PANDANGAN

Mencari garisan saksama majikan, pekerja

BARU-BARU ini, CNA melaporkan kisah seorang pekerja, Cik Quek, yang diberi surat peguam oleh majikannya yang menuntut gaji dua bulan sebagai ganti rugi kerana dia berkhidmat kurang dari setahun - seperti yang dinyatakan dalam kontrak pekerjaan yang telah ditandatanganinya.

Mujur, beliau meminta bantuan dari Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM) dan selepas beberapa pusingan pengantaraan, isu itu dapat diselesaikan.

Majikan pada mulanya tidak mahu mengalah, mungkin kerana berpendapat bahawa mereka betul kerana kontrak kerja yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

Cik Quek "sangat takut" dan "menangis" apabila majikannya menakutkannya dengan surat peguam.

Tahniah kepada TADM yang menangani kes ini dengan baik, tetapi majikan seperti ini patut berasa malu dengan tingkah laku yang tidak beretika.

Malangnya, ada 'Cik Quek' yang lain di luar sana yang menghadapi kesulitan sama kerana klausa yang salah dan tidak etis.

KLAUSA TIDAK BERETIKA

Dengan persekitaran perniagaan yang mencabar, terdapat majikan yang menggunakan amalan atau taktik tidak betul untuk menangani masalah yang mereka hadapi.

Sesetengah majikan akan memasukkan ke dalam kontrak pekerjaan klausa tertentu yang tidak adil kepada pekerja untuk menangani keadaan kakitangan yang berkurangan, menampung kerugian atau melindungi perniagaan mereka.

1. Kerugian syarikat yang ditanggung oleh pekerja

Dalam industri perkhidmatan penyumberan luar seperti pembersihan dan keselamatan, adalah satu kebiasaan untuk pembeli perkhidmatan menyenaraikan kerugian yang perlu dibayar ke dalam kontrak.

Memandangkan garis keuntungan yang sempit, ada penyedia perkhidmatan yang menghukum pekerja.

Contoh kes benar: Seorang pekerja menandatangani kontrak pekerjaan untuk menjadi pegawai keselamatan, dan mendapat gaji bulanan asas $1,100 tetapi kontrak itu datang dengan senarai ganti rugi yang harus dibayar oleh pekerja jika ada kekurangan dalam khidmat yang disediakan.

Bagaimanapun, menurut laman Kementerian Tenaga Manusia (MOM), potongan gaji untuk ganti rugi tidak patut dibuat walaupun persetujuan telah diperolehi dari pekerja, kerana ia tidak memberi manfaat kepada pekerja.

Sekiranya dilaporkan kepada TADM, majikan perlu membayar balik potongan daripada "senarai kerosakan ganti rugi" kepada pekerja.

Namun, hakikatnya sesetengah majikan dapat berbuat demikian kerana ada pekerja yang berpendapatan rendah tidak tahu hak mereka ataupun takut melaporkan majikan kerana bimbang kehilangan kerja.

Mereka juga mungkin berfikir bahawa mereka telah bersetuju dengan potongan ini, dan oleh itu membenarkan majikan mereka melakukannya.

2. Penalti dan syarat tamat kontrak

Klausa yang tidak adil dalam kontrak pekerjaan terdapat dalam pelbagai bentuk.

Contoh kes benar: Dalam kes jurulatih yang mendapat gaji bulanan asas $2,000, satu klausa dalam kontrak pekerjaannya menyatakan bahawa jika kontrak itu ditamatkan dalam tempoh setahun, tanpa mengira sama ada oleh pekerja atau majikan, pekerja itu harus membayar syarikat itu penalti $50 untuk setiap hari kalendar dari tarikh notis penamatan sehingga jangka satu tahun.

Jumlah ini boleh mencapai beberapa ribu dolar jika pelatih tersebut mahu berhenti bekerja untuk syarikat itu dan mengambil tawaran pekerjaan yang lebih baik.

Apa yang lebih tidak masuk akal adalah penalti perlu dibayar walaupun majikan yang menamatkan kontrak.

Adakah klausa sebegini dalam kontrak pekerjaan sah? Di bawah Undang-undang Kontrak, bolehkah ia dikuatkuasa di mahkamah?

Adakah pekerja dapat mencabar klausa pekerjaan yang tidak adil jika kes itu dibawa ke mahkamah?

Apakah kedudukan mahkamah kita terhadap klausa tidak adil sekiranya majikan enggan menyelesaikannya semasa pengantaraan di TADM dan bertegas membawa kes ini ke mahkamah?

Pekerja Mesti Melaksanakan Notis dan beri ganti rugi kepada syarikat

Dalam satu lagi kes, seorang pekerja matang yang bekerja sebagai pemandu dan penjaga setor bergaji bulanan asas $1,650, kontrak kerja yang ditandatanganinya menyatakan bahawa jika beliau menamatkan kontrak dalam masa dua tahun, beliau harus membayar ganti rugi gaji satu bulan sebagai tambahan kepada tempoh notis.

Walaupun kerja itu meletihkan, beliau terpaksa bertahan kerana tidak berupaya membayar syarikat itu, dan takut tindakan undang-undang akan diambil sekiranya beliau meletakkan jawatan.

Rakan kongsi tiga pihak mungkin perlu prihatin dan meletakkan beberapa garis pandu mengenai kegunaan dan penguatkuasaan klausa tidak adil dalam kontrak pekerjaan.

Ini akan menggalakkan syarikat daripada memasukkan klausa sedemikian untuk menakut-nakutkan pekerja.

KLAUSA TIDAK BERSAING

Kes sebenar: PMET Tidak Dikecualikan

Anda akan terkejut bila diberitahu bukan hanya pekerja berpendapatan rendah yang menjadi mangsa kontrak pekerjaan yang tidak adil.

Seorang PMET, yang lebih berpendidikan, akan lebih berhati-hati ketika menandatangani kontrak pekerjaan.

Tetapi ada daripada golongan ini yang tidak membuat demikian.

Seorang graduan baru PMET teruja kerana ditawarkan pekerjaan baru dengan gaji yang baik, sepadan dengan kelayakan akademik dan profesionalnya.

Kontrak pekerjaan yang beliau tandatangani mengandungi klausa di mana beliau dikehendaki membayar kerugian $100,000 kepada syarikat itu, sekiranya beliau meletakkan jawatan dan bekerja untuk syarikat lain dalam industri yang sama.

Selepas bekerja untuk syarikat itu selama beberapa bulan, ketika beliau mahu meletak jawatan, syarikat tersebut mahu menguatkuasakan klausa itu.

Jika kes tersebut ke mahkamah, kemungkinan besar mahkamah akan berpendapat klausa tersebut tidak dapat dikuatkuasa kerana jumlah ganti rugi terlalu tinggi dan dianggap klausa penalti.

Tambahan, untuk ke mahkamah dalam kes sedemikian adalah satu proses yang sukar bagi pekerja.

TINGKAT PENDIDIKAN MAJIKAN DAN PEKERJA

Lebih banyak boleh dilakukan untuk mendidik pekerja mengenai kontrak pekerjaan.

Walaupun rakan kongsi tiga pihak telah menerbitkan Garis Pandu bagi Pengeluaran Terma Utama Pekerjaan (KETs) secara Bertulis dan Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil (Tafep) menyokong usaha dengan menyediakan nasihat melalui laman web mereka tentang bagaimana untuk mengkaji hak kontrak anda, kes kontrak pekerjaan yang tidak adil masih wujud.

Bagi ahli Kesatuan NTUC, bantuan boleh didapati melalui TADM@NTUC, NTUC U Care Centre atau kesatuan masing-masing.

Justeru, perlu ada usaha yang lebih untuk membantu pekerja memahami kontrak pekerjaan, dan usaha ini boleh bermula di institusi pengajian tinggi sebelum mereka memasuki alam perkerjaan

Mungkin, MOM juga ingin menimbangkan 'tempoh bertenang' atau cooling off-period (mungkin sehingga lima hari) yang membolehkan pekerja membatalkan kontrak kerja yang ditandatangani, tanpa penalti.

Syarikat yang menggunakan taktik seperti membawa kes ke mahkamah mungkin mempunyai hak untuk menguatkuasakannya, tetapi secara moral, mereka salah untuk menindas pekerja yang lemah.

Mungkin, untuk mengelak taktik sebegini, MOM atau TADM boleh mempertimbangkan memulakan senarai pantau atau watch-list jika syarikat didapati atau dilaporkan mempunyai klausa yang tidak adil dalam kontrak pekerjaan mereka.

Penalti pentadbiran perlu dikenakan ke atas syarikat-syarikat di dalam senarai ini.

Pertikaian pekerjaan dapat dikurangkan apabila kededua pekerja dan majikan mengambil tanggungjawab masing-masing.

Walaupun anda teruja kerana mendapat pekerjaan, anda harus meneliti kontrak pekerjaan dan faham istilah kerja utama (key employment terms) sebelum menandatanganinya.

Sekiranya anda menghadapi masalah, ingatlah anda sentiasa boleh mencari NTUC, kesatuan sekutunya, ataupun TADM untuk mendapatkan bantuan.

Majikan juga harus memainkan peranan secara bertanggungjawab dengan memastikan kontrak pekerjaan mereka mengambil rujukan dari amalan terbaik.

Apabila majikan dan pekerja memainkan peranan mereka, dan memegang prinsip bertolak ansur, ia menjadikan tempat kerja lebih baik untuk semua.

  • Penulis ialah Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol yang juga Penolong Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).