Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Korban dengan ilmu, agar usaha sampai kepada tujuannya

Jun 05, 2022 | 09:34 PM



SYAWAL baru meninggalkan kita. Selepas Zulkaedah, Zulhijah bakal menjelang. Kata kuncinya ialah Korban.



Ia ditandai dengan pengorbanan. Fizikalnya sembelihan binatang ternakan.



Hampir setiap rumah yang mampu akan berkorban sekurang-kurangnya satu bahagian daripada seekor lembu.



Kita sambut dengan hati penuh bercahaya. Peluang sekali lagi untuk semua sanak saudara berkumpul mesra.



Usah terdetik mahu makan daging pada Hari Raya Korban. Lalu kita sembelih kambing. Itu nafsu. Betulkan niat. Insya-Allah berkat.



Anak sulung saya pernah bertanya:



"Ayah, korban setiap tahun. Dagingnya tidak pernah kami lihat."



Saya jawab:



"Daging kita, orang lain di negara lain yang makan. Mereka jarang dapat makan daging. Kita pula kena kurangkan makan daging."



Hati yang ikhlas.



Ia rentas rela. Ia memberi. Ia berkongsi.



Ia datang daripada hati.



Ia tanpa ada nafsu mahu memiliki. Ia bukan untuk merasai. Ia adalah penawaran diri.



Ikhlas sukar difahami.



Ia adalah impian yang tersimpan. Hati yang mendambakan.



Namun, kita ada akal.



Usahlah kita asyik bergentayangan gambar haiwan-haiwan sembelihan itu di wall kita.



Ia tidak molek dan beri gambaran pelik pada teman-teman berlainan agama dalam masyarakat majmuk dalam negara dan teman-teman ruang maya.



Roh kepada ibadah korban itu adalah pengorbanan jiwa dan raga. Ia adalah kesediaan kita menurut perintah agama.



Meninggalkan perkara sia-sia dalam hidup dan jadi orang berguna. Jadi orang baik.



Ikut jejak Nabi Ibrahim.



Jadi anak yang baik seumpama Nabi Ismail.



Dalam keghairahan berkorban, jangan salah korban pula.



Usah korban kesihatan untuk kejar harta.



Usah korban persahabatan untuk kejar kuasa.



Usah korbankan agama untuk kejar dunia.



Apabila kita korbankan kesihatan untuk cari harta, nanti apabila kita dapat harta, kita korbankan harta pula untuk dapatkan kesihatan semula.



Kita mungkin boleh beli tilam empuk.



Kita tidak boleh beli tidur nyenyak.



Kita boleh ada harta berjuta.



Kita tidak boleh beli waktu yang terlepas bersama anak-anak semasa mereka masih bersama kita.



Kita sekarang berada lebih kurang sebulan sebelum Hari Raya Haji.



Iklan-iklan di media sosial dan dada-dada akhbar sudah mula menawarkan khidmat ibadah korban di luar negara dengan pelbagai pilihan yang ada.



Pelbagai pakej, pelbagai jenis haiwan dan pelbagai tempat di serata dunia.



Macam-macam ada.



Masyarakat perlu bijak memilih wakil yang ingin diamanahkan urusan korban dan sebagainya demi memastikan ketelusan ibadah yang dilakukan.



Dengan sedikit penyelidikan dan beberapa langkah berjaga-jaga, anda boleh membantu memastikan sumbangan anda disalurkan kepada pertubuhan yang tepat dan benar-benar berkhidmat untuk mereka yang memerlukan.



Berikut adalah beberapa cara mudah yang anda boleh amalkan:



  • Pastikan pertubuhan atau vendor korban yang anda pilih berdaftar dengan Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) dan mempunyai Nombor Entiti Unik (UEN). UEN ialah nombor pengenalan yang dijana untuk entiti perniagaan selepas berjaya diperbadankan dengan Acra. Sekurang-kurangnya pemerintah tahu akan kewujudan mereka.

  • Walaupun anda mungkin memilih mendapatkan resit atau tidak, mempunyai pilihan mendapatkan resit memberitahu anda jika anda perlu membuat sebarang pertimbangan lanjut. Jika pertubuhan atau vendor bersedia menerima sumbangan anda tetapi tidak memberikan resit yang kelihatan profesional, ini menunjukkan bahawa pertubuhan itu mungkin tidak telus tentang cara ia menggunakan dana anda. Resit juga harus menyatakan jumlah yang anda sumbangkan atau penerangan tentang apa yang anda sumbangkan.

  • Pastikan pertubuhan atau vendor yang dipilih mempunyai rekod perkhidmatan yang diyakini. Ini kerana jenama yang mapan telah membina hubungan, kepercayaan, rangkaian dan prasarana di lapangan. Mereka pastinya lebih mahir untuk menjalankan operasi berskala besar dan unik, lebih-lebih lagi dalam era endemik ini.

  • Pertubuhan yang terkenal dengan kedudukan kewangan yang kukuh sepatutnya diberikan keutamaan. Mekanisme dan dasar kawalan kewangan dalaman mustahak bagi mengelakkan salah urus dan kegenjotan dalam pelaksanaan ibadah korban.

  • Akhir sekali ialah bagi memastikan pertubuhan pilihan anda bekerja dengan rakan lapangan yang diiktiraf pada peringkat tinggi, mempunyai latar belakang yang boleh dipercayai serta pengalaman luas dalam kerja-kerja kemanusiaan. Dengan bekerjasama dengan agensi antarabangsa, mereka berkebolehan memintas keadaan sukar yang timbul dan memastikan bantuan daging korban sampai kepada penerima yang diniatkan.

Mari kita berkorban dengan ilmu. Jangan berkorban dengan nafsu.



Usah terperangkap dengan pemikiran, "Saya dah beri. Sampai tak sampai, bukan urusan saya. Tuhan sudah catat pahala".



Susahlah masyarakat nak maju kalau kita asyik begitu.



Sebagai langkah berjaga-jaga, kita perlu menyelidik bagi memastikan sumbangan kita sampai kepada golongan yang sepatutnya agar ia dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.



Sifat memberi dituntut dalam Islam namun pemberian terbaik adalah yang memberi manfaat kepada ummah.



Kita hendaklah sentiasa tekun terhadap apa juga amalan yang dikerjakan.



Hendaklah selalu menilai mutu dan keberkesanan ibadah serta kerja supaya kita tidak membuat perkara sia-sia.



Usaha harus sampai pada tujuan.




"Usah terperangkap dengan pemikiran, 'Saya dah beri. Sampai tak sampai, bukan urusan saya. Tuhan sudah catat pahala'. Susahlah masyarakat nak maju kalau kita asyik begitu. Sebagai langkah berjaga-jaga, kita perlu menyelidik bagi memastikan sumbangan kita sampai kepada golongan yang sepatutnya agar ia dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya."
- Penulis.




  • Penulis Pengerusi M3@ Jalan Besar dan seorang usahawan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >