Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PEMANSUHAN SEKSYEN 377A

Pandang ke depan dalam isu 377A

Sep 28, 2022 | 07:57 PM



PADA Ahad 21 Ogos, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan Seksyen 377A bakal dimansuhkan dan takrifan perkahwinan dalam Piagam Wanita atau Women's Charter bakal diperkukuhkan di peringkat Perlembagaan agar ia tidak mudah digugah oleh sebarang percubaan merubahnya di peringkat Mahkamah.



Pelbagai reaksi tercetus hasil daripada pengumuman tersebut.



SAMBUTAN 'KEMENANGAN'



Pihak aktivis LGBTQ menyambutnya dengan meriah kerana matlamat memansuhkan Seksyen 377A mereka tercapai. Namun, sambutan kemenangan tersebut kemudian merudum kerana aktivis mengatakan bahawa pengumuman kedua oleh PM Lee tidak merubah banyak perkara mengenai tuntutan mereka. Malah, mengikut pemimpin aktivisme LGBTQ dan juga para penganalisis, apa yang bakal berlaku akan lebih menyempitkan lagi ruang untuk mereka menuntut "hak-hak" mereka yang lain, melebihi pemansuhan Seksyen 377A.



Bagi golongan ini, Seksyen 377A hanyalah langkah pertama bagi mereka untuk menuntut perubahan terhadap beberapa lagi perkara seperti hak perkahwinan sejenis, hak perumahan bagi pasangan LGBTQ dan hak mendedahkan anak-anak kepada pendidikan seksualiti menyeluruh yang merangkumi topik seperti seks bebas dan seks sejenis.



KENAPA PERLU MANSUH 377A, SEKARANG ATAU PADA BILA-BILA MASA SEKALIPUN?



Sejak pengumuman di Rapat Hari Kebangsaan (NDR), pemerintah telah beberapa kali memberikan sebab mengapa isu 377A perlu ditangani sekarang dan bukan kemudian hari.



Antara hujah utama pihak pemerintah adalah berikut:



- Mengelakkan usulan pemansuhan 377A dibawa kembali ke Mahkamah dengan menggunakan Artikel 12 Perlembagaan Singapura yang memberi jaminan terhadap kebebasan kepada setiap rakyat negara ini untuk dilindungi undang-undang, termasuk melindungi golongan gay. Sekiranya ini berlaku, ada kemungkinan 377A boleh dimansuhkan tanpa sebarang kawalan pemerintah. Ia akan ditentukan semata-mata oleh pihak Mahkamah dan pemerintah tidak dapat memastikan pasak-pasak utama masyarakat Singapura seperti institusi perkahwinan dapat dilindungi dan dipelihara.



- Perkara serupa sudah pun berlaku di India sejurus selepas pengumuman PM Lee di NDR. Mahkamah Agung India merubah takrifan perkahwinan untuk merangkumi segala bentuk kebersamaan atau 'union', termasuk pasangan yang belum berkahwin, perkahwinan sejenis dan pelbagai lagi versi kebersamaan dalam dunia LGBTQ. Perkara ini diputuskan oleh beberapa hakim di mahkamah, dan bukan para wakil rakyat di Parlimen.



SEJARAH & STATUS SEKSYEN 377A SELAMA INI



Seksyen 377A mula dijadikan perundangan oleh pihak British sewaktu jajahan ke atas Malaya dengan Singapura termasuk di dalam ruang lingkup kanun tersebut.



Ia dimasukkan ke dalam Kanun Jenayah pada 1938 dan kekal sehingga sekarang, walaupun sebahagian besar kandungannya sudah diubah pada Oktober 2007 setelah diadakan semakan secara keseluruhannya.



Sebelum itu, Seksyen 377A tidak membezakan di antara hubungan seksual heteroseksual mahupun homoseksual kerana ia merangkumi apa-apa perbuatan seks di luar tabii.



Selain liwat, hubungan seks oral di antara lelaki dan wanita juga termasuk perlakuan jenayah di bawah Seksyen 377A ketika itu, di samping seks dengan binatang. Tidak banyak kes-kes yang dihukum dengan Seksyen 377A di sini mahupun di India di mana ia mula dikuatkuasakan. Setelah semakan Kanun Jenayah 2007, Seksyen 377A merangkumi hanya hubungan homoseksual walaupun dengan kerelaan kedua-dua pihak dan dilakukan secara privet.



Mahkamah Rayuan Singapura, semasa menolak permohonan pemansuhan 377A daripada peguam aktivis LGBTQ, menyatakan bahawa kanun tersebut dikekalkan tetapi tidak akan digunakan untuk menghukum perbuatan seks di kalangan gay.



SEKSYEN 377A SEBAGAI LAMBANG MORAL



Seksyen 377A masih lagi berperanan sebagai penunjuk arah terhadap etika keseksualan. Ertinya, walaupun 377A tidak digunakan dalam Mahkamah, ia masih lagi berfungsi dari sudut pegangan moral di sisi sosial, pendidikan, kesihatan dan kandungan penyiaran. Yang lebih utama, dengan ada 377A, banyak lagi perkara yang berpusat kepada hubungan di antara jantina boleh dipertahankan seperti institusi perkahwinan, kekeluargaan, perumahan, pengisian atau kandungan media dan pendidikan seksualiti di Singapura.



RESPONS PEMERINTAH



Beberapa Menteri Kabinet seperti Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K Shanmugam, antara lain memberi jaminan bahawa pasak-pasak asas dalam masyarakat tidak berubah dengan pemansuhan Seksyen 377A.



Sebelum pengumuman PM Lee di NDR pada 21 Ogos 2022, perhimpunan 'Protect Singapore Townhall', diadakan pada 23 Julai 2022 di Singapore Expo dengan penyertaan 1,200 rakyat Singapura dari pelbagai bangsa, agama dan peringkat umur dewasa.



Tema utama acara tersebut adalah 'Usah Mansuhkan 377A sehingga termaktubnya perundangan untuk melindungi perkahwinan, keluarga, pendidikan dan beberapa lagi pasak-pasak masyarakat'.



Apa yang diketengahkan dalam acara 'Townhall' tersebut mewakili keprihatinan serius masyarakat majoriti Singapura yang selama ini tidak begitu lantang bersuara.



Cogan kata 'Tidak Berdiam Lagi' atau Silent No More dicernakan sebagai simbol betapa perkara ini tidak boleh lagi didiamkan begitu sahaja.



Acara 'Townhall' tersebut dikecam hebat oleh aktivis LGBTQ di Singapura dengan beberapa laporan polis dibuat agar tindakan undang-undang diambil ke atas penganjurnya kerana menjalankan acara yang dikatakan menggalakkan kebencian, keganasan dan menimbulkan keresahan serta bersifat 'confrontational'.



Namun, Kementerian Ehwal Dalam Negeri mengeluarkan kenyataan perhimpunan tersebut tidak melanggar undang-undang dan penganjur dan hadirin berhak menyuarakan pandangan mereka sebagai rakyat Singapura.



RESPONS BADAN MELAYU/MUSLIM



Beberapa pertubuhan Melayu/Islam menerbitkan kenyataan masing-masing terhadap usulan pemansuhan Seksyen 377A dan juga langkah pengukuhan yang bakal diambil pemerintah Singapura.



Mencerminkan respons badan-badan tersebut ialah Persatuan Muhammadiyah yang menyatakan kehampaan mereka terhadap langkah pemansuhan tersebut tetapi menghargai dan akan menyokong langkah pengukuhan usulan pemerintah.



Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir, juga telah memberikan gambaran bahawa paksi umat terhadap isu LGBTQ terletak pada hukum-hukum Islam, dan bukan Seksyen 377A.



Dalam Irsyad atau panduan yang diterbitkan, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) juga menasihati aktivis LGBTQ agar menghormati prinsip agama Islam secara menyeluruh, terutama sekali dalam berkaitan seksualiti, perkahwinan dan kekeluargaan.



RESPONS MASYARAKAT MUSLIM SINGAPURA



Pada pandangan saya, respons masyarakat Muslim mempamerkan kehampaan terhadap usulan pemansuhan Seksyen 377A kerana khuatir akan kesannya terhadap keluarga, anak-anak dan masyarakat secara keseluruhannya.



Ini dapat difahami kerana ada yang prihatin bagaimana langkah pengukuhan akan dilaksanakan untuk melindungi institusi perkahwinan, struktur kekeluargaan, pendidikan anak-anak dan kandungan media yang pro-LGBTQ yang tidak terkawal.



Ada juga yang menyatakan bahawa Irsyad atau panduan terbitan Muis agak tidak jelas dalam menyatakan pendirian prinsip-prinsip Islam secara tegas.



Usulan pemansuhan Seksyen 377A akan dibahaskan di Parlimen dan saya jangka akhirnya diluluskan juga. Langkah pengukuhan institusi perkahwinan juga akan dibahaskan dan dijangka diluluskan sama.



Bagi kita masyarakat Muslim, apakah pertimbangan yang boleh difikirkan sebagai membentuk pendirian masing-masing di dalam menghadapi cabaran pemansuhan 377A ini?



Mungkin perkara berikut boleh dipertimbangkan untuk kita sama-sama bergerak ke hadapan dan tidak 'tersangkut' pada Seksyen 377A sahaja:



- Sama ada dimansuhkan atau tidak, skop Seksyen 377A terbatas kepada pensabitan perlakuan homoseksual di antara lelaki dengan lelaki lain. Ia tidak merangkumi perlindungan terhadap pasak-pasak perkahwinan, kekeluargaan dan kemasyarakatan.



- Peranan 'Moral Marker' atau 'Pendirian Moral' yang dimainkan oleh Seksyen 377A selama ini perlu untuk dirangkumi secara khusus dalam perundangan atau peraturan mengenai perkahwinan, kekeluargaan, pendidikan anak-anak, kandungan media, kesihatan, pengambilan anak angkat dan anak melalui cara 'surrogate' (peminjaman rahim wanita), dasar pemilikan rumah dan pelbagai lagi pasak-pasak dalam masyarakat.



- Pemerintah perlu melakukan audit terhadap dasar jabatan pemerintah untuk memastikan setiap polisi itu selari dengan apa yang telah dikemukakan para Menteri dalam hal ini. Misalnya, pastikan bahawa buku mengenai LGBTQ tidak langsung berada di ruangan kanak-kanak di Perpustakaan Negara (NLB).



Begitu juga, pihak pemerintah perlu lebih jelas dan tegas terhadap rating kandungan media di aliran utama, terutama di pelbagai saluran media seperti TV dan media sosial untuk pastikan naratif pro-LGBTQ tidak mudah menyelinap masuk ke dalam masyarakat.



- Usaha membimbing para ibu bapa, anak-anak dan setiap lapisan masyarakat perlu diperhebatkan lagi agar setiap lapisan masyarakat terima maklumat betul lagi tepat mengenai unsur LGBTQ ini dan tidak dikaburi dengan maklumat yang salah atau menyeleweng.



- Siapkan juga ruang khusus untuk membantu golongan LGBTQ yang ingin kembali kepada fitrah.



- Masyarakat majoriti yang senyap lagi sepi dilihat pihak berwenang sebagai golongan yang 'magnanimous' (baik hati) dan bukan sebaliknya.



Tiada sebab mengapa mereka ini digambarkan sebagai pihak yang lebih cenderung menimbulkan konflik. Malah, selama ini, pihak majoritilah yang selalu dipangkah atau kena 'kansel' aktivis LGBTQ yang lantang bersuara. Di media sosial misalnya, setiap perbezaan pandangan dilabel sebagai 'hate speech' (ucapan kebencian) atau 'bigotry' (ketaksuban) atau "mengapikan keganasan". Inilah juga yang dilakukan ke atas acara 'Protect SG Townhall'.



Saranan Menteri Undang-Undang untuk mengadakan undang-undang bagi tangani 'Cancel Culture' dari mana-mana pihak memang dialu-alukan agar pihak majoriti juga bebas untuk menyuarakan pandangan mereka. Dengan adanya undang-undang tangani 'cancel culture' ini, diharapkan ruangan dialog di antara pihak masyarakat majoriti dengan para aktivis LGBTQ dapat dijalankan dengan lebih harmonis, adil dan saksama.



- Sebagai masyarakat Muslim, kita teruskan amalan kita untuk dakwah dan bukannya dakwa. Kita jangan ikut budaya pangkah atau 'cancel culture', tetapi kita gunakan pendekatan mengundang dan menyampaikan mesej secara terbaik mungkin. Kalau mereka tidak terima, kita serahkan urusan selanjutnya kepada Allah swt. Tugas kita untuk sampaikan, bukan mencaci atau mencemuh mereka.



- Langkah lebih konkrit perlu diambil pihak berwenang terhadap penyebaran kenyataan yang menyalahi akidah dan syariah Islam kerana dibimbangi boleh melemahkan lagi fabrik kekeluargaan dan masyarakat. Tanpa tindakan yang jelas lagi tegas, penyebaran kenyataan seperti itu amat mengelirukan dan menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.



HIKMAH DI SEBALIK APA YANG SEDANG BERLAKU



Ada hikmah di sebalik apa yang sedang berlaku. Masyarakat mula membuka mata apabila 'Protect Singapore Townhall' diadakan, dan mendengar hujah-hujah yang dikemukakan. Ramai yang hadir mula menyedari bahwa cabaran yang dihadapi masyarakat Singapura bukannya ringan.



Masyarakat secara umum menjadi lebih aktif dengan perbincangan secara terbuka mengenai usulan pemansuhan Seksyen 377A.



Apa yang sedang berlaku sekarang ini memang menyentak kita semua.



Namun, sesuatu perlu dilakukan agar tidak berlaku kejutan sepertimana yang dilakukan Mahkamah Agung di India.



Kita perlu berganding bahu agar unsur yang bertentangan dengan prinsip, nilai dan kepercayaan kita dapat dibendung seawal mungkin agar itu semua tidak melemahkan masyarakat kita, termasuk masyarakat besar dalam negara kita sendiri.



LANGKAH SELANJUTNYA DALAM PERJALANAN YANG JAUH



Kalau bukan kita sendiri yang memperkukuh dan melindungi diri, keluarga dan anak-anak, siapa lagi?



Sekiranya kita 'buat bodoh,' usah salahkan orang lain apabila anak-anak kita berubah, masyarakat kita berubah dan akhirnya apa yang kita pertahankan sekarang ini akhirnya roboh.



Siapa yang masyarakat pilih sebagai wakil rakyat di Parlimen mencerminkan apa juga prinsip, nilai dan kepercayaan hidup kita. Kalau prinsip, nilai dan kepercayaan tersebut terabai, maka ianya akan tergadai melalui proses pemilihan pemimpin dalam masyarakat. Sekiranya apa yang kita pertahankan sekarang ini roboh di masa depan, ianya bersebab daripada prinsip, nilai dan kepercayaan masyarakat yang telah berubah.



Kita perlu terus menerus mendekati pemerintah agar prinsip, nilai dan kepercayaan tersebut dapat terus dipelihara. Namun, yang lebih utama lagi ialah kita mesti mendekati anak cucu kita agar mereka terus menerus mempertahankan prinsip, nilai dan kepercayaan hidup kita sekarang ini.



Dari satu sudut, tiada mana-mana pun perundangan negara, termasuk Seksyen 377A, yang dapat melindungi prinsip, nilai dan kepercayaan hidup dalam masyarakat kecuali anggota masyarakat itu sendiri mengambil berat dan terus menerus mendidik generasi demi generasi untuk mengamalkannya. Itulah cara yang paling utuh untuk mempertahankan dan melindungi prinsip, nilai dan kepercayaan kita sebagai sebuah masyarakat dan negara.




  • Penulis pengerusi eksekutif SuChi Success Initiatives, yang menjalankan kursus persediaan perkahwinan untuk pasangan Islam dan program latihan lain. Beliau juga salah seorang penganjur Protect Singapore Townhall.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >