Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Lidah Pengarang

Langkah susulan pastikan pembangunan sektor asatizah kekal tersusun, berdaya saing

Mar 19, 2023 | 05:30 AM



DALAM dunia yang semakin rumit, dengan cabaran sosial dan tekanan ke atas nilai-nilai keagamaan, peranan asatizah setempat menjadi semakin penting.



Sejajar dengan itu, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) telah bekerjasama untuk membangunkan pelbagai usaha, program dan inisiatif untuk menyokong pembangunan asatizah.



Usaha tersebut diterajui Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa) yang ditubuhkan pada 2019 untuk mengkaji kemahiran yang diperlukan asatizah masa depan.



Antara hasil pembentukan Cofa ialah program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi graduan Islam dengan prinsip dan tradisi hidup Islam, sambil bersikap progresif dan berpandangan ke hadapan dalam menangani cabaran kontemporari.



Selain PCICS, Muis juga memperkenalkan Pelan Pembangunan Tenaga Kerja Asatizah (AWDP) pada 2019.



Pelan itu bertujuan membangunkan tenaga kerja asatizah secara berstruktur melalui penggunaan amalan terbaik industri seperti Rangka Kerja Kerjaya dan Kecekapan (CCF) dan Garis Panduan Gaji Biasa (CSG), serta pembangunan program peningkatan kemahiran seperti Pelan Peningkatan Kemahiran (SUP) dan Program Pembangunan Bakat dan Kepimpinan Agamawan (RLTD).



Sedang usaha-usaha sedemikian diakui bermanfaat kepada golongan asatizah, namun isu gaji asatizah terus menjadi keprihatinan.



Januari tahun lalu, Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, mengumumkan lulusan PCICS yang bekerja sepenuh masa di masjid atau madrasah sepenuh masa akan menerima kenaikan gaji bulanan $100 sebaik sahaja menamatkan program tersebut.



Kenaikan tersebut amat diperlukan, dengan gaji permulaan asatizah yang berkelulusan universiti di masjid dan madrasah sekitar $1,700 hingga $1,800 sebulan.



Pemeriksaan Berita Minggu (BM) dengan asatizah yang bekerja di pusat-pusat pendidikan Islam swasta juga mendedahkan gaji permulaan mereka tidak jauh lebih tinggi daripada rakan-rakan yang bertugas di masjid dan madrasah.



Berbanding dengan gaji media lulusan universiti setempat yang dilaporkan baru-baru ini, iaitu $4,200, gaji asatizah tempatan jelas jauh terkebelakang.



Di peringkat kepimpinan masyarakat, isu menaikkan gaji asatizah diakui sebagai antara keutamaan. Perbincangan telah diadakan dan beberapa usaha sudah dimulakan.



Sehubungan dengan itu, gerakan buruh, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), mempunyai misi berlandaskan Setiap Pekerja itu Penting, atau Every Worker Matters.



Asatizah juga adalah pekerja, yang menyumbang kepada ekonomi dan kehidupan sosial di Singapura, sebuah negara yang meletakkan 'premium' kepada keharmonian masyarakat berbilang agama.



Justeru, usaha untuk meletakkan asatizah dalam struktur gerakan buruh setempat harus dipercepat.



Terdapat beberapa cabang keanggotaan yang boleh diterokai asatizah di bawah struktur tersebut, dengan antaranya ialah menerusi pembentukan persatuan di bawah naungan NTUC.



Dengan hubungan kukuh NTUC dan pemerintah serta majikan menerusi rangkaian kerjasama tiga pihak, menerusi persatuan tersebut, asatizah boleh mempunyai 'suara' di peringkat tertinggi negara, dan mendapat akses kepada program dan skim yang disediakan kepada para pekerja lain di Singapura.



Manfaat bagi sektor yang diwakili dalam struktur gerakan buruh sudah jelas dapat dilihat, antaranya menerusi Model Gaji Progresif (PWM) yang telah membantu sektor-sektor seperti keselamatan dan landskap meningkatkan gaji dan tahap profesionalisme pekerja dan industri mereka.



Langkah yang sama diambil untuk sektor asatizah adalah penting untuk memastikan Singapura dapat terus menghasilkan golongan agamawan terlatih bagi membentuk nilai-nilai keagamaan di negara ini, sejajar dengan konteks kehidupan di negara sekular, dan pada masa yang sama membela nasib-nasib asatizah kita.




“Pemeriksaan Berita Minggu (BM) dengan asatizah yang bekerja di pusat-pusat pendidikan Islam swasta juga mendedahkan gaji permulaan mereka tidak jauh lebih tinggi daripada rakan-rakan yang bertugas di masjid dan madrasah. Berbanding dengan gaji media lulusan universiti setempat yang dilaporkan baru-baru ini, iaitu $4,200, gaji asatizah tempatan jelas jauh terkebelakang. Di peringkat kepimpinan masyarakat, isu menaikkan gaji asatizah diakui sebagai antara keutamaan. Perbincangan telah diadakan dan beberapa usaha sudah dimulakan.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >