Moga Covid-19 diatasi, masjid dapat dibuka lagi, Berita Wacana - BeritaHarian.sg
Subuh
5:30
Syuruk
6:48
Zuhur
12:51
Asar
4:07
Maghrib
6:53
Isyak
8:02
Suatu Ketika di Singapura
Berita Harian SoSedap: Sokong kedai makan halal tempatan kita dan menangi baucar $100 Takashimaya!
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Wacana3

CATATAN WARTAWAN DI BARISAN DEPAN

Moga Covid-19 diatasi, masjid dapat dibuka lagi

Apr 11, 2020 | 05:30 AM

DIAM tak diam, hampir sebulan semua masjid setempat ditutup.

Langkah diambil demi mencegah menularnya koronavirus Covid-19.

Ramai memahami langkah itu, namun pada masa sama, terasa rindu suasana bersolat jemaah sama ada solat harian mahupun solat Jumaat di masjid.

Pada malam terakhir, sebelum masjid ditutup pada 13 Mac lalu, saya berkesempatan ke sebuah masjid berdekatan.

Ternyata yang hadir lebih ramai daripada biasa. Semasa itu, dikatakan masjid ditutup selama lima hari.

Namun keadaan penularan Covid-19 tidak bertambah baik, sekali gus mendorong penutupan masjid selama sembilan hari lagi.

Saya berkesempatan menyaksikan proses pembersihan dan nyah kuman yang dilakukan di Masjid Al-Mawaddah di Sengkang.

Proses itu dilakukan di kira-kira 10 masjid yang ada kaitan dengan jemaah yang dijangkiti virus itu.

Menyaksikan ketelitian proses itu dilakukan memberi keyakinan bahawa masjid di sini akan lebih 'selamat' apabila dibuka tidak lama kemudian.

Bukan sahaja lantai dibersihkan dengan cecair nyah kuman, bahkan kitab-kitab, jam masjid, palang, almari, tempat tandas dan lainnya semuanya dibersihkan dengan cecair itu.

Proses ini disaksikan beberapa pegawai masjid dan pihak berkuasa demi memastikan proses pembersihan dilakukan secara betul dan lengkap.

Selepas melihat pembersihan itu dilakukan, terasa teruja menantikan pembukaan semula masjid yang dijadual pada 27 Mac.

Namun manusia merancang, Tuhan menentukan.

Wabak penularan Covid-19 di sini dan juga di merata dunia semakin meningkat.

Di peringkat antarabangsa, kes jangkitan yang disahkan mencapai kira-kira 1.7 juta, dengan jumlah kematian kira-kira 100,000 orang!

Di Singapura juga keadaan belum bertambah baik.

Kes jangkitan setempat masih tinggi sehingga pemerintah terpaksa melaksanakan perintah sekatan perjalanan dan jarak selamat yang lebih ketat mulai Selasa lalu.

Premis sekolah dan tempat kerja ditutup, melainkan perniagaan dalam perkhidmatan penting.

Tidak terkecuali, masjid dan tempat ibadah lain juga ditutup ekoran langkah 'pemutus litar' mengawal penularan Covid-19 itu.

Tidak disangka, kehadiran saya di Masjid Al-Mawaddah merupakan kunjungan terakhir ke masjid sebelum penutupan masjid dilanjutkan sekurang-kurangnya sehingga 4 Mei - sejajar dengan langkah 'pemutus litar' di peringkat nasional.

Walaupun rasa sayu akan penutupan masjid itu, namun langkah itu dapat difahami. Ia perlu demi kebaikan lebih besar kepada masyarakat dan negara.

Malah, Singapura bukan satu-satunya negara yang menutup masjidnya.

Bahkan negara jiran seperti Malaysia juga menutup masjid, dan begitu juga kebanyakan negara Islam seperti Arab Saudi dan beberapa negara di Timur Tengah.

Masyarakat Muslim setempat boleh menjadi contoh baik dalam memberi kerjasama sepenuhnya dalam membantu langkah mencegah penularan Covid-19.

Bukan hanya dengan memberi sokongan kepada langkah sementara menutup masjid, bahkan juga dalam mengamalkan jarak selamat di mana sahaja kita berada.

Ini terutamanya jika perlu keluar rumah membeli barangan keperluan di pasar dan pasar raya.

Jika tidak ada keperluan, duduklah di rumah kerana itulah 'penawar' sementara bagi mencegah penularan Covid-19, sebelum vaksin virus itu dapat dihasilkan.

Diamlah di rumah, dan perbanyak ibadah, serta doakan supaya negara kita selamat daripada wabak Covid-19 - yang akhirnya akan membawa kepada pembukaan semula masjid kita.


"Jika tidak ada keperluan, duduklah di rumah kerana itulah 'penawar' sementara bagi mencegah penularan Covid-19, sebelum vaksin virus itu dapat dihasilkan.
Diamlah di rumah, dan perbanyak ibadah, serta doakan supaya negara kita selamat daripada wabak Covid-19 - yang akhirnya akan membawa kepada pembukaan semula masjid kita."

- Penulis.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map