Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Kehadiran anak titipan disambut bak kelahiran bayi baru

Ibu empat anak rasa bertanggungjawab untuk membantu kanak-kanak yang memerlukan dalam masyarakat Berita Harian (BH) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) bekerjasama untuk membawakan 'Seminar Keluarga Titipan'. Diadakan buat julung-julung kalinya, acara itu bertujuan untuk memupuk kesedaran mengenai Skim Keluarga Titipan MSF, yang memberi perlindungan kepada anak-anak yang telah didera, diabaikan atau ditinggalkan. Menjelang acara itu, BH memaparkan kisah beberapa ibu bapa titipan yang membuka rumah dan kehidupan mereka untuk membela nasib anak-anak ini.
msf
Sep 02, 2019 | 12:00 AM



SESI usrah bersama Mufti Singapura tentang keluarga titipan yang diadakan pada tahun lalu merupakan titik permulaan yang membuka pintu hati Cik Hadijah Abu Bakar untuk menjaga anak titipan.



Bagi Cik Hadijah, 48 tahun, beliau merasakan ia tanggungjawabnya untuk membantu kanak-kanak yang memerlukan dalam masyarakat.



"Tugas saya dalam bidang pendidikan dan pembangunan awal kanak-kanak, antara lain, memerlukan saya menguruskan anak-anak kecil yang mengalami pelbagai kekurangan, termasuk dari segi kewangan, dalam kehidupan mereka. Oleh itu, saya membantu keluarga berpendapatan rendah dan saya boleh rasakan apa yang dilalui anak-anak ini.



"Saya memberitahu diri saya sendiri jika saya dapat membesarkan empat orang anak kandung saya dengan baik, saya juga boleh menyumbang kepada masyarakat dan membantu anak-anak ini," kata Ketua Pendidikan dan Pengetua Tadika di Masjid Kampung Siglap itu.



Justeru, Cik Hadijah berbincang bersama suaminya, Encik Abdul Wahid Mohamed, 57 tahun, dan empat anak mereka yang berusia antara 18 tahun dengan 27 tahun sebelum sebulat suara membuat keputusan untuk mengambil anak titipan.



GHAIRAH



Mujur, proses permohonan berjalan lancar. Cik Hadijah sekeluarga diluluskan untuk menyertai Skim Keluarga Titipan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) bermula Oktober tahun lalu.



Mereka dimaklumkan tentang seorang anak titipan yang akan dijaga tidak lama kemudian.



Malah, Cik Hadijah berkata keghairahan menanti kehadiran 'orang baru' dalam keluarga mereka itu bak menyambut kelahiran bayi baru.



Mengimbas kembali detik pertama bertemu dengan anak titipannya, Cik Hadijah berkata beliau rasa kasihan kerana anak itu mempunyai susuk badan yang kecil molek.



Selama sekitar dua atau tiga bulan pertama di rumah mereka, Cik Hadijah menceritakan bahawa anak itu akan bangun pada tengah malam dan menangis.



"Saya tidak mahu katakan saya rasa simpati, tetapi saya boleh rasakan anak ini telah melalui pelbagai perkara. Walaupun anak ini tidak dapat memberitahu saya apa yang dia perlukan dengan jelas, saya boleh rasakan ada sesuatu yang tidak kena dan saya mahu membantunya," kata beliau.



Seperti keluarga lain, Cik Hadijah dan keluarganya akan membawa anak itu keluar dan melakukan kegiatan bersama.



Anak-anak beliau juga sibuk membelikan pakaian baru dan buku untuk adik baru mereka itu.



ANAK TITIPAN KINI SUDAH SELESA



Kini, anak titipan berusia dua tahun itu sudah selesa dan sebati hidup bersama keluarganya.



"Apabila kami menghantarnya ke sekolah setiap hari dia akan duduk di atas pangkuan saya dan peluk cium saya. Dia juga suka bergurau dengan abang dan kakaknya," kata beliau.



Cik Hadijah menegaskan bahawa sokongan keluarga terdekat dan besar adalah amat penting dalam menjaga anak titipan, terutama bagi ibu bapa titipan yang bekerja.



Oleh sebab anak titipannya itu mempunyai beberapa masalah pembangunan dan kesihatan, Cik Hadijah kadang kala memerlukan bantuan anaknya sendiri untuk menghantar anak itu ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan apabila beliau sibuk bertugas.



Turut membantu beliau ialah kakaknya dan ibu bapa Cik Hadijah, yang menganggap anak itu sebagai cucu mereka sendiri.



Pegawai Penjagaan Kanak-kanak dari MSF turut memberi sokongan kepada ibu bapa titipan. Saranan untuk meluaskan manfaat cuti jagaan anak kepada ibu bapa titipan yang telah dikemukakan di Parlimen turut disambut baik oleh Cik Hadijah.



"Bagi mereka yang ingin mengambil anak titipan, anda perlu berbincang dengan keluarga anda dan perlu menjelaskan mengapa anda ingin melakukan perkara ini.



"Jika hanya anda seorang saja yang melakukannya, ia agak mencabar, terutama jika anak titipan itu ada banyak keperluan. Jadi, haruslah dapatkan sokongan penuh keluarga dan rakan-rakan kerja anda juga," kata Cik Hadijah.



  • Rencana ini dibawakan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).


"Apabila kami menghantarnya ke sekolah setiap hari dia akan duduk di atas pangkuan saya dan peluk dan cium saya. Dia juga suka bergurau dengan abang dan kakaknya... Bagi mereka yang ingin mengambil anak titipan, anda perlu berbincang dengan keluarga anda dan perlu menjelaskan mengapa anda ingin melakukan perkara ini."
- Cik Hadijah Abu Bakar, ibu titipan seorang kanak-kanak berusia dua tahun.




SEMINAR KELUARGA TITIPAN



Tarikh: Ahad, 22 September 2019



Masa: 10 pagi - 12 tengah hari (Pendaftaran bermula 9 pagi. Tetamu harus duduk pada 9.50 pagi)



Tempat: Festive Theatre, Our Tampines Hub, 1 Tampines Walk. Singapore 528523



Panelis termasuk: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Safinah Institute, Ustaz Tarmizi Wahid; seorang pegawai MSF; serta pasangan ibu bapa titipan yang akan berkongsi pengalaman mereka.



Daftar di laman titipan.sphevents.com.sg




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >