Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Wacana

PANDANGAN

Logamaya sang korona: Perjuangan anak watan pulang ke Singapura

Mar 19, 2020 | 12:21 PM

TEMPOH keramat 16 hingga 18 Mac 2020 mungkin terpahat dalam ingatan saya dan ratusan ribu orang buat selama-lamanya.

Kisah saya bermula pada malam Isnin 16 Mac. Pekat malam menyelubungi kawasan Petaling Jaya, tempat yang saya diami sejak tujuh bulan lalu dek melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM).

Awal hari itu, saya terima berita bahawa Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyampaikan ucapan mengenai Covid-19 pada 10 malam.

Saya sangka kandungan ucapannya berbaur pengetahuan am seperti yang dilakukan rakan sejawatannya di Singapura, Encik Lee Hsien Loong, baru-baru ini. Saya menghidupkan televisyen lalu mencari saluran RTM 1. Sangkaan saya meleset.

Malaysia dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan. Status warga asing seperti saya masih kurang diperincikan pada waktu itu.

Bapa menelefon saya menerusi WhatsApp Call. Kami akan bawa Ain pulang ke Singapura dengan apa jua cara sekalipun, ujarnya.

Isnin 16 Mac, 10.20 malam

Sejurus tamat pengumuman tersebut, bermulalah proses ibu bapa mengeluarkan saya dari Petaling Jaya. Ambil apa yang perlu. Baju sehelai sepinggang. Komputer riba. Otak ligat berfikir yang mana perlu dibawa atau ditinggalkan. 

Pada 10 pagi, ibu bapa menjemput saya. Kami tiba di tol Sungai Besi sekitar 11 pagi. Perjalanan ke Johor Bahru lancar.

Kami sudah terbiasa malah menjangkakan berlakunya kesesakan di Koswe namun tiada kesesakan yang mampu menandingi apa yang bakal kami hadapi.

Kami membeli bekalan makanan dan tujuh botol 500 mililiter air putih.

Selasa 17 Mac, 3.15 petang

Setibanya di Tebrau Highway, deretan kereta Singapura sudah memenuhi segenap ruang. Kereta bersimpang-siur dengan lori dan treler di kawasan yang orang gelar B. Point (lihat gambar).

Logamaya terbentuk, mengaburi pandangan. Mentari tegak di atas kepala, mengekori setiap pergerakan. Pada waktu itu, saya cuba berfikiran positif.

Jarak dari Tebrau Highway ke B.Point, yang lazimnya memakan masa memandu beberapa minit sahaja, kini memasuki dua jam.

Semangat di hati memudar seperti matahari yang tergelincir ke Barat. Saya kasihan dengan bapa yang memandu kereta jenis manual.

Kesabaran kian menipis. Bapa mematikan enjin kereta agar tidak menjadi terlampau panas. Kereta lain di keliling kami pun melakukan hal yang sama.

6.52 petang

Badan berlengas. Saya cuba menyelesaikan kerja sekolah tetapi keadaan semakin tidak selesa.

Kami tidak bergerak sejak melintasi kawasan B.Point. Kami memasuki Tebrau Highway pada 3.15 petang tetapi pada 6.52 petang saya belum melihat lagi kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar.

Keadaan sesak ‘gridlock’ melanda. Tidak ada satu pun kereta yang mampu bergerak. Atas dasar menghiburkan hati, saya keluar dari kereta lalu memetik swafoto.

Ada pemandu dan penumpang nekad melintasi Jalan Lingkaran Dalam yang seluas lapan lorong semata-mata mahu pergi ke stesen minyak Shell berdekatan.

Pemisah jalan pula hampir paras pinggang. Mereka terkemut-kemut berlari ke Shell. Ada yang pulang ke kereta menjinjit beg plastik berisi cemil-cemilan. Jelas, wajah semua digarisi kelelahan.

9 malam

Kami berada di persimpangan berdekatan CIQ yang menyatukan Tebrau Highway dan dua jalan lain seperti Lebuh Raya Hubungan Penyuraian Timur (EDL).

Hampir sahaja kami melencong ke arah Johor Bahru kerana sudah tidak mampu bertahan. Bekalan makanan habis. Air berbaki tiga botol. Kami baru nampak bumbung CIQ.

Maklumat bercanggah banyak dikongsi secara dalam talian dan WhatsApp. Sangat tidak membantu kami yang terperangkap.

Pada ketika ini, kami tidak mampu berbicara sesama sendiri lagi. Enam jam sudah berlalu. Mata kami berpinar-pinar.

Kereta Volkswagen berwarna jingga di depan kami dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di depannya tiba-tiba berdentam.

Hilang kantuk seketika. Dua pemandu bersemuka. Mereka mengelus kereta masing-masing. Dalam banyak-banyak masa, sekarang jugalah mahu bertekak?

Setelah berjam-jam lamanya, saya dan ibu bergegas ke tandas CIQ sekitar 200 hingga 300 meter dari kereta. Hanya ada satu tandas berdekatan kereta. Tandas ada lima hingga enam kubikel. Kami beratur. Saya nombor 10.

Saya hampir menangis sewaktu beratur. Memang gila kesesakan ini.

11 malam

Akhirnya, kami tiba di bahagian pemeriksaan passport CIQ – hampir lapan jam setelah tiba di Tebrau Highway.

Perjalanan kami belum menunjukkan tanda-tanda selesai. Satu jam lagilah baru kami menjejaki Koswe. Bekalan air kami habis pada 11 malam.

Rabu 18 Mac, 12.04 pagi

Tepat 12.04 pagi, kereta kami memasuki Koswe – hampir sembilan jam selepas memasuki Tebrau Highway pada 3.15 petang tadi. Dahsyat.

Kaki bapa sudah mula sakit tidak terperi. Saya dan ibu pula tidak memiliki lesen memandu. Bapa memang luar biasa tabahnya.

1.15 pagi
Passport kami diperiksa di Pusat Pemeriksaan Woodlands. Pegawainya telaten, kata orang Jawa.

Kami memasuki Ekspreswe Bukit Timah (BKE) pada 1.25 pagi, iaitu 10 jam 10 minit selepas tiba di Tebrau. 27 jam selepas Tan Sri membuat pengumuman, kami selamat pulang ke pangkuan Singapura.

KENAPA PULANG

Ringkasnya, saya dibawa pulang kerana saya dianggap individu dengan daya ketahanan tubuh yang rendah.

Menurut kajian Mahon dan Stiller menerusi kertas kajian berjudul 'The immunocompromised patient' dalam jurnal perubatan Medecin de famille canadien pada 1987, individu seperti saya memiliki daya ketahanan tubuh lebih rendah terhadap jangkitan.

Memburukkan keadaan ialah saya pernah menghadapi penyakit semput. Oleh sebab itu, ibu bapa membawa saya pulang ke Singapura sebagai langkah berjaga-jaga.

Butir-butir Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia juga kurang jelas pada masa itu. Kusut fikiran kami. Hingga akhbar ini dicetak dinihari tadi, alhamdulillah saya sihat.

Saya pun lega tidak melengahkan perjalanan pulang. Dalam laporan akhbar Malaysia The Star, kesesakan teruk berlaku di Lebuh Raya Utara-Selatan.

Bayangkan jika kami terpaksa menempuh sesak di lebuh raya dari Kuala Lumpur ke Johor dan seterusnya di sempadan Malaysia dan Singapura?

Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura turut mengeluarkan kenyataan menggalakkan pelajar Singapura di luar negara supaya pulang ke tanah air.  Keputusan kami memang tepat.

MEMANDANG KE DEPAN

Virus Covid-19 mungkin sebesar 120 nanometer sahaja, namun makhluk kecil itu mampu menjatuhkan dunia daripada pelbagai sudut, baik kesihatan dan ekonomi mahupun perpaduan sosial.

Covid-19 tidak boleh dipandang remeh lagi oleh warga dunia.

Menerusi pengalaman ini, kita boleh lihat betapa pentingnya komunikasi jelas dan meluas meliputi pelbagai lapisan masyarakat.

Selain warga tempatan, sesebuah pemerintah harus memikirkan kehadiran penduduk lain seperti warga asing.

Keputusan mendadak mesti warga pilih dan ini perkara yang boleh melibatkan hidup dan mati justeru mereka memerlukan maklumat lengkap.

Demi menghuraikan masalah komunikasi, kedutaan atau konsulat Singapura boleh mengkhususkan seorang dua pegawai untuk menguruskan hal ehwal pelajar republik ini di luar negara buat sementara waktu persis pasukan petugas Covid-19 pimpinan Encik Teo Chee Hean dari Singapura dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari Malaysia.

Akhir kata, saya juga ingin merayu pemerintah Singapura dan kerajaan Malaysia agar memberi tambahan masa jika mahu melaksanakan sebarang langkah pada masa depan.

Saya akur langkah mengejut bermatlamat membendung penularan. 

Namun, masa yang terlalu singkat untuk menyesuaikan diri menambahkan tekanan bukan sahaja pada warga terjejas malah anggota keluarga dan orang sekeliling.

Tekanan sebegini boleh dielakkan jika masa tambahan masa diberikan.

----
Penulis merupakan penyunting akhbar Berita Harian/Berita Minggu.