Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Wacana

SIRI SILANG AGAMA: KERJASAMA ANTARA BERITA HARIAN/BERITA MINGGU DENGAN PROGRAM PENGAJIAN HUBUNGAN SILANG AGAMA DALAM MASYARAKAT MAJMUK (SRP)

PANDANGAN: Ketibaan hari kemenangan Aidilfitri peluang pererat silaturahim sesama insan

May 24, 2020 | 05:30 AM

HARI ini Hari Raya. Hari kemenangan bagi seluruh umat Islam setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan.

Kedatangan hari yang mulia ini merupakan anugerah Tuhan yang diberikan kepada hambanya yang berjaya memanfaatkan bulan Ramadan dengan sebaiknya.

Setiap kali tiba Hari Raya, umat Islam bergembira. Aidilfitri muncul sebagai mercu tanda kegembiraan meraih kemenangan di pagi Syawal.

Aidilfitri juga adalah lambang persaudaraan dan perpaduan masyarakat.

Dalam negara berbilang bangsa dan agama, Hari Raya di sini bukan hanya disambut oleh masyarakat Islam sahaja.

Malah kegembiraan turut disertai masyarakat dari pelbagai agama lain. Inilah keunikan Aidilfitri di Singapura.

ERTI DI SEBALIK AIDILFIRI

Secara bahasa, Aidilfitri bererti kembali kepada fitrah, iaitu kembali kepada asal kejadian manusia yang suci, bersih dan terlepas dari segala dosa ibarat seorang bayi baru dilahirkan.

Dalam Islam, setiap orang dilahirkan dalam keadaan fitrah. Fitrah dalam hal ini bererti seseorang itu dilahirkan dalam keadaan suci dan tidak memiliki dosa.

Seseorang yang kembali kepada fitrahnya bererti ia mencari kesucian dan keyakinannya yang hakiki, sebagaimana pada saat ia dilahirkan.

Sabda Rasulullah saw: "Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci. Kedua orang ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi."

Seorang Muslim yang meninggalkan Ramadan dan menyambut Aidilfitri di bulan Syawal umpama seorang bayi yang baru dilahirkan - bersih dari segala dosa dan kesalahan.

Ramadan menjanjikan keampunan Tuhan dan menghasilkan fitrah dan kesucian.

Fitrah juga merupakan satu sifat dalam diri manusia yang cenderung kepada kebaikan dan kebenaran.

Dengan fitrah, manusia itu secara nalurinya akan cenderung melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan.

Sewajarnya ini memerlukan kesedaran dari setiap insan. Dengan kesedaran ini, manusia akan sentiasa menghargai bukan hanya dirinya, bahkan setiap ciptaan Tuhan akan dilayaninya dengan sikap ihsan dan rahmah.

MENABUR IHSAN DAN RAHMAH DI AIDILFITRI

Lebaran adalah suasana kegembiraan dan kemaafan. Kegembiraan di Hari Raya ini disebabkan wujudnya kebersamaan dan hubungan kasih sayang antara manusia.

Tidak kiralah sama ada ianya hubungan kekeluargaan mahupun persahahabatan termasuk mereka yang tidak seagama dengan kita.

Dengan kedatangan Syawal, masyarakat Islam mengeratkan silaturahmi dan hubungan persaudaraan sesama insan dengan sifat ihsan dan rahmah yang mulia.

Agama Islam adalah agama yang menyatupadukan umat manusia, agama yang menggalakkan penganutnya menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu dan tetangga tidak kira apa sahaja latarbelakang mereka.

Selain Muslim, umat Islam hendaklah menjalinkan silaturahim dengan mereka yang berlainan agama kerana mereka juga memiliki hak kewarganegaraan, kejiranan, kekeluargaan dan juga kasih sayang.

Sebagai agama yang membawa mesej perpaduan antara umat manusia, menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu adalah penting.

Aidilfitri adalah masa terbaik untuk mengukuhkan lagi tiang hubungan sesama manusia ini yang mungkin goyah sebelum ini.

Dalam suasana Hari Raya, budaya kunjung-mengunjung, mengadakan rumah terbuka, memohon maaf antara satu sama lain, berkongsi makanan dan juadah adalah cara atau wasilah yang pasti dapat mengukuhkan lagi tiang hubungan sesama manusia ini.

Namun, cabarannya untuk melakukan kesemua ini timbul pada Hari Raya kali ini dek penularan wabak Covid-19 yang telah melanda dunia sejak awal tahun ini lagi.

Namun, kegembiraan di Aidilfitri dan semangat persaudaraan masyarakat tidak sedikit pun berkurangan.

AIDILFITRI DI TENGAH KRISIS COVID-19

Seperti Ramadan yang baru berlalu, Hari Raya tahun ini amat berbeza sekali bagi kebanyakan umat Islam di dunia.

Di Singapura, masyarakat Islam menyambut kedatangan Syawal dalam keadaan patuh kepada sekatan pemutus litar bagi membendung Covid-19 yang dijadualkan berakhir pada 1 Jun nanti.

Ini bererti buat pertama kalinya dalam sejarah negara ini, masyarakat Islam menyambut Lebaran tanpa kunjung-mengunjung sesama mereka.

Begitu juga, buat pertama kalinya, masjid-masjid di sini tidak dapat mengadakan solat Hari Raya secara berjemaah.

Dalam keadaan krisis sebegini, suasana dan cara menyambut Lebaran pun berubah.

Walaupun masyarakat Islam hanya dapat menyambut Lebaran dengan anggota keluarga serumah sahaja, namun wadah teknologi seperti Zoom, Skype, Google Meet, Microsoft Teams dan lain-lain dapat membantu menyatukan anggota keluarga yang lain dan juga sahabat handai dalam sambutan Hari Raya.

Mujur, ada kemudahan wadah-wadah ini yang pada ketika ini telah menjadi sesuatu norma baru yang sangat penting dan diperlukan untuk tujuan perhubungan, perhimpunan, komunikasi dan juga mesyuarat.

Sejak bermulanya krisis Covid-19 di negara ini, masyarakat Singapura yang terdiri dari masyarakat pelbagai bangsa dan agama telah menunjukkan semangat kesatuan dan kerjasama yang tinggi dalam mengharungi krisis ini.

Pelbagai usaha dan inisiatif telah diwujudkan oleh masyarakat Singapura untuk membantu mereka yang terjejas dek wabak Covid-19 ini.

Kesemuanya ini dilakukan dengan semangat SGUnited yang telah menyatukan masyarakat Singapura.

Begitu juga para pemimpin agama telah pun bersatu memainkan peranan mereka.

Pada 14 Mei lalu, para pemimpin agama dan sukarelawan dari Pertubuhan Silang Agama (IRO) telah menyertai Hari Berdoa Sedunia (Global Prayer Day) yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tinggi Bagi Persaudaraan Manusia (HCHF) demi mendoakan kesejahteraan dunia dan agar krisis Covid-19 ini segera diatasi.

Dalam suasana Aidilfitri di mana masyarakat Islam tidak dapat berkunjung dan begitu juga teman-teman dari bangsa dan agama lain tidak berpeluang menyertai masyarakat Islam dalam sambutan Hari Raya mereka, semangat persaudaraan dan kebersamaan telah wujud dan tidak pudar.

Kunjungan dan sesi menjamu selera hidangan Hari Raya secara bersama masih boleh diadakan secara 'virtual' dan 'live' menerusi wadah teknologi yang kian canggih.

Ucapan selamat Hari Raya oleh masyarakat bukan Islam masih lagi boleh dikirimkan menerusi wadah telekomunikasi dan juga e-mel.

Penghantaran hadiah dan juga kuih Raya kepada teman-teman Muslim masih boleh dilakukan.

Kesemuanya ini merupakan lambang persaudaraan dan sifat ihsan yang menyerlah dalam masyarakat Singapura.

KESIMPULAN

Masyarakat Islam Singapura perlu bersyukur kerana berpeluang menyambut Hari Raya dalam keadaan sempurna dan dalam situasi yang aman dan harmoni walaupun harus mengharungi cabaran krisis Covid-19.

Dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama, masyarakat Islam di sini dapat menyambut hari kemenangan mereka tanpa sebarang konflik, rusuhan dan rasa tidak senang dengan orang lain.

Tidak seperti di sebahagian negara di mana umat Islam menyambut Hari Raya dalam keadaan takut dan tidak aman akibat konflik keagamaan, peperangan dan juga pengganasan, masyarakat Islam di sini menikmati kedamaian di hari Lebaran.

Bertahun-tahun lamanya, tradisi masyarakat Islam Singapura ketika Lebaran seperti memohon maaf, kunjung-mengunjung dan memberikan makanan dapat diteruskan.

Sebabnya, mereka menikmati hidup yang aman, rezeki yang melimpah dan keharmonian yang telah dipupuk masyarakat Singapura sejak bertahun lamanya.


SEMANGAT PERPADUAN DALAM MENANGANI WABAK COVID-19

"Sejak bermulanya krisis Covid-19 di negara ini, masyarakat Singapura yang terdiri dari masyarakat pelbagai bangsa dan agama telah menunjukkan semangat kesatuan dan kerjasama yang tinggi dalam mengharungi krisis ini. Pelbagai usaha dan inisiatif telah diwujudkan oleh masyarakat Singapura untuk membantu mereka yang terjejas dek wabak Covid-19 ini. Kesemuanya ini dilakukan dengan semangat SGUnited yang telah menyatukan masyarakat Singapura. Begitu juga para pemimpin agama telah pun bersatu memainkan peranan mereka."
- Penulis. 


  • Penulis ialah Penolong Profesor di Program Pembelajaran Hubungan Silang Agama Dalam Masyarakat Majmuk, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Beliau juga adalah Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Naib Pengerusi Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Geylang Serai.