Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Memahami evolusi pengganasan

Mantan ejen FBI, Encik Ali Soufan, berkongsi pandangan mengenai ancaman itu
Apr 18, 2019 | 05:30 AM



JIKA bercakap tentang ancaman dunia yang ditimbulkan oleh kumpulan seperti Al-Qaeda dan ISIS, terdapat satu nama yang bermain dalam benak fikiran.



Orang itu ialah Encik Ali Soufan yang merupakan mantan ejen khas Biro Siasatan Federal (FBI) yang terkemuka.



Encik Soufan yang bakal menginjak ke usia 48 tahun pada Julai ini merupakan seorang yang pakar dalam arena perisikan sehingga diiktiraf kerana berjaya mengheret berpuluh-puluh pengganas Al-Qaeda ke dalam penjara.



Hal ini turut membantu menjadikan Amerika Syarikat dan seluruh dunia tempat yang lebih selamat. Amerika menjadi tanah airnya sejak beliau berhijrah dari Lebanon kerana dibelenggu oleh ancaman perang sejak usia remaja lagi.



Dalam kalangan FBI, pegawai atasan menanggap beliau sebagai 'khazanah negara'.



Dalam satu kes terkenalnya, Encik Soufan berjaya menumpaskan salah seorang ahli Al-Qaeda yang paling digeruni pada waktu itu - pengawal peribadi Osama bin Laden, Nasser Al-Bahri, atau lebih dikenali sebagai Abu Jandal - tanpa menggunakan kekerasan.



Dalam pertemuan pertama mereka di penjara Yaman, Encik Soufan sedar bahawa Abu Jandal tidak akan menyentuh biskut yang disediakan dengan air teh bagi mengelakkan pengambilan gula yang boleh memburukkan lagi penyakit kencing manisnya.



Pada perjumpaan mereka yang seterusnya, Encik Soufan membawa bersamanya biskut yang bebas gula sebagai tanda prihatin dan hormat pihak Amerika terhadap tahanan.



Akhirnya, Abu Jandal mula berlembut dan bercakap. Tidak lama kemudian, Encik Soufan berjaya mendapatkan identiti tujuh pengebom yang terlibat dalam peristiwa 11 September. Hal ini memberikannya bukti yang cukup untuk mengaitkan kumpulan Al-Qaeda dalam serangan tersebut.



Tindakan Presiden Pakistan iaitu Encik Pervez Musharraf yang tidak lagi mahu menyokong kempen 'perang terhadap pengganasan' secara mendadak juga dikaitkan dengan pendedahan tersebut.



Ianya bukan sekadar rasa ingin tahu yang biasa apabila saya berhubung semula dengan Encik Soufan selepas tempoh enam tahun untuk membincangkan trend terkini dalam pengganasan global dan bagaimana faktor geopolitik akan menyumbang kepada pembentukan dan kelestarian ekstremisme.



Ketika itu, Encik Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat, pengaruh ISIS semakin meluas di Barat Asia, Filipina mengalami insiden berdarah di Marawi manakala di New Zealand pula terdapat serangan pengganas yang sangat dasyat pada bulan lepas. Serangan tersebut melibatkan lelaki kulit putih dari Australia yang mempunyai nama neo-Nazi, diukir di senjatanya.



KEBANGKITAN NASIONALIS KULIT PUTIH



Sama ada ia adalah pembunuhan beramai-ramai di Christchurch mahupun serangan ke atas rumah ibadat di Pittsburgh di Amerika Syarikat, rangkaian ketuanan kulit putih, Islamofobia dan diskriminasi kaum jelas sedang berkembang.



Situasi ini sama seperti kejadian pertumbuhan kumpulan militan Islam pada 1990-an dan ianya berlaku secara terang-terangan untuk semua melihatnya, kata Encik Soufan.



"Apabila seorang pengganas Islam melakukan serangan, golongan ketuanan putih akan mendapat manfaat daripadanya, dan begitulah sebaliknya. Kedua-dua rangkaian berbahaya ini melengkapi antara satu sama lain."



Tambahnya, penembak New Zealand memohon kebenaran daripada seorang lelaki yang ditahan di sebuah penjara di Norway untuk menyerang - Anders Behring Breivik, nasionalis ketuanan putih yang melakukan pembunuhan besar-besaran melibatkan 77 orang mangsa.



Sama seperti penyokong yang berpendirian teguh terhadap agama Islam atau Islamis yang bersifat monolitik, kumpulan ketuanan putih juga mempunyai jenis pelampau mereka yang tersendiri.



Ada kumpulan yang bersifat fobia kepada Islam, ada juga yang mempunyai perasaan diskriminasi terhadap kaum, ada juga yang mendapat motivasi kerana faktor ekonomi dan ada juga golongan yang mahukan masyarakat lebih suci dan bersih daripada golongan pendatang.



Kedua-dua set pengganas ini berusaha mengambil kesempatan terhadap perpecahan sosial dan huru-hara dalaman bagi menjadikan diri mereka lebih relevan dalam arus perdana.



Menurut Encik Soufan lagi, kecanggihan teknologi membantu golongan radikal ini berhubung, mengatur dan merancang serangan mereka.



"Dalam tempoh 10 tahun di Amerika Syarikat sahaja, lebih daripada 73 peratus kematian yang berkaitan dengan pengganasan adalah hasil kumpulan seperti ketuanan kulit putih dan pelampau sayap kanan. Pada tahun lepas, Britain menyaksikan peningkatan sebanyak 88 peratus dalam operasi pengganasan terhadap golongan ketuanan putih. (Perkhidmatan Keselamatan Britain) MI5 hanya ditugaskan mengumpul data golongan ketuanan putih, sama seperti pelaku jihad.



"Jerman mencatatkan sebanyak 60 peratus peningkatan dalam aktiviti mereka pada tahun lepas,'' katanya.



Faktor geopolitik turut merumitkan keadaan, terutamanya di kawasan Asia.



Persaingan serantau Arab Saudi di Asia Barat telah menyebabkannya membiayai golongan pelampau Wahabi.



Bagi mewujudkan ketegangan radikal Islam dan mengelakkan pengaruh Iran, kata Encik Soufan.



Oleh hal yang demikian, ianya kini melantun kembali di Asia.



Contohnya, bilangan madrasah di Indonesia yang ditaja oleh golongan radikal Wahabi telah bertambah hampir dua kali ganda daripada jumlah sebelumnya iaitu kepada 63.



Dengan perhatian global yang kini bertumpu ke arah ISIS, hanya sedikit perhatian yang diberikan kepada kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) yang mungkin dibina semula dalam keadaan kita tidak berjaga-jaga.



"Isu ini tidak semestinya berkaitan agama itu sendiri.Ideologi yang datang kebanyakannya adalah kerana sebab geopolitik yang melebihi segalanya," kata Encik Soufannya.



CHINA DAN KEGANASAN



Firma pakar runding risiko dan pengganasan milik Encik Soufan iaitu Soufan Group, dikatakan memberi tumpuan kepada persoalan Asia Pasifik, China dan Uighur.



Dari sudut pandangan pengganasan, tumpuan kini tertumpu kepada Filipina, madrasah di Indonesia dan keadaan politik dalaman di Malaysia.



Menurut Encik Soufan, apa yang berlaku selepas itu adalah merupakan satu kebimbangan utama, khususnya dengan kewujudan berdozen militan asing yang mencari tapak baru setelah dikeluarkan dari Syria dan Iraq.



"Ramai militan yang mati menentang tentera Filipina di Marawi bukan dari rantau ini.Seperti yang kita lihat di Afghanistan, rantau ini mungkin menjadi salah satu tempat di mana ISIS atau Al-Qaeda atau sesiapa lagi yang mahu meneruskan jihad untuk menjalankan misi mereka. Kami dapat melihat satu garisan perpecahan berbahaya yang mungkin menjadi trend kelak. Misi Al-Qaeda kini bukan sahaja tertumpu dalam negara tetapi seluruh dunia juga," kata Encik Soufan.



China juga berada dalam sasaran mereka pada hari ini, terutamanya kerana tindakan yang memuncak oleh puak minoriti Uighur di Xinjiang.



Encik Soufan meluahkan kebimbangan bahawa ini adalah satu petanda kebangkitan keganasan ke tanah besar.



Video yang dikeluarkan oleh Al-Qaeda dan ISIS telah menampakkan permulaan serangan ke atas China, tambah beliau.



Selain itu, Ketua Al-Qaeda pada masa ini iaitu Ayman al-Zawahiri turut menyebut China dalam rakaman mesej terakhir yang dirakam oleh mereka.



Namun, Encik Soufan berkata bahawa China tidak boleh mengambil jalan yang berisiko ini kerana kedudukannya yang tersendiri dengan kumpulan pengganas yang tertentu bagi menyokong hubungan geopolitiknya. Hal ini boleh dilihat dengan keengganan pihak China menyokong cadangan yang diusul oleh tiga ahli dari Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengisytiharkan ketua pergerakan Jaish-e-Mohammed (JeM) dari Pakistan iaitu Masood Azhar sebagai pengganas global di bawah rejim sekatan PBB.



Pada 13 Mac, China untuk kali keempatnya, meletakkan 'penangguhan teknikal' ke atas pelan tindakan mereka yang membelakangi setiap Ahli Majlis Keselamatan yang lain.



JeM yang baru dipertanggungjawabkan terhadap letupan bunuh diri di Kashmir melibatkan pembunuhan seramai 40 orang kakitangan separa tentera, dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan pertubuhan keselamatan China yang bersekutu dengan Pakistan.



Mereka juga sering menggunakan pelaku dalam kalangan bukan warganegara tersebut untuk melanjutkan perbalahan mereka dengan Kashmir.



Sejak kebelakangan ini, kita telah melihat bagaimana beberapa pertubuhan pengganas yang telah dipergunakan oleh beberapa negara untuk menyelesaikan masalah berkaitan geopolitik, kata Encik Soufan yang juga merupakan seorang Muslim Suni.



"Keadaan geopolitik antara India dengan Pakistan, secara jelasnya membuktikan bahawa China perlu untuk menyokong sekutunya iaitu Pakistan berkenaan isu ini," kata Encik Soufan.



KEMENANGAN STRATEGIK



Memandangkan media sosial dan Internet merupakan saluran utama untuk propaganda dan medium penyampaian mesej bagi pengganas, saya berasa ingin tahu akan pendapat beliau tentang rang undang-undang yang diperkenalkan oleh Singapura dalam minggu ini untuk membendung berita palsu dalam talian.



Menurut beliau, apa yang cuba dilakukan oleh Singapura sudah dilakukan di tempat lain termasuk di Autsralia dan Eropah.



"Pada zaman permulaan bidang kewartawanan, ianya telah diatur dan dikawal oleh setiap negara di seluruh dunia.Kemajuan dalam teknologi bergerak jauh lebih cepat daripada kemampuan undang-undang yang tidak bergerak seiring. Seperti yang telah dilakukan dengan media cetak, radio dan televisyen, undang-undang perlu bergerak selari dengan media sosial juga. Jika tidak, kewartawanan yang sebenar tidak akan wujud lagi," katanya.



Hampir dua dekad selepas serangan 11 September, bagaimana keadaan dunia dalam menangani pengganasan?



Encik Soufan berkata terdapat banyak kemenangan taktikal tetapi hanya sedikit kemenangan strategik. Sebanyak AS$5 trilion ($6.8 trilion) telah dibelanjakan untuk apa yang disebut sebagai peperangan terhadap pengganasan. Banyak juga negara Timur Tengah yang jauh lebih teruk daripada keadaan mereka yang sebelum ini.



Al-Qaeda pernah mempunyai 400 orang ahli sahaja dan kini terdapat kira-kira 45,000 militan daripada 110 negara yang bertempur untuk ISIS.



"Kita tidak belajar banyak mengenai cara menangani penceritaan, ideologi dan faktornya. Kita masih ketinggalan," kata Encik Soufan.



  • Ravi Velloor ialah Editor Bersekutu akhbar The Straits Times. Rencana ini pertama kali disiarkan di akhbar itu pada 5 April lalu.


''Isu ini tidak semestinya berkaitan agama itu sendiri. Ideologi yang datang kebanyakannya adalah kerana sebab geopolitik yang melebihi segalanya.''
- Encik Ali Soufan, mantan ejen khas FBI mengenai evolusi pengganasan



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >