Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Membangun Pekerja 4.0

Jul 03, 2021 | 05:30 AM



LATIHAN dan peningkatan kemahiran jalan seiring.



Latihan bagi kemahiran baru atau bahkan mempertingkat kemahiran sedia ada sama pentingnya dalam dunia pekerjaan yang berubah oleh gangguan dan peluang.



Setiap pekerja mesti mempunyai semangat kuat untuk mengikuti latihan dan mempertingkat kemahiran dengan kemahiran yang diperlukan untuk meningkatkan produktiviti kerja mereka sekarang dan pada masa sama, mengenal pasti dan mempelajari kemahiran tambahan untuk merebut peluang pekerjaan baru.



Majikan juga memainkan peranan penting meningkatkan kemahiran pekerja mereka untuk memenuhi keperluan perniagaan baru yang sedang berkembang.



Majikan mesti bersedia melabur dalam pekerja mereka yang ada dan menghantar mereka menjalani latihan untuk mempelajari kemahiran baru yang dapat memberi manfaat kepada syarikat.



Majikan tidak boleh ragu-ragu melakukan pelaburan itu buat pekerja mereka dan usah melakukan pemberhentian pekerja sedang mereka kekurangan kemahiran yang diperlukan bagi operasi perniagaan baru mereka.



Sedang kita bincang mengenai peranan syarikat dan pekerja, sama pentingnya adalah kemampuan masing-masing atau kedua-dua pihak untuk mempunyai kerangka kerja yang diperlukan bagi menjalani latihan dan peningkatan kemahiran.



Ini kemudian akan mempersiapkan semua orang bagi perjalanan transformasi yang telah dimulakan sebelum Covid-19 melanda negara.



Pandemik ini telah mempercepat perubahan transformasi ke atas pekerja dan perniagaan.



Pergerakan Buruh telah menetapkan matlamat untuk melatih dan mempertingkat taraf pekerja kita, dengan slogan Pekerja 4.0, bahkan sebelum wabak ini.



Slogan ini praktikal dan bertanggungjawab dan memerlukan tindakan semua pihak berkepentingan.



Pekerja 4.0 menetapkan jenis latihan yang diperlukan bagi Penyesuaian, Teknikal dan Teknologi sebagai tiga pemacu utama.



Selain mengenal pasti jenis latihan, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) juga menyatakan dengan jelas bahawa apabila pekerja menjalani latihan peningkatan diri, mereka boleh menjangka tiga hasil - gaji lebih baik, kebajikan lebih baik dan prospek kerja lebih baik.



KEUPAYAAN PENYESUAIAN



Keupayaan mengenal pasti kursus yang membantu penyesuaian bagi pekerja dan perniagaan adalah penting dalam perjalanan transformasi ini.



Pekerja mesti mempunyai kemampuan untuk cepat-cepat menyesuaikan diri dengan cara baru melakukan pekerjaan yang akan meningkatkan nilai mereka sebagai pekerja selain merebut peluang baru yang diterokai majikan dengan model perniagaan baru.



Mempunyai kemampuan menyesuaikan diri dan mengatasinya akan membawa pekerja ke tahap selanjutnya untuk mengenal pasti kemahiran teknikal atau teknologi yang relevan yang diperlukan atau yang banyak permintaannya.



KEMAHIRAN TEKNOLOGI



Kemahiran teknologi kini menjadi pendorong utama bagi setiap pekerja dalam pekerjaan yang mereka lakukan.



Sebelum berlakunya wabak ini, kilang penghasilan telah beralih ke proses automasi dalam proses kerja mereka yang sebelumnya memerlukan banyak tenaga kerja. Pekerja dilatih mengendalikan mesin yang sepenuhnya automatik.



Pandemik ini menunjukkan bahawa teknologi akan menjadi kunci utama dalam banyak pekerjaan yang akan diwujudkan.



Pekerja mesti terus mempertingkat diri kerana ini dapat meningkatkan peluang pekerjaan mereka yang tersedia dengan nilai pekerjaan lebih tinggi dan lebih baik.



KEMAHIRAN TEKNIKAL



Sebagai tambahan kepada dua kemahiran di atas, kepakaran teknikal adalah bidang lain yang mesti terus dipelajari setiap pekerja untuk mempertingkat kemahiran yang ada.



Tidak kira sama pekerja harus melakukan kerja itu sendiri atau menyelia pekerja dan kontraktor mereka, pengetahuan dan kemampuan teknikal menentukan standard kerja yang diinginkan.



Sedang menjalani latihan dan peningkatan kemahiran sangat penting bagi pekerja, kita harus memastikan pekerja yang terlatih akan memperoleh manfaat daripada latihan itu secara progresif dengan mendapat gaji, kebajikan dan prospek kerjaya lebih baik.



Akan ada sebilangan mereka yang akan dapat mencapai tiga hasil itu secara bersama, dan ada juga mereka yang mencapainya secara bertahap-tahap.



Apapun, kedua-dua pekerja dan majikan mesti bercita-cita mencapai minimum tiga hasil itu setelah menyelesaikan perjalanan mempertingkat kemahiran mereka.



PEMBIAYAAN LATIHAN



Pekerja Singapura beruntung kerana terdapat pelbagai jenis elaun dan insentif latihan yang disediakan buat mereka dalam perjalanan mempertingkat kemahiran diri. Sokongan pembiayaan seperti ini disediakan kepada pekerja dan syarikat.



Pekerja boleh mengharapkan elaun latihan lumayan yang disediakan melalui skim yang ada, daripada Kredit SkillsFuture dan Program Bantuan Latihan Kesatuan (UTAP) bagi anggota kesatuan.



Gabungan biaya ini dapat mencapai jumlah besar daripada $1,250 hingga setinggi $2,000.



Jumlah itu boleh dimanfaatkan buat kumpulan umur dan keahlian kesatuan yang berlainan.



Bahkan, terdapat kesatuan yang memberi geran latihan tambahan sebanyak $500 kepada anggota mereka setiap tahun untuk menggalak peningkatan kemahiran berterusan.



Kredit dan geran sedemikian diberi setelah selesai menghadiri kursus masing-masing yang sudahpun banyak diberi subsidi hampir 90 peratus daripada yuran kursus asal.



Buat semua rakan pekerja dan mereka yang bersiap memasuki dunia pekerjaan, jangan sekali-kali menjauhkan diri daripada mempertingkatkan diri dalam memperdalam kemahiran yang ada dan mencari kemahiran baru yang boleh berguna buat anda dalam kerjaya anda.



Setiap pekerja mesti yakin bahawa walaupun pekerjaan mungkin boleh menjadi lapuk, mereka tidak boleh membiarkan kemahiran mereka menjadi lapuk.



Setiap pekerja mesti selalu bercita-cita merebut dan mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji lebih tinggi, prospek kerjaya menarik dan sekitaran kerja yang kondusif.




 • Penulis Anggota Parlimen Dilantik (NMP) dan Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >