SEDANG kita melalui hujung minggu yang panjang ini, ada baiknya kita memanfaatkan masa ini di rumah.
Mungkin boleh selesai pelbagai urusan ketika selesa di rumah yang tidak sempat kita lakukan ketika kita 'bebas' keluar rumah ke mana-mana.
Malahan beberapa asatizah kita juga menganjurkan agar kita menggunakan waktu emas ini menambah ibadat di rumah.
Menteri Masagos Zulkifli baru-baru ini juga memesan agar kita hormati tempoh sekatan ketat ini. Tidak berkumpul di tempat awam. Contohnya, ke pasar tidak semesti hujung minggu, antaranya elak dari bersesak-sesak.
Lihat saja kes-kes jangkitan yang tinggi saban hari. Sebilangan kes sedang dipastikan jangkitannya dari mana.
Kita simpati pada pekerja-pekerja asing baik yang dijangkiti. Pada pekerja asing yang masih sihat, pastinya mereka dalam keadaan bimbang.
Pekerja-pekerja ini banyak berjasa kepada mereka. Mereka merantau meninggal keluarga tersayang untuk berada di sini mencari rezeki, melakukan kerja-kerja penting untuk negara kita.
Berikan sokongan kepada mereka dan doakan keselamatan dalam waktu penuh cabaran ini.
Bagi kita, marilah bersatu teguh menghormati dan mematuhi langkah dan peraturan sekatan ini.
Sekiranya perlu ke pasar atau ke pasar raya, elak daripada mengunjungi semasa waktu sibuk. Jarakkan masa anda dan pastikan anda membawa pelitup dan menuruti jarak selamat.
Pemerintah telah melakukan sepenuh daya untuk mengatasi krisis ini, termasuk bajet berbilion dolar untuk menyelamatkan ekonomi dan pekerjaan.
Pekerja perubatan sedang berjuang membantu pesakit. Kita juga berbangga anak Melayu kita kalangan karyawan perubatan seperti doktor dan jururawat di barisan depan
Ramai lagi mereka di barisan depan yang bersengkang mata dan tidak penat lelah mencurah bakti untuk sama-sama menyelamatkan Singapura dari krisis besar ini.
Masyarakat kita juga banyak berkorban menyesuaikan diri seperti tiada solat jumaat dan kemungkinan menjalani Ramadan dan menyambut Syawal tidak seperti sebelum ini.
Ada sebahagian anggota keluarga pula berkorban 'berpisah' sementara dengan anggota keluarga lain yang disayangi demi mematuhi sekatan ini.
Kita perlu bersatu teguh dan bekerjasama agar dapat keluar dari krisis. Contohnya, duduk di rumah, dan hanya keluar rumah jika benar-benar perlu. Elakkan dari menambah kesesakan di tempat awam
Seperti nasihat ulama, Allah tidak akan menguji seseorang itu dengan apa yang dia tidak berdaya mengatasinya.
Kita berdaya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg