Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Mesra main peranan penting dalam majukan masyarakat, negara

Sedutan ucapan Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad semasa Majlis Pelantikan Penggal Ke-15 Mesra di Wisma Geylang Serai kelmarin
Jul 11, 2019 | 05:30 AM



PARA hadirin yang saya hormati, semasa berucap di Majlis Perjumpaan Hari Raya baru-baru ini, saya telah mengetengahkan tiga faktor yang membentuk masyarakat Melayu/Islam Singapura sebagai Masyarakat Gemilang.



Tiga faktor ini adalah Keperibadian, Kemahiran dan Kewarganegaraan atau dengan kata singkatannya Tiga K (3Cs).



PA Mesra, bersama Muis (Majlis Ugama Islam Singapura) dan Mendaki, serta badan-badan Melayu/Islam dan India/Islam, mempunyai peranan yang penting untuk menanam sifat-sifat Tiga K di dalam masyarakat kita.



Semangat kewarganegaraan yang kukuh di kalangan masyarakat Melayu/Islam mampu menempatkan kita di tahap yang sama dengan masyarakat Singapura yang lain.



Kita harus saling berkenalan dan menjalin hubungan yang mesra bersama rakyat Singapura daripada bangsa lain serta membina keyakinan dan mempertingkat kepercayaan antara satu sama lain.



Ia juga memerlukan keupayaan masyarakat kita untuk memainkan peranan yang penting di saling masyarakat Singapura yang lain dalam proses membina negara kita.



Sebenarnya, ini adalah peranan utama bagi PA Mesra - untuk membina kewarganegaraan dan memperkukuhkan masyarakat kita untuk mencapai visi Satu Rakyat, Satu Singapura.



Lantaran itu, saya amat gembira dengan PA Mesra kerana telah menjemput rakan-rakan daripada bangsa lain untuk turut hadir pada malam ini.



Ini adalah contoh bagaimana PA Mesra, dengan secara sedar dan proaktif dapat mendekati dan menghargai persahabatan kita dengan rakan-rakan daripada bangsa yang lain.



Malam ini, saya ingin berkongsi tiga cara bagaimana PA Mesra dapat memainkan peranan utama dalam memupuk semangat kewarganegaraan dalam masyarakat Melayu kita.



PERTINGKAT USAHA DEKATI MASYARAKAT MELAYU



Pertama, PA Mesra dan MAEC (Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu) harus terus membina rangkaiannya yang luas dengan meningkatkan jangkauannya kepada seluruh masyarakat Melayu.



Bukan sahaja sekadar menganjurkan acara-acara kemasyarakatan yang bertemakan bahasa dan kebudayaan, malah, kita harus menumpukan lebih banyak perhatian, masa dan sumber dalam melakarkan strategi untuk mendekati rakyat dengan cara yang lebih sistematik dan berkesan.



Sebagai pemimpin akar umbi, kita harus menjalin perhubungan dan lebih mengenali penduduk kita dengan mendalam.



Contohnya, kita harus tahu, keluarga mana yang mempunyai anak yang berada di peringkat prasekolah tetapi masih belum lagi mendaftar atau menghadiri kelas prasekolah.



Kita harus menjadi orang yang pertama di kalangan masyarakat anda untuk memberi arah tunjuk tentang cara-cara bagaimana seorang penduduk yang mempunyai seorang anak yang ingin memohon biasiswa untuk mempertingkatkan pembelajaran mereka.



Kita juga harus tahu keluarga mana yang mempunyai warga emas yang mungkin menghidap penyakit kronik dan memerlukan bantuan kewangan untuk menampung kos perubatannya.



Dengan penubuhan rangkaian yang kukuh bersama penduduk Melayu kita, kita bukan sahaja dapat menjadikan PA Mesra dan MAEC sebagai satu aset yang berharga kepada pergerakan akar umbi dan Singapura, malah, ia juga dapat memberikan makna kepada peranan anda sebagai seorang pemimpin akar umbi.



Ia memberikan anda peluang untuk melakukan perubahan yang positif kepada kehidupan orang lain.



Di Tampines, saya telah memulakan satu inisiatif yang dinamakan Program Duta Blok atau 'Block Ambassador'.



Dalam program ini, kita telah mengenal pasti penduduk-penduduk yang suka dan giat untuk berdampingan dengan jiran tetangga, dan melantik mereka sebagai Duta Blok.



Tugas mereka adalah untuk berkenalan dengan jiran tetangga dan membentuk sebuah rangkaian di blok mereka sendiri.



Apabila seseorang jiran mengalami sesuatu masalah, Duta Blok ini dapat merujuk mereka kepada pertubuhan-pertubuhan akar umbi ataupun agensi-agensi lain yang dapat membantu.



Duta Blok tidak semestinya menjadi seorang pemimpin akar umbi.



Mereka boleh menjadi anggota akar umbi atau 'grassroots member' yang dapat merujuk masalah-masalah atau perihal penduduk, dan pada masa yang sama, dapat juga berkongsi maklumat-maklumat yang penting kepada jiran tetangga.



Encik Dean Mohamed Abdul Majid, yang lebih dikenali oleh jiran tetangganya sebagai Uncle Dean, adalah satu contoh yang membanggakan.



Beliau adalah seorang pesara yang berumur 71 tahun dan telah berkhidmat sebagai Duta Blok selama tiga tahun.



Dengan menggunakan telefon bimbitnya, beliau telah memulakan sebuah kumpulan sembang atau chat group untuk berhubung bersama jiran tetangganya dengan lebih dekat.



Beliau berkongsi berita terkini berhubung isu perbandaran dan juga merujuk isu-isu keselamatan kepada Jawatankuasa Penduduk dan Kelab Masyarakat.



Beliau juga menyampaikan jawapan dariPADA agensi-agensi tentang isu-isu yang pernah diketengahkan oleh jirannya.



Inilah contoh usaha murni relawan kita yang telah menghubungkan penduduk kepada tahap perkhidmatan terakhir atau 'last-mile service delivery'.



Malah, tidak hairanlah jika beliau amat digemari oleh jiran tetangganya atas sikap prihatin dan dedikasinya, tidak kira bangsa atau agama.



Saya menyeru kepada MAEC untuk mengenal pasti dan mendekati lebih ramai penduduk seperti Uncle Dean dan bekerjasama dengan mereka untuk lebih menjangkaui masyarakat kita.



Selain Duta Blok, PA Mesra dan MAEC juga boleh mengukuhkan jalinan bersama guru-guru sekolah di kawasan kejiranan anda.



Guru-guru kita adalah orang yang amat disegani dan dihormati di kalangan masyarakat kita.



Mereka juga lebih mengenali pelajar di sekolah mereka sendiri. Dengan bekerjasama dengan guru, anggota-anggota MAEC dapat membantu pelajar serta keluarga yang memerlukan.



Cikgu Fadial Jamaludin adalah satu contoh yang boleh kita banggakan. Beliau telah bertugas sebagai seorang guru selama 25 tahun.



Di satu ketika, beliau pernah bertemu dengan seorang murid yang sering tidak hadir di sekolah.



Beliau kunjungi keluarga pelajar tersebut dan mendapati bahawa keluarga tersebut mempunyai tujuh orang anak yang kesemuanya masih bersekolah.



Keluarga tersebut juga menghadapi masalah kewangan.



Selain memastikan pelajar tersebut hadir di sekolah setiap hari, Cikgu Fadial juga merujuk keluarga tersebut ke pihak Kelab Masyarakat.



Kelab Masyarakat pula membantu keluarga tersebut dengan bantuan kewangan, barangan makanan harian dan sebagainya.



Kini, ibu pelajar tersebut bekerja sebagai seorang penyambut tamu di sekolah manakala ayahnya pula mendapat kerja sebagai seorang pemandu.



Keluarga tersebut hanya boleh dibantu secara keseluruhan dengan adanya hubungan erat di antara guru-guru dengan pemimpin-pemimpin akar umbi.



MENJANGKAUI USAHA INTEGRASI



PA Mesra telah melakar beberapa inisiatif untuk memupuk persefahaman antara kaum dan mengukuhkan perpaduan sosial.



Awal tahun ini semasa perayaan Tahun Baru Cina, PA Mesra telah menjalankan satu inisiatif untuk mendekati rakan-rakan Cina kita melalui pengagihan buah oren dan sampul duit di Chinatown.



Matlamat inisiatif ini adalah untuk memberikan ucapan raya dan memeriahkan lagi suasana tahun baru rakan-rakan Cina kita.



Pada masa yang sama, anggota-anggota PA Mesra juga telah mempelajari sedikit sebanyak budaya dan tradisi menyambut Tahun Baru Cina daripada seorang wakil Jawatankuasa Budaya Persatuan Suku Kaum Cina Persekutuan Singapura (SFCCA).



PA Mesra juga telah bekerjasama dengan (pertubuhan) Roses of Peace pada tahun lepas dalam satu acara Hari Keharmonian Kaum dengan mengagihkan bunga mawar jingga demi memperkukuhkan perpaduan sosial.



Orang awam juga telah dijemput untuk menyaksikan pementasan Gentarasa dan mempelajari lebih mendalam adat dan tradisi orang Melayu di Canopy @ J-Link.



Walaupun inisiatif-inisiatif ini amat bermakna dan baik, saya ingin menyeru kepada anggota-anggota PA Mesra yang ke-15 supaya melakarkan program-program untuk memperkukuhkan perpaduan sosial dengan lebih mendalam, bukan sekadar permukaan sahaja.



PA Mesra harus mendalami isu-isu dengan lebih terperinci. Kadangkala ia memerlukan daya perbincangan dialog yang jujur, dan kadangkala, ia amat sulit dan sensitif untuk diketengahkan.



Ini harus dilakukan dengan cara yang baik dan berhemah.



Pada masa yang sama, kita menjalankannya secara aman di mana kaum-kaum yang lain dapat menerima, menghargai dan membalas jasa-jasa dan usaha PA Mesra.



MEMBANGUN KEUPAYAAN PEMIMPIN AKAR UMBI



Akhir sekali, saya ingin menekankan peri pentingnya untuk kita melabur dalam keupayaan dan pembangunan pemimpin-pemimpin akar umbi kita.



PA Mesra dan MAEC harus terus mengasah kecekapan dan keupayaan mereka supaya mereka dapat menjalankan tanggungjawab dan usaha mereka dengan lebih berkesan.



Dengan adanya pemimpin-pemimpin akar umbi Melayu yang semakin cekap dan berpengetahuan, akan lebih majulah masyarakat Melayu kita.



Saya kagum dengan usaha PA Mesra untuk bekerjasama dengan Nacli untuk melakarkan latihan berstruktur bagi pemimpin-pemimpin akar umbi MAEC, khususnya mereka yang memegang jawatan di dalam jawatankuasa.



Saya menyeru pemimpin-pemimpin akar umbi MAEC untuk mengambil peluang ini untuk menghadiri kursus-kursus yang akan ditawarkan oleh Nacli bermula suku terakhir tahu ini.



RUMUSAN



PA Mesra telah banyak menyumbang kepada masyarakat Melayu khususnya dan Singapura pada amnya dalam menggalakkan persefahaman dan keharmonian antara kaum dan agama.



Sebagai salah satu agensi M3, PA Mesra adalah tunggak penting untuk menyatukan masyarakat dan mengukuhkan perpaduan sosial.



Untuk memastikan PA Mesra dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik, ia harus terus meneroka cara-cara inovatif dalam melakarkan program-program dan mempertingkatkan keupayaan anggota-anggota Mesra dan MAEC.



Saya yakin, di bawah kepimpinan Cik Suhani, PA Mesra boleh berkembang dan menjadi satu aset yang berharga kepada masyarakat Melayu dan Singapura.



Tahniah sekali lagi kepada PA Mesra yang ke-15 dan juga, kepada belia PA Mesra. Izinkan saya akhiri dengan serangkap pantun.



Masyarakat Melayu, unggul kejelasan

Adat dijunjung, jadi panduan

Mesra berjuang, dengan keikhlasan

Satukan Masyarakat, kukuhkan perpaduan.




"Akhir sekali, saya ingin menekankan peri pentingnya untuk kita melabur dalam keupayaan dan pembangunan pemimpin-pemimpin akar umbi kita.



PA Mesra dan MAEC harus terus mengasah kecekapan dan keupayaan mereka supaya mereka dapat menjalankan tanggungjawab dan usaha mereka dengan lebih berkesan.



Dengan adanya pemimpin-pemimpin akar umbi Melayu yang semakin cekap dan berpengetahuan, akan lebih majulah masyarakat Melayu kita.
- Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >