Kos sara hidup jadi keprihatinan, Berita Wacana - BeritaHarian.sg
Subuh
5:43
Syuruk
7:01
Zuhur
1:06
Asar
4:19
Maghrib
7:11
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Wacana0

Kos sara hidup jadi keprihatinan

Mar 25, 2019 | 05:30 AM

Rakyat Indonesia bakal ke kotak undi bagi pilihan raya presiden dan perundangan pada 17 April ini. Dengan lebih 192 juta penduduk layak mengundi, ia pilihan raya terbesar negara itu sejak pilihan raya langsung diadakan 15 tahun lalu. Hari ini BERITA HARIAN mengupas keadaan di wilayah Sumatera Selatan di halaman ini dan di halaman sebelah.

HARGA getah asli sekarang ini hanya separuh sahaja daripada harganya dua tahun lalu.

Umumnya, kejatuhan harga ini disebabkan bekalan berlebihan di seluruh dunia dan permintaan yang berkurangan.

Namun, sesetengah petani di daerah Sumatera Selatan berpendapat banyak lagi yang boleh dilakukan pemerintah untuk menyokong mereka.

Justeru, Presiden Indonesia Encik Joko Widodo, yang lebih dikenali sebagai Jokowi, yang sedang bertanding sebagai presiden bagi penggal kedua dan terakhir beliau dalam pilihan raya presiden bulan hadapan, menghadapi cabaran besar memenangi hati pengundi di Sumatera Selatan.

Berita Popular

Encik Jokowi dan calon naib presidennya, ulama kanan Ma'ruf Amin, akan berdepan mantan jeneral tentera Prabowo Subianto, dan rakan bertandingnya Sandiago Uno, ahli perniagaan yang kini ahli politik, dalam pilihan raya pada 17 April ini.

Encik Jokowi telah dikalahkan oleh Prabowo dengan perbezaan undian yang kecil dalam pilihan raya di Sumatera pada 2014.

Walau bagaimanapun, harapan mahu merapatkan jurang ini tampak sukar kerana mereka yang bekerja di ladang seolah-olah menyalahkan pemerintah atas kesusahan yang mereka hadapi.

Kesusahan ini dirasakan terutama sekali oleh pekerja ladang. Kos makanan dan elektrik semakin meningkat ketika pendapatan semakin berkurangan disebabkan kemerosotan harga barangan.

Harga getah asli merosot kira-kira 22 peratus pada 2017 dan turun 25 peratus lagi pada tahun lalu, dengan Sumatera Selatan paling teruk terjejas. Daerah ini merupakan pengeluar terbesar getah asli di Indonesia.

Indonesia merupakan negara pengeluar getah asli terbesar yang kedua, selepas Thailand, serta merupakan pengeluar utama minyak kelapa sawit di dunia.

Walau bagaimanapun, getah ditoreh oleh petani tradisional dan pemilik tanah kecil, tidak seperti minyak kelapa sawit yang kebanyakannya diusahakan oleh syarikat besar.

Penoreh getah Samsih Ruslan menerima gaji kira-kira 500,000 rupiah ($47.50) bagi setiap dua minggu.

Ibu tunggal berusia awal 50-an tahun itu berasal dari kampung Sejaro Sakti di keregenan Ogan Ilir, yang terletak sejauh dua jam perjalanan dari selatan Palembang. Beliau mengatakan kos barangan asas telah meningkat, dengan kos beras untuk seorang bagi sebulan berharga 160,000 rupiah.

Samsih harus menjaga dua daripada lima anaknya sendirian, selepas suaminya meninggal dunia. - Agensi berita.


SEKILAS SEJARAH SUMATERA SELATAN

Pada hari ini, wilayah Sumatera Selatan, antara tempat di Indonesia yang menyaksikan perkahwinan antara kaum yang terawal di situ, berdagang secara luas dengan India dan China semasa zaman purba, mulai abad ke-7 dan seterusnya.

Pedagang dari bahagian lain dunia, termasuk Arab Saudi juga berdagang di situ, dengan ramai antara mereka yang bermastautin di Sumatera.

Terdapat beberapa sejarawan yang mengatakan ibu kota wilayah Sumatera Selatan iaitu Palembang, dan Muaro Jambi di wilayah jiran, merupakan pusat kuasa kerajaan Sri Vijaya yang beragama Buddha. Sri Vijaya telah menjadi sebuah kuasa besar di Asia Tenggara antara akhir abad ke-7 dengan awal abad ke-11.

Terdapat catatan dan kisah yang menunjukkan Laksamana Cheng Ho, utusan daripada Dinasti Ming di China, yang merupakan seorang Muslim, mengunjungi Sumatera dan bahagian Asia Tenggara lain pada awal abad ke-15 dan membantu penyebaran Islam yang lebih cepat, bukan sahaja di Sumatera malah di rantau ini.

Agama Islam, yang telah pun wujud di beberapa bahagian di Indonesia sebelum abad ke-15, walaupun penyebarannya lebih lambat daripada agama Hindu dan Buddha dari India, yang telah lama mempunyai pengaruh besar, memainkan peranan penting dalam kehidupan harian.

Pada masa ini, 96 peratus daripada 8.3 juta penduduk di Sumatera Selatan beragama Islam, sementara yang lain beragama Kristian, Buddha dan penganut agama lain.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map