Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:33
Maghrib
7:16
Isyak
8:28
Wacana

KORONAVIRUS

Menyesuaikan diri dengan 'norma baru' kehidupan kita

Mar 29, 2020 | 05:30 AM

DENGAN koronavirus atau Covid-19 terus mengancam dan menjejas kehidupan, banyak penyesuaian terpaksa dibuat.

Langkah membendung Covid-19 bukan sahaja berterusan, malah dipertingkat.

Penutupan masjid di Singapura diteruskan dan belum ada tarikh jelas bila ia akan dibuka semula, dan mungkin berterusan hingga Ramadan. Kerinduan melakukan solat Jumaat berpanjangan.

Majlis keramaian juga dihadkan. Tidak boleh melebihi 250 orang pada satu-satu masa.

Sejajar dengan itu, dalam minggu ini sahaja terdapat maklumat beberapa majlis perkahwinan terpaksa dibatalkan, atau ditunda beberapa bulan.

PENYESUAIAN DEMI KEMASLAHATAN BERSAMA

Beberapa majlis yang diadakan pada hujung minggu lalu telah pun menampakkan kelainan.

Tuan rumah lebih awal mengirim maklumat menerusi WhatsApp memohon pemahaman para tamu tentang beberapa langkah kesihatan yang terpaksa diambil, termasuk mengisi borang pengisytiharan kesihatan, mengukur suhu badan, ambil makanan ikut peraturan, jaga jarak selamat dengan duduk berjauhan, datang pada waktu berlainan dan tidak bertunggu-tangga di dewan jamuan.

Bersalam pun cara SalamMufti.

Para tamu nampak menerima realiti baru. Tidak terdengar suara mengadu.

Dalam satu perkongsian di Facebook, Presiden Halimah Yacob turut mengamati perubahan semasa menghadiri satu walimah hujung minggu lalu.

Menurutnya, kawan beliau, ibu pengantin lelaki, berkongsi tentang rasa ghairah mengadakan walimah di tengah-tengah wabak Covid-19 ini.

"Mereka bekerja keras untuk mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan, termasuk mengambil suhu badan. Saya juga perasan bahawa tidak ada yang berjabat tangan. Setiap orang melakukan SalamMufti, meletakkan tangan kanan di dada kiri," ujar beliau.

Ia memang masa yang mencabar dan memerlukan langkah-langkah luar biasa dan belum pernah dilakukan sebelum ini, sama ada dalam bidang kesihatan atau ekonomi, melibatkan semua warga.

"Virus tidak boleh berpindah sendiri. Ia perlukan manusia untuk berpindah.

"Oleh itu mari terus bertanggungjawab dan berwaspada. Amalkan kebersihan diri dan jarak sosial dengan serius. Jaga keselamatan dan lindungi diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita," tulis beliau.

Penyesuaian di peringkat antarabangsa, termasuk hubungan dua hala juga berlaku.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong sepatutnya membuat kunjungan ke Australia tetapi terhambat kerana Covid-19.

Namun, hubungan tetap terjaga dengan bantuan teknologi.

Beliau dan Perdana Menteri Australia Scott Morrison melakukan pertemuan menerusi persidangan video bagi Mesyuarat Pemimpin Singapura-Australia kelima.

Menulis dalam satu pos di Facebook, Encik Lee menyatakan: "Walaupun Covid-19 sudah tentu membuat perjalanan lebih sukar atau malah tidak mungkin sama sekali, teknologi dapat merapatkan jurang dan membolehkan kita berkomunikasi antara satu sama lain dan melaksanakan sesuatu."

Sebelum itu, beliau juga memberi interviu menerusi skype dengan wartawan Greg Sheridan daripada The Australian.

Dalam pos di Facebook, PM Lee berkata: "Sayang sekali, kami tidak dapat bertemu secara peribadi. Tetapi saya gembira dengan peluang mengingatkan rakan-rakan Australia kita bahawa kehidupan masih berjalan, dan kita akan menyesuaikan diri dengan norma baru.

"Kita semakin terbiasa dengan pemeriksaan suhu, borang pengesanan kenalan, peraturan jarak selamat, dan peringatan kerap supaya mencuci tangan.

"Selagi kita mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu dan ingat perlunya bertanggungjawab secara sosial, kita boleh mengharungi keadaan ini bersama."

Ia satu contoh penyesuaian dalam hubungan dua hala antara pemimpin negara.

Dan dengan Pilihan Raya perlu diadakan sebelum April tahun depan mengikut perlembagaan, meski Covid-19 masih mengancam, cara berkempen juga mungkin perlukan penyesuaian.

LANGKAH LEBIH KETAT

Beberapa hari lalu, beberapa langkah lanjut diumumkan.

Selain pengumuman Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bahawa masjid terus ditutup sehingga ke satu tarikh yang belum ditentukan, Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian bagi menangani penularan Covid- 19 mengumumkan beberapa langkah baru. Ini termasuk:

  • Menutup bar, panggung wayang dan semua tempat hiburan lain hingga 30 April;
  • Menggantung semua kelas di pusat tuisyen dan pusat pengayaan bagi mengurangkan pergaulan pelajar dari sekolah berlainan dan meningkatkan keselamatan pelajar;
  • Menggantung semua perkhidmatan keagamaan;
  • Pusat beli-belah, muzium dan restoran perlu mengurangkan kepadatan pengunjung jika mahu terus dibuka;\
  • Semua warga Singapura yang pulang dari Britain dan Amerika Syarikat kini perlu tinggal di hotel bagi memenuhi notis tidak keluar rumah selama 14 hari (SHN); dan
  • Mereka yang ke luar negara, sekiranya dimasukkan ke hospital awam bagi rawatan Covid-19, akan dikenakan kadar bayaran tanpa subsidi.

PENDEKATAN TIGA HALA

Di Parlimen Rabu lalu, dengan anggota Dewan duduk berjauhan, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong menjelaskan pendekatan tiga hala Singapura dalam menangani Covid-19 - mengurangkan pengimportan, tindakan awal mengesan dan mengasingkan kes, dan menekankan tanggungjawab sosial dan kebiasaan kebersihan peribadi yang baik.

Pendeknya, walau dibelenggu dengan ancaman yang menjejas seluruh dunia ini, kita masih boleh meneruskan kehidupan dengan membuat penyesuaian dan membiasakan beberapa amalan baru.

Sebahagiannya mungkin hilang bersama hilangnya Covid-19 kelak, tetapi ada yang baik diteruskan. Antaranya ialah mengamalkan kebersihan diri sepanjang masa.

Lambat atau cepatnya kita mengatasi cabaran ini bergantung pada sejauh kesungguhan kita mematuhi arahan.

Bukti telah nyata. Selepas dua bulan diletak di bawah kawalan dan sekatan ketat, para penduduk di Hubei kini dibenarkan keluar dari wilayah itu minggu ini jika mereka kelihatan sihat. Wuhan, ibu kota wilayah tempat wabak coronavirus muncul, juga akan menarik balik sekatan itu pada 8 April.

Sementara menanti cabaran ini berlalu, kita perlu bertanggungjawab, prihatin terhadap kesihatan bersama, ikut arahan demi keselamatan dan kesejahteraan diri, keluarga dan negara, dan hargai mereka yang bertugas di barisan depan.

Buat penyesuaian yang perlu dan sentiasa bersikap jujur. Jika sakit, dapatkan rawatan dan ikut nasihat doktor supaya tidak memudaratkan orang di sekeliling kita. Namun, jangan sampai ada yang cuba menangguk di air keruh.

Dalam keadaan kritikal sekarang, kurangkan aktiviti yang tidak perlu, dan kurangkan kontek sosial. Ia hanya satu pengorbanan kecil. Semua ini akan membantu memperlahankan penularan.

Dalam pada itu, kita harus terus tenang, tidak panik, membiasakan diri diam di rumah dan terus jaga keselamatan dan kesihatan.


  • Penulis editor naskhah BH/BM.
Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian