Subuh
5:46
Syuruk
7:05
Zuhur
1:11
Asar
4:29
Maghrib
7:15
Isyak
8:26
Wacana

ZHULKARNAIN ABDUL RAHIM

Manfaatkan kemahiran, kepakaran untuk bantu masyarakat

Mar 15, 2020 | 05:30 AM

    SUDAH 16 tahun Encik Zhulkarnain Abdul Rahim mengukir kerjaya sebagai peguam korporat dan beliau fikir mungkin agak mudah baginya untuk hanya memberi tumpuan kepada bidang itu dan keluarganya.

    Tetapi bapa tiga anak itu percaya 'tidak sempurnalah hidup' kalau beliau tidak memanfaatkan kemahiran dan kepakarannya untuk membantu masyarakat.

    Itulah yang mendorong Encik Zhulkarnain untuk berkecimpung dalam kerja masyarakat sejak 2009 bermula dengan khidmat guaman percuma hingga penglibatan beliau dalam beberapa pertubuhan Melayu/Islam.

    Sejak 2017, beliau juga aktif di peringkat akar umbi di Choa Chu Kang.

    Dalam kerjayanya, Encik Zhulkarnain, 39 tahun, merupakan rakan kongsi di syarikat guaman antarabangsa, Dentons Rodyk.

    Pada 2015, beliau diiktiraf sebagai antara 40 peguam cemerlang di bawah usia 40 tahun di rantau ini oleh Asia Legal Business, sebuah majalah guaman antarabangsa.

    Di samping itu, beliau giat meluangkan masa untuk masyarakat.

    Dalam tempoh sedekad lalu, beliau pernah menjadi Pengerusi AMP Singapura, serta pengarah Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan Setiausaha Kehormat Rumah Wanita Casa Raudhah.

    Sejak tahun lalu, beliau juga merupakan Pengerusi M3@Choa Chu Kang.

    "Akar umbi satu wadah baik untuk kita mengenali dengan lebih dekat isu masyarakat kita.

    "Nak cakap pasal dasar itu senang, tetapi kalau kita tak turun padang, kita tak tahu selok- beloknya," ujar Encik Zhulkarnain, dalam satu wawancara dengan Berita Minggu.

    Pasukan M3 di Choa Chu Kang yang diterajuinya itu telah memperkenalkan pelbagai program termasuk perancangan kewangan untuk keluarga, bimbingan belia, dan program kepimpinan untuk kaum bapa.

    Penglibatannya di peringkat akar umbi itu juga mencetuskan persoalan apakah beliau akan terlibat dalam arena politik.

    Beliau mula menganggotai sebuah parti politik pada hujung 2017.

    Mengenai apakah beliau ternyata akan menyertai politik, Encik Zhulkarnain pula berkata:

    "Kerja masyarakat ini bukanlah berakhir dengan politik. Ia berterusan bagi saya.

    "Jika diberi peluang untuk menyumbang lebih banyak lagi, soalan yang saya tanya diri sendiri adalah: apakah saya akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti, jika saya menolak peluang untuk memikul sesuatu amanah yang dapat membantu masyarakat.

    "Bagi saya, ia haruslah demi tujuan lebih besar."

    Pada masa yang sama, beliau akur kerja masyarakat itu juga memerlukan pengorbanan dari segi masa yang diluangkan dengan keluarga.

    Beliau mengimbas satu perbualan bersama anak perempuannya beberapa tahun lalu apabila anak itu masih kecil dan bertanya mengapa ayahnya itu sering keluar.

    "Saya beritahunya saya pergi membantu orang. Dia jawab, 'mengapa ayah tak bantu saya?' kerana mahu saya luangkan lebih masa dengannya. Hati saya remuk mendengarnya.

    "Selepas itu saya ajak dia ikut saya. Jadi dia dapat lihat sendiri kerja kebajikan yang saya buat,"kata Encik Zhulkarnain.

    Beliau merupakan bapa kepada dua anak perempuan yang berusia 11 tahun dan lapan tahun, serta seorang anak lelaki berusia enam tahun.

    "Tak maju bangsa kita, kalau kita tak cerminkan sifat ihsan pada semua masyarakat.

    "Sebenarnya, kita boleh duduk semeja dengan orang lain, mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah; dan lakukan sesuatu untuk beri kesan positif kepada bukan sahaja negara, bahkan kepada dunia," ujarnya, yang dilantik Duta Bahasa pada 2019.

    Bagi Encik Zhulkarnain, keluarganya juga pendorong bagi beliau untuk menabur bakti kepada masyarakat.

    "Keluarga sayalah yang banyak mendorong saya - isteri dan tiga anak saya. Ibu bapa saya juga banyak mengajar saya," kata Encik Zhulkarnain.

    Beliau merupakan anak kelima daripada enam adik beradik. Bapanya, Haji Abdul Rahim Mohd Rais, berusia 72 tahun, manakala ibunya, Hajah Sapiah Ahmad, 68 tahun.

    Isterinya, Cik Afizah Mohd Hassan, 38 tahun, merupakan penyelidik di Hospital Universiti Nasional (NUH).

    Penglibatan Encik Zhulkarnain dalam kerja masyarakat dan akar umbi telah membuka matanya kepada pelbagai cabaran yang membelenggu masyarakat Melayu/Islam - daripada dadah hingga hutang.

    Bagaimanapun, masyarakat itu tidak harus dianggap sebagai sebuah masyarakat bermasalah, kata Encik Zhulkarnain.

    "Kita tidak harus katakan ini satu masalah Melayu tetapi anggapnya sebagai seteru yang satu.

    "Macam virus yang menular sekarang, ia tidak kenal bangsa, warna kulit atau status sosial.

    "Anda boleh terperangkap dalam masalah seperti hutang, dadah dan keganasan, tidak kira di mana anda berada," katanya.


    BIODATA

    KERJAYA:

    • Peguam
    • Rakan kongsi di Dentons Rodyk
    • Diiktiraf antara 40 peguam cemerlang di bawah usia 40 tahun di rantau ini oleh Asia Legal Business

    PENDIDIKAN:

    • Bekas pelajar Sekolah Menengah Braddell, Maktab Rendah Kebangsaan
    • Lulusan undang-undang Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2005
    • Raih Sijil Perbankan dan Kewangan Islam Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Malaysia pada 2009
    • Raih Sarjana Undang-Undang (Perbankan dan Kewangan Islam) Universiti Pengurusan Singapura (SMU), muncul dalam senarai dekan pada 2013

    KERJA MASYARAKAT

    • Mantan Pengerusi AMP, dan sebelum itu Naib Pengerusi dan anggota lembaga pengarahnya
    • Pengarah Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan Setiausaha Kehormat Rumah Wanita Casa Raudhah
    • Anggota panel penyelia Reach, dan Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA)
    • Pengarah lembaga Yayasan Warisan Melayu, Score dan SportSG

    MENGENAI APAKAH BELIAU AKAN SERTAI POLITIK
    ​"Kerja masyarakat ini bukanlah berakhir dengan politik. Ia berterusan bagi saya. Jika diberi peluang untuk menyumbang lebih banyak lagi, soalan yang saya tanya diri sendiri adalah: apakah saya akan dipertanggungjawabkan kan di akhirat nanti, jika saya menolak peluang untuk memikul sesuatu amanah yang dapat membantu masyarakat. Bagi saya, ia haruslah demi tujuan lebih besar."

    Ciri baru

    Alat terjemah Berita Harian