PANDANGAN

Menggarap cabaran ketribahasaan

BAHAGIAN PERTAMA

MATLAMAT pendidikan masyarakat Melayu sepatutnya ialah mencapai tahap ketribahasaan - menjadi seorang tribahasawan - seorang yang menguasai tiga bahasa sekali gus iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

Sememangnya, ini merupakan satu keupayaan yang amat sukar dicapai kerana ketiga-tiga bahasa itu datang daripada rumpun bahasa yang berbeza: Bahasa Melayu daripada rumpun bahasa Austronesia, bahasa Inggeris daripada rumpun Indo-Eropah dan bahasa Arab daripada rumpun bahasa Semitik.

Namun, ini boleh dicapai jika kita mempunyai wawasan yang mantap dan saya yakin keupayaan ketribahasaan boleh dicapai dengan perancangan pendidikan yang menyeluruh dan teliti daripada pihak-pihak yang berkepentingan daripada kalangan pemerintah, masyarakat dan ibu bapa.

Kertas kerja ini membincangkan mengapa ketiga-tiga bahasa, Melayu / Indonesia, Inggeris dan Arab perlu dimasukkan dalam dasar pendidikan anak-anak daripada peringkat tadika hingga ke universiti terutama di negara majoriti kaum Melayu Islam seperti di Indonesia, Malaysia dan Brunei.

Kedua, akan disentuh prinsip, pendekatan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh diterokai untuk melahirkan rakyat yang tribahasawan tersebut.

Pengajaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ibunda di Sekolah

Kemampuan berbahasa dalam berbagai bentuk dan kemahiran lumrahnya dikembangkan dalam sistem pendidikan sesebuah negara.

Dalam hal bahasa Melayu, pendidikan formalnya telah berlangsung sejak lebih daripada 150 tahun dahulu, iaitu sejak Sekolah Melayu terawal, 1826 di Gelugor Pulau Pinang, 1856 di Sekolah Melayu Kampong Gelam Singapura, tahun 1914, di Brunei.

Anak-anak Melayu bukan sahaja mengaji Al-Quran, malah menjalani pendidikan sekular menerusi sekolah Melayu.

Dalam jangka masa yang begitu lama itu bahasa Melayu telah menjadi alat bagi orang-orang Melayu mengenal dan menimba ilmu duniawi dan ukhrawi, sehingga selepas Perang Dunia Kedua, lebih dari 80 peratus kanak-kanak Melayu lelaki dan perempuan telah mendapat pelajaran walaupun pada masa tersebut mereka bersekolah dalam tahap yang agak rendah - iaitu tahap sekolah rendah sahaja.

Literasi masyarakat Melayu telah meningkat tahap demi tahap sehingga mencapai lebih dari 92 peratus pada tahun 2014.

Angka ini adalah tinggi jika dikira bahawa kadar literasi bagi seluruh dunia bagi orang-orang yang berumur 15 tahun ke atas hanyalah 84.1 peratus.

Kadar literasi sedunia bagi lelaki ialah 88.6 peratus sementara kadar bagi perempuan adalah rendah sedikit iaitu 79.7 peratus.

Ini menunjukkan bahawa bahasa ibunda telah berakar umbi dalam masyarakat yang berbilang bangsa.

Maka pendidikan dalam atau melalui bahasa Melayu yang diterajui oleh sekolah Melayu atau sekolah kebangsaan begitu fenomenal peranannya dalam membentuk para cerdik pandai, elit dan rakyat Melayu yang tekal dan tegal menuntut dan mengisi era kemerdekaan.

Kini pengajian dalam bahasa Melayu atau bahasa Indonesia (juga berasal daripada bahasa Melayu) ditawarkan di semua universiti di Malaysia, Brunei dan Indonesia dan terus menerbit dan menjana pemikiran-pemikiran tinggi dalam dunia Melayu.

Kecekapan berbahasa Melayu telah meluas di kalangan masyarakat yang berbilang bangsa hingga kini ia telah begitu mantap.

Bahasa Inggeris dalam Sistem Pendidikan

Dari semenjak pertengahan kurun ke-20, sekolah berbahasa pengantar bahasa Melayu telah memperkenalkan bahasa Inggeris yang telah di bawa oleh penjajah ke negeri- negeri Melayu.

Bahasa Inggeris telah dimasukkan dalam kurikulum sekolah rendah di Tanah Melayu, Singapura dan Brunei dan diajar sebagai salah satu bahasa asing yang penting di sekolah-sekolah sekular, termasuk di sekolah Melayu.

Kini di sekolah-sekolah kebangsaan di Malaysia, di sekolah-sekolah rendah dan menengahnya bahasa Inggeris diajar sebagai Bahasa Kedua iaitu bahasa yang kedua dikuasai oleh murid-murid setelah bahasa ibunda masing-masing.

Di Brunei Darussalam dan Singapura pula bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar yang utama apabila sistem bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ditamatkan.

Penguasaan bahasa Inggeris murid-murid Melayu semakin hari semakin meningkat dan dengan itu sangat ramai daripada kalangan orang Melayu berupaya menjadi dwibahasawan Melayu-Inggeris.

Hal ini terjadi susulan daripada kehidupan orang Melayu yang di bawah penjajahan Barat ingin mengejar kemajuan, tidak mahu ketinggalan disebabkan oleh persekitaran dunia yang semakin canggih.

Perindustrian, penciptaan alat baru, jentera canggih, perubahan kemudahan dalam pelayaran, teknologi maklumt dan berbagai perubahan lain menyebabkan keperluan untuk turut mendapat pelajaran duniawi seperti bangsa-bangsa lain dan negara-negara maju di Barat; dan ini dapat dilakukan dengan menguasai bahasa Inggeris itu.

Penjajah Eropah dan Amerika telah berjaya membentuk keperluan untuk mengejar kemajuan dalam berbagai segi dan membentuk hubungan antara bangsa dengan menggunakan bahasa mereka (penjajah).

Peninggalan yang ketara misalnya ialah bahasa Inggeris di India, Pakistan, Malaysia, Singapura, bahasa Perancis di Algeria, bahasa Belanda di Indonesia.

Jumlah penduduk bekas jajahan yang belajar bahasa penjajah itu sangat besar terutama di kalangan mereka yang bersekolah dalam sekolah aliran sekular.

Setelah zaman kemerdekaan perhubungan dengan dunia luar yang lebih kerap ini membawa kepada keperluan yang semakin meningkat untuk mencapai kemajuan dan ini lebih mudah dilakukan melalui perantaraan bahasa Inggeris.

Perkembangan kuasa besar dunia seterusnya mengakibatkan bahasa Inggeris semakin diperlukan untuk komunikasi antara bangsa dan perdagangan. Bahasa ini sekarang merupakan bahasa global yang paling banyak penuturnya di dunia.

Kemasukan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Pengantar dan sebagai Bahasa Kedua

Maka sedikit demi sedikit perubahan sistem pendidikan moden dan posmoden melibatkan bahasa Inggeris menjadi begitu penting, maka di Singapura dan Brunei bahasa tersebut menjadi bahasa pengantar untuk semua mata pelajaran (kecuali agama Islam di Brunei) di semua sekolah kerajaan.

Bahasa Melayu diajar sebagai salah satu mata pelajaran sahaja.

Corak pendidikan begini dinamakan Pendidikan Dwibahasa sepenuhnya.

Di Malaysia pula pengajaran-pembelajaran bahasa Inggeris wujud di sekolah sebagai Bahasa Kedua yang rasmi; Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia digunakan sebagai bahasa pengantar untuk semua mata pelajaran lain.

Isu bahasa pengantar adalah sesuatu yang diperjuangkan oleh berbagai pihak yang berkepentingan di sana.

Walau bagaimanapun bahasa Inggeris tetap masuk ke dalam sistem pendidikan sama ada sebagai Bahasa Kedua atau sebagai Bahasa Asing yang penting seperti di Indonesia dan hampir di semua negara maju di seluruh dunia.

Kewajaran belajar-mengajar menggunakan bahasa Inggeris, Bahasa Adikuasa 'super power' tidak dapat dinafikan.

Dalam hal ini dominasi bahasa Inggeris dalam sains, teknologi, perdagangan dan politik amat ketara: kini lebih daripada dua pertiga para saintis dunia menggunakan bahasa Inggeris, tiga perempat daripada seluruh surat-menyurat dunia ditulis dalam bahasa tersebut.

Melalui sistem pendidikan yang berwawasan, sejurus setelah kemerdekaan mereka mempelajari bahasa Inggeris sekali gus menjadikan kebanyakan mereka dwibahasawan fasih dalam bahasa Melayu-Inggeris.

Tetapi amat kecil bilangan mereka yang mengetahui tiga bahasa, apa lagi literat dalam tiga bahasa seperti orang Cina di Malaysia dan di Brunei sekarang.

Sebab utama mungkin ialah tidak ada keperluan kerana bahasa mereka, bahasa Melayu telah pun digunakan dalam semua ranah sosial.

Keadaan mereka seperti orang Inggeris di England dan Amerika yang tidak perlu belajar bahasa lain, dan sekali gus menjadikan kebanyakan mereka ekabahasawan saja.

(BERSAMBUNG MINGGU DEPAN)

  • Rencana ini dipetik daripada kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Antarabangsa Pendidikan Serantau ke-7. Ia telah disunting untuk terbitan akhbar ini.