Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

KESIHATAN & PERUBATAN

'Mekapkan' manikin untuk latihan simulasi pekerja kesihatan

Nov 29, 2021 | 05:30 AM



DULU, Cik Nurul Hadainah Muhamad Suhaimi suka main alat solek. Kini beliau 'mekapkan' manikin, atau patung manusia, pula yang digunakan dalam latihan simulasi oleh kakitangan kesihatan di Hospital Besar Changi.



"Dulu pun main patung Barbie, sekarang main dengan patung yang besar," seloroh Cik Nurul tentang pekerjaannya sebagai Eksekutif Bersekutu Kanan di Institut Simulasi Changi, CGH.



Antara kerjanya memerlukan beliau mempersiap manikin menjadi seakan-akan pesakit yang mengalami kecederaan sebagai latihan simulasi untuk doktor, jururawat dan pekerja kesihatan yang lain.



Tambahnya:



"Kira-kira dua orang daripada pasukan saya biasanya terlibat dalam penyediaan sesi latihan.



"Pada hari latihan simulasi, saya perlu memprogram dan mengendalikan manikin menggunakan perisian simulator yang boleh mengawal fisiologi, seperti kadar denyutan jantung dan bacaan tekanan darah manikin mengikut senario klinikal yang diperlukan.



"Selain itu, saya perlu menyediakan sistem rakaman di makmal simulasi supaya pelajar boleh menyemak sesi untuk taklimat.



"Salah satu perkara menarik yang saya lakukan ialah mencipta dan menggunakan 'moulage' iaitu solekan pada manikin untuk mensimulasikan kecederaan bagi meningkatkan realisme tetapan senario klinikal.



"Contoh senario ialah senario resusitasi untuk pesakit trauma, dalam bentuk manikin, pada tetapan A&E, di mana manikin akan mengalami beberapa kecederaan yang jelas."



Di Institut Simulasi CGH, simulasi klinikal dianjurkan dan dilaksanakan untuk prosedur klinikal yang selamat dan latihan proses.



Tugas Cik Nurul juga memerlukan beliau bekerja rapat dengan pendidik klinikal, biasanya doktor, jururawat dan profesional kesihatan bersekutu yang juga jurulatih dalam bidang khusus mereka, dengan merancang, menyediakan dan melaksanakan latihan simulasi untuk pelbagai pasukan perubatan.



Latar tersimulasi akan membolehkan peserta melakukan latihan praktikal dan latihan dalam suasana yang selamat.



Ia juga membolehkan mereka mencapai matlamat pembelajaran melalui senario latihan realistik yang terdapat pada persekitaran atau keadaan klinikal mereka.



"Ini bermakna saya juga perlu memahami keperluan latihan mereka dan memiliki pengetahuan tentang persekitaran tempat mereka berfungsi, beroperasi, serta banyak peralatan perubatan dalam makmal simulasi yang turut digunakan di kawasan klinikal," terang Cik Nurul yang sudah lapan tahun melakukan tugas ini.



Lulusan Diploma Sains Bioperubatan daripada Politeknik Republik ini menyatakan oleh sebab beliau tidak mempunyai latar belakang klinikal, pada awalnya, beliau perlu banyak membaca tentang keperluan sesuatu latihan itu dengan tunjuk ajar pengajar klinikal di situ.



"Apa yang mencabar, pengajar klinikal akan memberi senario-senario yang rumit. Saya perlu buat kajian, memahami langkah-langkah klinikal. Dari situ, apabila saya nak sediakan, saya buat yang benar dan betul-betul mengikut tetapan klinikal," terangnya.



Sepanjang tempoh Covid-19, beliau dan rakan sekerjanya terlibat secara aktif dalam latihan swab dan sesi latihan peralatan perlindungan diri (PPE).



Selain menyediakan peralatan dan logistik, beliau juga membantu memudahkan latihan PPE dan membetulkan sebarang kesilapan waktu itu, jika perlu.



Cik Nurul sedang melanjutkan pelajaran peringkat sarjana muda secara privet dalam pengurusan penjagaan kesihatan demi mempertingkat diri.



Beliau juga terlibat dalam latihan simulasi tetap mengenai penggunaan perlindungan respirator pembersih udara berkuasa (PAPR) dengan pasukan pelbagai disiplin doktor, jururawat dan profesional kesihatan bersekutu terlibat.



PAPR ialah peranti yang perlu dipakai oleh profesional perubatan apabila melakukan prosedur aerosol tertentu seperti menyedarkan semula pesakit Covid-19.



Latihan ini memberi tumpuan kepada cara penjagaan mengurus secara berkesan sebagai satu pasukan apabila berhadapan dengan pesakit yang rebah disebabkan Covid-19.



Semasa senario simulasi kecemasan ini, pasukan penjagaan dikehendaki memakai PPE dan PAPR dan bertindak menyedarkan semula pesakit.



"Setiap detik dikira apabila memulihkan pesakit. Semasa latihan, kami akan menilai masa reaksi mereka, adakah mereka memakai dan mengenakan PPE dan PAPR dengan betul, serta memerhati kerja berpasukan dan komunikasi dalam pasukan jagaan,'' katanya.



Latihan biasanya dijalankan dalam persekitaran wad seperti wad Covid-19 dan ICU supaya ia serealistik mungkin, jelasnya.



Selain tugas biasanya, pada awal kemunculan Covid-19, beliau turut turun padang membantu dalam operasi ujian swab di dormitori pekerja asing.



Menurutnya, latihan terbukti sangat penting dalam menyediakan kakitangan perubatan bagi menghadapi keadaan kecemasan yang memerlukan mereka bertindak pantas sambil mengira detik untuk menyelamatkan nyawa.



Melalui latihan inilah, pasukan jagaan disediakan dan berlatih secara langsung dalam persekitaran simulasi yang hampir dengan keadaan sebenar.



Di sinilah, sebagai kakitangan sokongan, mereka perlu sentiasa bersedia dalam memastikan latihan dapat dijalankan tanpa gagal.



"Walaupun saya tidak menyediakan penjagaan pesakit, saya merasakan kepuasan kerja apabila tugas saya memainkan peranan penting dalam melengkapkan pasukan penjagaan dengan set kemahiran yang diperlukan untuk melawan Covid-1.



"Ini supaya mereka boleh terus menyediakan penjagaan bermutu bagi pesakit kami untuk pulang ke pangkuan orang tersayang. Ia juga menggembirakan apabila melihat semua orang begitu fokus dalam melaksanakan latihan dengan bersungguh-sungguh semasa latihan simulasi.



"Saya dapat melihat mereka mahu melakukan yang terbaik untuk pesakit," kongsinya tentang sumbangannya secara tidak langsung kepada barisan hadapan dalam menangani Covid-19.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >