Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Pelbagai pakej bantuan menanti warga emas... namun, cukupkah?

Mar 05, 2023 | 05:30 AM



MENJELANG 2030, seorang daripada setiap empat warga Singapura akan berusia 65 tahun ke atas.



Saya adalah salah seorang daripada mereka yang bakal menyertai kumpulan warga emas ini menjelang tahun tersebut.



Alahai, sungguh cepat masa berlalu.



Ramai daripada kawan-kawan sebaya saya dalam pasukan polis sudah pun bersara.



Ramai kenalan lain dalam sektor swasta pula sudah pun menggelarkan diri mereka "semi-retired" atau separuh bersara.



Kawan-kawan saya dalam pasukan beruniform beruntung kerana majikan mereka memberi persediaan yang mencukupi sebelum melayari alam persaraan.



Ini termasuklah memberi mereka latihan untuk melakukan kerjaya kedua selepas bersara di samping bimbingan lain seperti cara menguruskan perniagaan atau dana persaraan.



Bagi mereka yang tidak mahu lagi bekerja, panduan turut diberikan tentang cara-cara meluangkan masa dengan berfaedah umpamanya menerusi kegiatan riadah atau kemasyarakatan demi kesihatan mental dan fizikal.



Alangkah beruntungnya mereka.



Pengalaman kawan-kawan saya ini mendorong saya untuk melakukan persiapan saya sendiri menjelang persaraan.



Sejak dua tahun lalu, saya telah menghadiri kursus-kursus sambilan sebagai bekalan buat persaraan.



Saya melakukan demikian untuk kekal aktif dengan memburu minat dalam bidang lain yang lama terpendam.



Saya percaya saya bukan seorang yang prihatin tentang alam persaraan.



Mujurlah, keprihatinan ini tidak terlepas daripada perhatian pemerintah.



Semasa membentangkan belanjawan negara di parlimen baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong memberi jaminan:



"Walaupun kita mengembangkan ekonomi dan melengkapkan pekerja kita, kita juga akan melabur sumber yang besar untuk mengukuhkan kompak sosial kita.



"Kita akan melakukannya dalam tiga bidang utama: mengukuhkan keluarga, menangani isu berkaitan ketidaksamaan dan mobiliti sosial, dan menyediakan penjagaan yang lebih baik untuk penduduk yang semakin tua."



Sejajar dengan matlamat tersebut, beberapa bantuan bagi warga emas telah pun diumumkan.



Ini termasuklah sumbangan wang tunai bagi menampung kos sara hidup, tokokan $500 juta bagi Dana ElderCare dan $1.5 bilion bagi dana MediFund.



Pemerintah juga akan terus menaikkan kadar sumbangan CPF pekerja berusia 55 tahun ke atas hingga 70 tahun bagi menggalak pengambilan pekerja lanjut usia dalam pasaran kerja.



Di samping itu, satu program kebangsaan telah pun dilancarkan untuk mendorong warga emas agar meningkatkan dan mengekalkan kesihatan mereka pada usia yang lanjut.



Program 'Live Well, Age Well' atau 'Hidup dengan baik, Lanjut usia dengan baik' itu adalah sebahagian daripada Pelan Tindakan Penuaan Berjaya Singapura yang bertujuan memastikan warga emas di sini dapat bekerja lebih lama serta kekal berhubung secara sosial.



Ini dirasakan penting memandangkan penduduk Singapura hidup lebih lama, dengan saiz keluarga lebih kecil.



Saya mengalu-alukan semua rancangan ini tetapi saya percaya lebih banyak lagi boleh dilakukan untuk membantu warga emas mengharungi sisa-sisa hidup dengan lebih baik dan bermakna.



Saya percaya antara keprihatinan utama kumpulan keramat ini adalah menampung kos sara hidup yang meningkat, tetapi perlu bergantung kepada dana persaraan yang terbatas.



Walaupun golongan ini mempunyai simpanan Medisave dan perlindungan Medishield, mereka tetap risau sekiranya dilanda penyakit luar biasa dengan kos rawatan tinggi, yang bakal menghakis dana persaraan, lalu menjejas mutu dan keselesaan hidup.



Justeru, sebarang pakej bantuan yang boleh melegakan kerisauan ini amatlah dialu-alukan.



Sekiranya pakej bantuan yang dihulurkan kepada Generasi Pioneer dan Merdeka dapat dihulurkan kepada Generasi Baby Boomer (dilahirkan antara 1960 dan 1965) seperti saya ini, alangkah baiknya.



Dalam hal ini, saya akur adalah tidak munasabah untuk mengharapkan bantuan pemerintah semata-mata.



Setiap generasi juga menghadapi peluang dan cabaran berbeza, dan adalah tidak wajar untuk mengharapkan agihan pakej bantuan sama rata bagi kumpulan usia yang berbeza.



Namun demikian, saya percaya masih ada ruang untuk memperkemas dan meningkatkan bantuan bagi menangani keprihatinan kumpulan warga emas ini.



PERANAN MASYARAKAT



Di samping pemerintah, saya percaya pemegang taruhan lain seperti majikan, kesatuan sekerja dan pertubuhan masyarakat juga boleh memainkan peranan untuk mewujudkan pelan penuaan berjaya di Singapura.



Sebagai contoh, majikan boleh menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan fleksibel bagi warga emas yang berminat untuk bekerja secara sambilan.



Lebih banyak peluang rekreasi juga boleh disediakan di kawasan kejiranan untuk membantu warga emas meluangkan masa dengan aktiviti sihat dan berfaedah.



Di peringkat masyarakat, rangkaian M Kuasa Tiga atau M³ juga boleh memainkan peranan dengan meluaskan bidang fokus rangkaian tersebut untuk mencakupi isu warga emas pada masa depan.



M³ kini mempunyai empat bidang tumpuan - menyokong perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak; menyokong individu dan keluarga rentan; memperkasa dan membimbing belia; serta pekerjaan dan daya kerja.



Bidang-bidang ini memang wajar diberikan tumpuan untuk menangani cabaran masyarakat masa kini dan sebagai persediaan bagi merebut peluang masa depan.



Namun saya percaya penerapan warga emas sebagai satu bidang fokus tambahan adalah satu perkembangan semula jadi yang tidak dapat dielakkan pada masa depan.



Pucuk pangkalnya, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk membuat persiapan bagi mengharungi alam persaraan.



Sebaiknya, persiapan seperti penabungan perlulah dimulakan lebih awal dan diperkemas dan dipergiat sepanjang masa untuk memastikan kita dapat menikmati usia senja dengan selesa sambil dikelilingi orang-orang tersayang.




"Di samping pemerintah, saya percaya pemegang taruhan lain seperti majikan, kesatuan sekerja dan pertubuhan masyarakat juga boleh memainkan peranan untuk mewujudkan pelan penuaan berjaya di Singapura.
Sebagai contoh, majikan boleh menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan fleksibel bagi warga emas yang berminat untuk bekerja secara sambilan.
Lebih banyak peluang rekreasi juga boleh disediakan di kawasan kejiranan untuk membantu warga emas meluangkan masa dengan aktiviti sihat dan berfaedah.
Di peringkat masyarakat, rangkaian M Kuasa Tiga atau M³ juga boleh memainkan peranan dengan meluaskan bidang fokus rangkaian tersebut untuk mencakupi isu warga emas pada masa depan.
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >