"NAK mama! Nak mama!" kedengaran suara kanak-kanak menangis.
Kedengaran seorang lagi sedang menjerit: "Nak balik rumah…… nak balik dengan mama!"
Di luar tingkap sekolah pula kita dapat melihat ibu bapa atau ahli keluarga mengintai melalui tingkap untuk melihat anak yang sedang menangis.
Inilah keadaan yang kita dapat melihat selalunya di pekarangan prasekolah pada hari pertama tiap-tiap tahun.
Inilah yang dikatakan keresahan pemisahan atau separation anxiety.
ERTI KERESAHAN PEMISAHAN
Ia adalah satu keadaan psikologi di mana seorang individu mengalami kebimbangan yang berlebihan apabila berpisah daripada sekitaran rumah atau daripada orang yang mereka selalu dampingi.
Ia biasa dialami kanak-kanak dalam lingkaran usia antara 18 bulan dengan 36 bulan atau tiga tahun.
Keresahan semasa berpisah adalah satu perkara biasa yang dipamerkan oleh kanak-kanak peringkat prasekolah sebagai menunjukkan bahawa mereka rasa takut atau bimbang apabila berpisah dengan ibu bapa.
Ini juga adalah salah satu cara untuk mereka belajar mengatasi keadaan semasa berpisah dengan orang di sekelilingnya dan untuk mereka merasa berada di tempat yang selamat.
TIDAK TAHU LUAH PERASAAN
Keresahan pemisahan berlaku kerana kanak-kanak tidak tahu cara untuk meluahkan perasaan.
Oleh itu mereka akan menangis atau mengamuk.
Ini adalah hanya satu cara kanak-kanak dapat menunjukkan bahawa mereka sedang dalam ketakutan dan memerlukan perhatian agar kita memujuk mereka.
Kanak-kanak ini perlukan pengasuh mereka dan cara ini akan membuat si pengasuh memberikan respons yang diperlukan si kecil.
SOKONGAN IBU BAPA
Bagi kanak- kanak, mereka tidak boleh terus mengatasi keresahan pemisahan tapi ibu bapa boleh membantu dengan mengurangkan kesannya.
Ada beberapa strategi yang boleh diterap ibu bapa untuk membantu anak mereka melalui proses keresahan pemisahan dengan lebih mudah.
MULAKAN SECARA BERPERINGKAT
Ibu bapa boleh mulakan dengan berpisah daripada anak mereka secara berperingkat.
Ia boleh bermula dengan tempoh yang singkat kemudian disusul dengan tempoh yang lebih lama.
Contohnya, mulakan dengan berada dekat dengan si kecil di prasekolah yang baru selama dua atau tiga hari.
Kemudian ibu bapa boleh cuba melepaskan anak mereka kepada guru selama empat jam sebelum tiba jadual untuk tidur sebelah siang.
Selepas anak itu sudah dapat menyesuaikan diri dengan sekitarannya, ibu bapa boleh meningkatkan tempoh pemisahan mereka dengan meninggalkan kanak-kanak itu sehingga melepasi jadual waktu tidur.
Lama-kelamaan, anak itu sendiri akan terbiasa dengan jadual barunya itu dan biasanya keresahan pemisahan itu dapat dikikis.
ATUR JADUAL SELEPAS TIDUR ATAU MAKAN
Kanak-kanak lebih terdedah pada keresahan perpisahan selepas tidur atau makan. Oleh itu ibu bapa boleh membuat jadual untuk berpisah selepas anak mereka makan atau tidur.
AMALKAN RUTIN YANG RINGKAS
Apabila hendak meninggalkan anak di prasekolah, ibu bapa harus tinggalkannya dengan pantas - cukup dengan hanya lambaian atau ciuman yang ringkas.
BEREDAR SECEPAT MUNGKIN
Ibu bapa harus beritahu kepada anak bahawa mereka perlu beredar dan akan kembali secepat mungkin. Usah berlengah dan terus tinggalkan tempat itu.
TEPATI JANJI
Tepati janji dengan menjemput anak pulang mengikut masa yang telah ditetapkan.
BEKALKAN BARANGAN
Bila anak pergi ke prasekolah yang baru, keadaan sekeliling mereka masih agak ganjil dan baru buat mereka. Bekalkan barang yang mereka sayangi ke prasekolah agar mereka tidak berasa kekok berada di tempat yang baru itu.
PENGASUH YANG KONSISTEN
Bagi kanak-kanak, pengasuh orang yang penting dalam kehidupan mereka. Untuk mengurangkan perasaan keresahan pemisahan, pengasuh yang konsisten amat penting bagi mereka. Kanak-kanak dalam usia yang muda, perlukan konsistensi kerana ini akan membuat mereka lebih yakin semasa dalam persekitaran yang baru ini.
USAH MENGALAH
Jangan mengalah kepada anak dengan hanya memenuhi semua permintaan mereka. Sebaliknya berikan mereka jaminan dan tetapkan had yang tertentu yang boleh menolong mereka mengatasi perpisahan itu secara mudah.
BERIKAN SEMANGAT
Selalu berikan kata-kata yang membakar semangat mereka. Ini penting agar kanak-kanak itu dapat menjalin hubungan yang boleh dipercayai dalam sekitaran yang baru itu.
Walaupun keresahan pemisahan ini perkara yang lumrah berlaku dalam kalangan kanak-kanak prasekolah, ia harus ada hadnya kerana ia boleh terjerumus kepada isu yang lebih serius jika tidak terkawal.
Sekiranya ibu bapa boleh menangani isu ini dengan baik, anak mereka tidak akan hadapi sebarang masalah ke sekolah.
Ibu bapa harus menilai masalah ini atau sekiranya mereka perlu dapatkan nasihat pakar apabila keadaan keresahan pemisahan ini menjadi semakin buruk.
Pucuk pangkalnya pengetahuan ibu bapa tentang keresahan pemisahan amat penting untuk membantu kanak-kanak itu mengatasinya - agar mereka lebih tenang selain meraih emosi yang stabil semasa di hari pertama persekolahan.
- Penulis merupakan Pengetua Pusat Pembangunan kanak-Kanak PPIS (Pasir Ris)