Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

BUNUH DIRI, ISU MENTAL: SALAH SIAPA?

Keluarga bersedih dalam senyap, malu tampil dapatkan bantuan

Dec 02, 2019 | 05:30 AM



Terdapat peningkatan dalam jumlah kes bunuh diri tahun lalu dibandingkan tahun sebelumnya. Perihal bunuh diri sering dipandang 'tabu' dalam masyarakat Melayu, namun ia sememangnya sesuatu yang berlaku dan membelenggu masyarakat. Kejadian bunuh diri, khususnya berkaitan isu kesihatan mental, perlu dibincangkan dengan lebih, dan masyarakat perlu lebih terbuka serta memberi sokongan kepada mereka yang terjejas. Sering kali, masyarakat suka menunding jari kepada individu yang mengalami keadaan mental ataupun keluarga mereka, dan ini tidak sepatutnya berlaku. BERITA HARIAN mengupas tajuk bunuh diri berkaitan isu kesihatan mental dan mengetengahkan beberapa kisah.



KEJADIAN bunuh diri meninggalkan luka mendalam dalam ahli keluarga dan sahabat handai yang kehilangan orang tersayang.



Namun, sering kali, golongan yang ditinggalkan ini akan bersedih dalam senyap kerana bunuh diri masih dianggap 'tabu' dalam masyarakat, menurut presiden pertubuhan kebajikan sukarela (VWO) Kelab Heal, Dr Radiah Salim, yang berkongsi tentang kejadian bunuh diri yang berlaku khususnya, dalam kalangan mereka yang mengalami keadaan mental.



Disebabkan stigma yang sering mengiringi isu bunuh diri, Dr Radiah menjelaskan bahawa ramai keluarga, ataupun penjaga yang kehilangan orang tersayang mereka, malu tampil bagi mendapatkan bantuan.



"Belum ada cukup sokongan daripada masyarakat kerana mereka tidak memahami keadaan yang dilalui. Kadangkala, sebaliknya, menuduh dan menyalahkan keluarga serta penjaga sebagai punca mengapa arwah membunuh diri," ujarnya.



Justeru, masyarakat Melayu/Islam perlu memberi lebih sokongan kepada golongan ini, bukan meminggirkan mereka, kata Dr Radiah.



Menurut perangkaan yang dikongsi Samaritans of Singapore (SOS) Julai lalu, 397 orang mati atas sebab bunuh diri tahun lalu dan ini satu peningkatan sebanyak 10 peratus dibandingkan tahun sebelumnya.



"Kejadian bunuh diri merupakan sebab kematian utama bagi belia berusia antara 10 tahun dengan 29 tahun," menurut SOS.



Bagi mereka yang mendedahkan umur, SOS berkata golongan ini merangkumi 78 peratus klien keseluruhan yang mengirim e-mel kepada perkhidmatan Pendamping E-mel SOS, yang memberikan sokongan emosi kepada mereka yang ditimpa kesusahan.



Secara khusus, kejadian bunuh diri dalam kalangan remaja lelaki berusia antara 10 tahun dengan 19 tahun adalah tertinggi tahun lalu sejak 1991.



Penolong pengarah kanan SOS, Cik Wong Lai Chun, berkata lelaki secara stereotaip dijangka perlu gagah, tabah dan stabil dari segi kewangan, justeru sedikit kelemahan dilihat sebagai ketidaksempurnaan.



"Ini perlu berubah. Lelaki, juga wanita perlu tahu bahawa ia OK untuk kurang sempurna dan kita perlu mendidik orang ramai supaya faham bahawa persekitaran menyokong dan menggalakkan jauh lebih bermanfaat daripada yang mudah menghukum bagi masyarakat kita," ujarnya.



MENDAPAT SOKONGAN



Selalunya, ibu bapa mendapati amat sukar mengaku anak mereka meninggal dunia dengan bunuh diri kerana mereka berasakan ia mungkin mencerminkan cara keibubapaan dan keluarga mereka secara tidak baik, kata pengasas bersama Child Bereavement Support (Singapore), Cik Valerie Lim.



"Apabila kehilangan berlaku, orang tersayang berasakan pelbagai emosi yang boleh menjadi sangat negatif dan mengelirukan.



"Sebagai ibu bapa, mereka selalunya merasakan mereka gagal melindungi anak mereka, yang merupakan salah satu tanggungjawab utama ibu bapa," katanya.



Bagaimanapun, mempunyai kumpulan sokongan yang kuat, terdiri daripada rakan baik, adikberadik, atau pasangan, adalah genting untuk membantu mereka yang sedang bersedih.



"Bagi saya, salah satu pencapaian penting bagi ibu bapa yang bersedih adalah apabila mereka memutuskan bahawa mereka mahu menjalani hidup dengan baik lagi... apabila mereka melakukan demikian, keinginan mahu hidup dengan baik akan membantu mereka dalam perjalanan ke arah penerimaan dan ketenangan," kata Cik Lim.



ASPEK AGAMA



Menyentuh tentang perihal bunuh diri, pendakwah bebas, Ustaz Shaikh Loqman, 42 tahun, yang pernah bertugas sebagai pekerja sosial kanan, akur perbuatan itu haram.



Bagaimanapun, jika kejadian ini berlaku dalam kalangan mereka yang mempunyai sakit mental, hukum ini berubah mengikuti keadaan mangsa bunuh diri tersebut, sama ada beliau sedang berfikiran waras ataupun tidak.



"Jika seseorang itu tidak mempunyai daya kemampuan membuat sesuatu keputusan matang, contohnya pesakit psikosis yang mengalami halusinasi atau ilusinasi, maka segala tuntutan agama tidak dikenakan ke atas dirinya, bererti segala perbuatan yang dilakukan tidak berdosa," kata ahli Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).



Namun, beliau menekankan bahawa tidak semua sakit mental itu bererti orang itu tidak waras.



"Contohnya, jika seseorang itu putus dengan kekasihnya, tidak dapat terima kenyataan, dan masih lagi mempunyai daya kemampuan membezakan dunia nyata daripada dunia khayalan, maka hukumnya haram bunuh diri," kongsinya.



Ustaz Firdaus Yahya, pengasas Pusat Pendidikan Darul Huffaz, pula menambah bahawa sokongan perlu diberikan, bukan kecaman.



"Kita bukan hakim yang memutuskan si fulan yang bunuh diri sebagai ahli neraka. Sebaliknya, jika beliau orang Islam, kita uruskan jenazahnya sebagai orang Islam dan doakan semoga Allah mengampuni dosa-dosanya," katanya.



  • Penulis, lulusan sarjana muda NTU, adalah wartawan BH/BM. Baru-baru ini, beliau melaporkan tentang isu kesuburan, kisah bekas penagih dadah dan kehidupan budak yang tinggal di flat sewa.

  • Antara tajuk yang menjadi kegemarannya ialah isu sosial dan kesihatan.

  • Ikuti Humaira di Instagram @humaira.bh


"Apabila kehilangan berlaku, orang tersayang berasakan pelbagai emosi yang boleh menjadi sangat negatif dan mengelirukan.



Sebagai ibu bapa, mereka selalunya berasakan mereka gagal melindungi anak mereka, yang merupakan salah satu tanggungjawab utama ibu bapa."
- Cik Valerie Lim, pengasas bersama Child Bereavement Support (Singapore).




SAYA PERLU BANTUAN...



Bantuan jika anda mempunyai pemikiran bunuh diri:



  • Hubungi Samaritans of Singapore (SOS) di talian 24 jam, 1800-221 4444

  • E-mel Samaritans of Singapore (SOS) di pat@sos.org.sg, dan waktu respons adalah dalam 48 jam, tidak termasuk hujung minggu dan cuti awam

  • Hubungi Kelab Heal di talian 6899-3463 atau kirim e-mel kepada info@clubheal.org.sg

  • Hubungi Institut Kesihatan Mental (IMH) di 6389-2222

Bantuan jika anda kehilangan orang tersayang yang bunuh diri:



Kunjungi pameran seni kesihatan mental One of Us:



  • Tempat: Temasek Shophouse (Tingkat 1)

  • Tarikh: 5 November hingga 13 Disember

  • Bagi maklumat lanjut sila lungsuri https://www.temasek.com. sg/en/news-and-views/one-of-us.html




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >