjang 332 meter, manakala landasan pesawat lazimnya enam kali lebih panjang dari itu, kami mendarat menggunakan teknik Arrested Landing atau pendaratan yang disokong oleh kabel.



Terdapat tiga kabel yang dipasang di landasan pendaratan kapal tersebut, dan juruterbang pesawat perlu memastikan bahawa cangkuk pesawat dapat 'menangkap' satu daripada kabel itu.



Kabel itu kemudian akan menyentap pesawat ke belakang hingga ia berhenti.



Semasa Arrested Landing itu, kelajuan pesawat kami menjunam daripada 167 kilometer/sejam kepada 0 kilometer/sejam dalam hanya dua saat. Bayangkan!



Saya memang menggemari kegiatan lasak, justeru pengalaman Arrested Landing itu adalah kemuncak lawatan saya ke USS Ronald Reagan.



Setibanya di USS Ronald Reagan, kami diberi peluang melihat sendiri pelepasan dan pendaratan lebih daripada 12 pesawat jet pejuang dan pesawat tentera yang lain.



Pada awalnya, kami dibawa melihat pelancaran jet pejuang daripada bahagian atas kapal induk tersebut.



Mendengar derauan enjin dan merasa bahang enjin yang ditiup kencang semasa jet pejuang ingin berlepas agak menggerunkan.



Apabila jet pejuang berlepas, perkara pertama yang saya rasai ialah bahang enjinnya yang sangat panas.



Kemudian, belum sempat saya menyesuaikan diri dengan bahang itu, angin kuat daripada pelepasan jet pejuang tersebut 'meniup' saya kebelakang, sehingga saya terpaksa meletakkan satu kaki di belakang untuk menstabilkan diri sendiri.



Melihat pelepasan dan pendaratan pesawat dari Vultures' Row menarik, tetapi tidak semenarik apabila kami diberi peluang menyaksikannya di landasan pelepasan dan pendaratan kapal induk itu.



Di dek kapal, keseronokan melihat pesawat berlepas dan mendarat berlipat kali ganda.



Bayangkanlah, bahang panas enjin dapat dirasai kurang 100 meter daripada jet pejuang, dan kami boleh melihat juruterbang jet pejuang dan mendengar derauan enjin jet pejuang dengan lebih kuat.



Tidak hairanlah tentera Angkatan Laut yang ditugaskan membawa kami ke merata kapal memberi kami dua pelitup telinga untuk melindungi deria pendengaran.



Saya kagum dengan betapa mudanya para pegawai Angkatan Laut Amerika. Pada usia muda itu, mereka sudah bertanggungjawab memastikan operasi penerbangan dan pendaratan melibatkan pesawat tentera dan jet pejuang yang bernilai berjuta dolar.



Bahkan, secara purata, umur 5,000 tentera Angkatan Laut Amerika yang bertugas di USS Ronald Reagan ialah awal 20-an tahun.



Melihat lebih 12 pesawat berlepas dan mendarat daripada jarak yang begitu dekat, saya dapat melihat dan meneliti gerak geri juruterbang dan tentera Angkatan Laut yang bertugas di atas dek.



Misalnya, sebelum setiap pelepasan pesawat, tidak kira jet pejuang mahupun pesawat tentera yang biasa, pasti ada sekurang-kurangnya empat tentera Angkatan Laut yang mengenakan pakaian berlainan warna.



Seorang memastikan keselamatan pesawat itu terjaga sebelum ia berlepas, seorang lagi memerhatikan gerak-gerinya, seorang lagi memastikan segala senjata yang dibawa pesawat itu diletakkan dengan selamat, dan yang seorang lagi mengarahkan juruterbang untuk ke posisi yang tepat untuk berlepas, untuk melalui pelepasan yang dinamakan Catapult Assisted Launch, atau pelepasan yang dibantu oleh catapult, iaitu 'alat melastik pesawat'.



Setiap pelepasan daripada kapal induk USS Ronald Reagan akan dibantu oleh catapult, iaitu sejenis peranti yang ada di atas dek, yang memajukan pesawat daripada 0 kilometer/sejam kepada 205 kilometer/sejam dalam masa hanya tiga saat.



Terpegun saya melihat keteraturan proses tersebut yang secara keseluruhan mengambil kurang daripada sepuluh minit.



Selain melihat pelepasan dan pendaratan pesawat di dek, kami juga berkesempatan mengunjungi satu daripada tiga bengkel pesawat atau 'hangar' yang terdapat di USS Ronald Reagan.



Di tempat ini, para pegawai yang bertugas juga begitu muda.



Terdetik di fikiran saya, bagaimana orang-orang muda ini boleh betah berjauhan daripada keluarga buat tempoh masa yang lama, walhal saya sendiri yang pernah dua kali berjauhan daripada keluarga buat tempoh lebih sebulan, akan merindui keselesaan rumah dan katil sendiri.



Menurut Laksamana Muda Wikoff, secara umumnya, tentera Angkatan Laut Amerika berjauhan daripada keluarga selama tempoh enam bulan setiap pelayaran.



Selain menjalani misi pelayaran untuk mengekalkan keselamatan maritim, menjalani latihan atau sekadar mengetahui keadaan persekitaran mereka, USS Ronald Reagan turut menghulurkan bantuan kemanusiaan seperti di Indonesia selepas gempa bumi dan tsunami, dan di Filipina selepas dibadai ribut taufan.



Kata beliau yang sudah 29 tahun berkhidmat dengan Angkatan Laut Amerika:



"Walaupun tugas (mempertahankan keselamatan dan kepentingan negara) memerlukan kami berjauhan daripada keluarga buat tempoh yang panjang, kami mempunyai sokongan kuat di rumah dan di atas kapal yang membantu kami bertahan."



Secara keseluruhan, pengalaman Fly Out ke kapal induk USS Ronald Reagan, mendarat secara Arrested Landing dan berlepas secara Catapult Assisted Launch ini merupakan pengalaman amat berharga bagi saya.



Saya bukan sahaja dapat melihat dengan mata kasar sendiri betapa hebatnya mesin perang kebanggaan Amerika Syarikat ini, tetapi yang jauh lebih bermakna bagi saya ialah apabila saya dapat melihat penyebab di sebalik kehebatan kapal induk ini.



Tidak dinafikan teknologi yang terdapat di atas USS Ronald Reagan sangat maju, dan diselenggarakan dengan baik, namun pada saya, yang membuatnya mendapat gelaran America's Flagship ataupun aset paling penting Amerika, bukanlah harga pembikinannya sebanyak AS$4.5 bilion ($6.13 bilion), ataupun harga operasi sehari-hari sebanyak AS$1 juta, namun ia adalah anggota yang bertugas di atasnya, yang menjadi penyebab utama kapal induk tersebut menjadi kebanggaan Amerika.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >