Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Di Ambang 2020

Pelbagai perkembangan dijangka warnai tahun baru 2020

Antara isu yang menarik perhatian termasuk tarikh pilihan raya, perubahan iklim
Dec 30, 2019 | 05:30 AM



APABILA 1 Januari tiba, kita melangkah bukan sahaja ke tahun baru, malah ke dekad baru, dan lebih menarik bagi Singapura kerana 2020 dijangka menjadi tahun pilihan raya.



Ia bermakna golongan muda yang akan mencecah usia 21 tahun akan melalui pengalaman pertama melaksanakan hak mengundi memilih kepimpinan Singapura buat beberapa tahun akan datang, jika kediaman mereka terletak dalam kawasan undi yang ditandingi.



Pilihan raya kali ini dijangka diwarnai dengan beberapa perkembangan dan isu.



Parti yang memerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP), dijangka mengetengahkan calon daripada generasi keempat menerajui parti itu.



Dalam konvensyennya pada 2019, parti itu menamakan Encik Heng Swee Keat, yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertama PAP; dan Encik Chan Chun Seng, Menteri Perdagangan dan Perusahaan, sebagai Penolong Setiausaha Agung Kedua PAP.



Mereka bakal berdepan dengan cabaran oleh parti pembangkang termasuk parti baru, Parti Kemajuan Singapura (PSP), yang diterajui ahli politik veteran, Dr Tan Cheng Bock, mantan Anggota Parlimen dan bekas anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP).



Isu ekonomi tidak menentu dan kesannya terhadap pekerjaan dan kos kehidupan, mungkin menjadi perhatian dan bahan perbahasan pilihan raya.



Bila tarikh pilihan raya masih menjadi teka-teki tetapi jika ia berlangsung pada suku pertama, iaitu selepas pembentangan Belanjawan, umumnya rakyat boleh menjangka bajet 'murah hati' mungkin dibentangkan.



Beberapa perkembangan lain boleh dijangka bagi 2020 termasuk:



MASYARAKAT MELAYU/ISLAM



Antara lain, daya usaha M Kuasa Tiga (M³) akan memulakan siri CiptaSama @M3. Masyarakat diharap menjadi rakan kongsi pemerintah di M3 @Towns, bagi mencari penyelesaian masyarakat bersama-sama.



Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) diperkenal Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi memberi konteks pengamalan Islam di Singapura dan menambah keupayaan asatizah dalam bidang di luar sektor agama.



Program setahun yang akan dikendalikan Akademi Muis itu akan dimulakan April 2020.



Ia juga bagi membantu golongan asatizah mengamalkan ilmu serta kemahiran relevan dalam konteks Singapura.



PERUMAHAN



Kira-kira 16,000 hingga 17,000 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) akan dilancarkan pada 2020 bagi memenuhi permintaan tambahan berikutan perubahan dasar utama tahun ini.



Ini dinyatakan Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong dalam satu pos di blognya baru-baru ini.



Flat baru akan disediakan di Sembawang dan Toa Payoh pada Februari dan Mei. Flat baru akan juga dilancarkan di Choa Chu Kang, Tengah, Pasir Ris dan Tampines.



Kementerian Pembangunan Negara telah menaikkan siling pendapatan September lalu bagi pembeli rumah yang layak kali pertama dan memperkenal Geran Perumahan yang dipertingkat.



Lebih ramai pasangan muda boleh memanfaatkan subsidi perumahan yang lebih tinggi bagi flat pertama mereka, menikmati geran sehingga $80,000 jika membeli flat baru dan geran sehingga $160,000 jika mereka membeli flat jualan semula dalam pasaran terbuka.



IKLIM



Isu berkaitan iklim dijangka mendapat lebih tumpuan.



Singapura merancang menghasilkan 30 peratus daripada keperluan pemakanan dalam negeri menjelang 2030 di bawah 'Visi 30 jelang 30', atau '30 by 30 vision'.



Industri agromakanan dijangka mengetengahkan huraian baru bagi meningkatkan daya penghasilan dan menangani kekurangan sumber, termasuk makanan agro (makanan dihasilkan pertanian).



Kempen menggalak rakyat Singapura makan hasil tempatan - ikan, telur dan sayur-sayuran Singapura - bermula pada 2020.



Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menyatakan bahawa tahun depan, kementeriannya akan melancarkan kempen mengenai 'Kisah Makanan Singapura' bagi menggalakkan warga Singapura mengembangkan dan makan hasil tempatan.



Berkaitan iklim, satu pejabat baru yang memberi tumpuan pada pengajian sains iklim akan dibentuk tahun ini bagi memperkukuh keupayaan Singapura dalam bidang ini.



Sebagai permulaan, Pejabat Program Penyelidikan Sains Iklim (CSRPO) itu akan memberi tumpuan kepada usaha penyelidikan dalam lima bidang yang dianggap mendatangkan kesan penting terhadap Singapura.



Selain mengkaji paras laut meningkat, CSRPO - yang bakal menjadi sebahagian Pusat bagi Penyelidikan Iklim Singapura (CCRS) - juga akan menumpukan perhatian kepada kesan perubahan iklim terhadap sumber air dan pengurusan banjir; kesan trend pemanasan terhadap kesihatan manusia dan sektor awam; keselamatan makanan dan biodiversiti; serta usaha memperkukuh kesinambungan antara hasil penyelidikan dengan perancangan dan pembentukan dasar.



PMD



Tarikh akhir bagi pengesahan keselamatan alat mobiliti peribadi (PMD) telah ditetapkan pada 1 Julai 2020. Langkah ini diambil sebagai respons kepada keprihatinan mengenai risiko PMD. Kes kebakaran berkaitan dengan PMD mencecah rekod tertinggi pada 2019.



Mulai 1 April 2020, kesemua e-skuter harus melalui pemeriksaan wajib bagi mematuhi piawaian UL2272, merangkumi satu set keperluan keselamatan meliputi sistem pendorong elektrik PMD, termasuk sistem baterinya.



GAJI



Pekerja di Singapura mungkin melihat kenaikan gaji sederhana pada 2020 meski terdapat kelembapan ekonomi pada 2019, menurut dua laporan tinjauan yang diterbitkan baru-baru ini.



Golongan profesional yang terus bekerja boleh menjangka kenaikan gaji 1 peratus hingga 7 peratus tahun depan, manakala mereka yang bertukar pekerjaan mungkin boleh menjangka kenaikan 5 peratus hingga 15 peratus, kata firma pengambilan pekerja Robert Walters baru-baru ini.



Peningkatan lebih besar dijangka bagi mereka yang mencari kerja dengan kemahiran khusus seperti teknologi dan transformasi, perbankan dan kewangan, bidang perundangan, jualan dan pemasaran, pemerolehan dan logistik, menurut firma itu.



RENCAM



*Cik Haslinda Zamani, Superintenden kelompok/Cawangan Sekolah (Barat) Divisyen Sekolah akan memulakan tugas baru sebagai pengetua Sekolah Perempuan Raffles (Menengah).



Cik Haslinda, 43 tahun, berhasrat melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja bijak akademik, bahkan sentiasa bersedia menyumbang kepada masyarakat.



*Peraturan baru keselamatan data bagi sektor awam menjelang akhir 2020. Peraturan perlindungan data yang mengawal sektor awam negara akan diselaraskan dengan sektor swasta. Pengarah Pejabat Data Pemerintah, Cik Quek Su Lynn, berkata peraturan perlindungan data dalaman sektor awam, yang dikenali sebagai Manual Arahan 8 (IM8), akan dikemaskini tahun depan bagi membuatkan langkah perlindungan data lebih jelas.




Suhaimi Mohsen ialah editor naskhah BH/BM. Beliau lulusan Sastera dan Sains Kemasyarakatan (BA) Universiti Singapura dalam bidang Sains Politik dan Pengajian Melayu. Baru-baru ini, beliau menulis beberapa wacana termasuk 'Pendekatan proaktif demi jaga keharmonian kaum S'pura', 'Perlu periksa kesahihan berita yang diterima sebelum dihebah' dan 'Syukuri kemakmuran yang dinikmati'. Beliau juga terlibat dalam proses pemilihan Anugerah Guru Arif Budiman (Agab).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >