PANDANGAN

Mulakan langkah kecil untuk 'selamatkan dunia'

SAYA tak kisah.

Sejak Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyentuh tentang perubahan iklim semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) lalu, topik tersebut hangat diperkatakan.

Di akhbar cetak, media sosial, televisyen - semuanya sibuk membincangkan perubahan iklim dan kesannya pada masa depan.

Sebenarnya topik ini bukanlah suatu yang baru.

Sejak tahun-tahun sudah pun orang ramai di seluruh dunia telah menyuarakan pandangan, menunjukkan fakta, malah memberi amaran sesuatu harus dilakukan - dan dilakukan sekarang - bagi menangani perubahan iklim.

Dari tahun-tahun sudah saya sedar tentang adanya perbincangan mengenai isu ini, saya kenal individu-individu yang semangat memperjuangkannya, saya tahu masa semakin suntuk dan situasi semakin genting tetapi itulah, saya tak kisah.

Mungkin bunyinya kasar, seolah-olah saya tidak peduli dengan kesejahteraan bumi yang dipinjamkan Pencipta kita sekarang ini.

Saya peduli, sangat peduli.

Hati saya remuk melihat video-video di Facebook, Instagram dan Twitter yang menunjukkan pantai tercemar, hutan terbakar, haiwan laut terperangkap, terbiar mati dek sampah-sarap yang semakin mengisi habitat mereka.

Marah dan kecewa bergelumang tatkala membaca tentang sifat serakah manusia yang mengejar harta tanpa mengambil kira kesan perbuatan mereka terhadap perut bumi.

Namun, sampai di situ sahaja peduli saya - saya tahu, saya risau, saya kecewa, saya prihatin tetapi saya tidak ambil tindakan.

Andai dahulu saya tak kisah, kini saya mahu ambil kisah.

APA ITU PERUBAHAN IKLIM DAN MENGAPA SAYA HARUS PEDULI?

Menurut Nasa (Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan), perubahan iklim merujuk kepada pelbagai perubahan yang berlaku pada bumi termasuk pemanasan sejagat, peningkatan paras laut, pencairan ais di Greenland, Antartika dan Artik serta penukaran dalam musim berbunga.

Suhu bumi telah meningkat 1 darjah Celsius berbanding masa praperusahaan sekitar 100 tahun lalu.

Pengeluaran gas karbon dioksida (CO2) ke udara hasil daripada pembakaran bahan api fosil bagi menjana tenaga memerangkap bahang matahari dan menyebabkan bumi semakin panas.

CO2 ini juga diserap air laut menyebabkan pengasidan laut yang menjejas kehidupan laut.

Paras air laut meningkat sebanyak 6.7 inci dalam abad lalu dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan paras air laut meningkat sebanyak 1 meter menjelang hujung abad ini, iaitu sekitar 80 tahun dari sekarang.

Sementara itu Pusat Kajian Iklim Singapura (CCRS) yang ditubuhkan pada 2013 mendapati negara kita, Singapura yang berada dekat dengan khatulistiwa, lebih terdedah pada perubahan iklim, melebihi jangkaan yang dicadangkan model antarabangsa.

Di Singapura sahaja kesan perubahan iklim dapat kita rasakan dari cuaca yang semakin tidak menentu - sekejap panas terik, selepas itu tiba-tiba hujan lebat.

Kita beruntung tidak mengalami bencana alam dahsyat, baik taufan, tsunami, banjir atau kemarau, seperti yang dihadapi negara-negara lain.

Namun, kita perlu sedar perbuatan kita mempunyai kesan yang besar dan kekal pada persekitaran kita.

Hari ini sahaja bumi sudah mula menunjukkan tanda-tanda awal kemusnahan.

Bayangkan di masa depan anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit kita.

MELAKUKAN SESUATU YANG KECIL ADALAH LEBIH BAIK DARI TIDAK MELAKUKAN APA-APA LANGSUNG

Difikirkan, saya rasa antara sebab mengapa saya ambil sikap endah tak endah terhadap usaha mesra alam dahulu ialah kerana saya rasa apalah kesan usaha saya seorang pada bumi ini.

Saya juga mempunyai persepsi bahawa saya harus lakukan perkara yang besar untuk 'mengubah nasib dunia'.

Tetapi ini tidak benar. Banyak perkara yang saya percaya ramai sudahpun lakukan dalam kehidupan seharian mereka membantu menyelamatkan masa depan bumi kita, biarpun ia dianggap langkah kecil.

Mematikan lampu, tidak membazir air, kurangkan penggunaan alat hawa dingin, memilih pilihan lebih mesra alam seperti tidak mengambil plastik jika tidak perlu - ini semua perkara yang boleh kita lakukan di peringkat individu.

Menurut saintis iklim dari Crowther Lab, sebuah kumpulan penyelidikan yang berpusat di universiti sains dan teknologi ETH Zurich, Singapura merupakan antara negara yang bakal berdepan dengan perubahan iklim "yang tidak pernah dialami sebelum ini" menjelang 2050.

2050 tampak seperti masih jauh lagi, tapi buat kira-kira, saya baru berusia 50an tahun pada masa itu!

Bagaimana pula dengan anak-anak saya dan generasi seterusnya nanti?

Adakah kita mahu meninggalkan dunia ini dalam keadaan berantakan bagi mereka? Bertanggungjawabkah kita jika kita merosakkan bumi dan biarkan mereka terseksa?

Teringat peribahasa orang asli Amerika yang pernah saya baca:

"Kita tidak mewarisi bumi dari nenek moyang kita, kita hanya meminjamnya dari anak-anak kita."

Jika dahulu kita tak kisah, kini tiba masanya kita ambil kisah.

Perubahan iklim adalah nyata. Meskipun kita merupakan sebahagian puncanya, masih ada peluang untuk kita jadi sebahagian penyelesaiannya.

Nur Fathin Awalludin wartawan BH/BM. Baru-baru ini beliau menulis tentang isu demensia dan pengalaman serta cabaran penjaga warga emas yang menghidap penyakit tersebut. Sebelum ini, beliau juga menggalakkan anak muda memaparkan semangat patriotisme dalam wacana yang dihasilkan.
Instagram: @fathin.bh