Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Pembaharuan dan penyesuaian, bukan tanda kelemahan

Oct 17, 2021 | 05:30 AM



KITA berada dalam era disruptif yang cepat berubah, di mana tuntutan untuk membuat penyesuaian sering disuarakan.



Tanpa penyesuaian, kita mudah tertewas dengan perubahan pesat dan tidak mampu mengatasi cabaran mendatang.



Ramai yang sebenarnya telah menyahut seruan untuk membuat penyesuaian dalam beberapa aspek kehidupan mereka.



Sebagai contoh, penggunaan teknologi digital untuk berkomunikasi dan bertemu di alam maya seperti Zoom apabila pandemik melanda.



Namun, masih terdapat keraguan apabila penyesuaian yang diperlukan menyentuh kehidupan keagamaan.



Ada yang bertanggapan bahawa membuat penyesuaian adalah tanda kelemahan.



Bagi mereka, ia mencerminkan sikap mudah mengalah dan kurang tegas di dalam mempertahankan tradisi, budaya ataupun pengamalan agama yang sudah lama dilaksanakan.



Saya sering memikirkan perkara ini, kerana di dalam usaha membimbing masyarakat di dalam isu-isu agama, saya bersama asatizah lain perlu mencari keseimbangan yang diperlukan.



Agama mempunyai nas-nasnya dan tradisi yang telah lama dijadikan sebagai sumber hukum.



Dunia pula cepat berubah dan menimbulkan cabaran-cabaran yang belum pernah kita lalui.



Apakah pedoman agama bagi kita melungsuri kehidupan hari ini dan masa hadapan?



Sebenarnya, jalan yang lebih mudah adalah untuk tidak berubah, memelihara kebiasaan kita dan menolak penyesuaian.



Bahkan, di dalam suasana yang penuh dengan perubahan dan pembaharuan, pendekatan ini lebih popular, dan mereka yang lantang memperjuangkannya dilihat sebagai pemimpin yang tegas dan menjadi idola sebahagian orang.



Pendekatan ini jelas kelihatan di dalam krisis pandemik apabila ia melanda awal tahun lepas, apabila ada yang menolak penyesuaian yang diperlukan sama ada dalam kehidupan seharian atau amalan beragama.



Beberapa norma atau kebiasaan agama, seperti solat berjemaah di masjid dan kerapatan saf, terpaksa diubah, malah sebahagiannya tidak dapat diadakan.



Yang menolak penyesuaian tersebut berhujah bahawa ia bukan sebahagian daripada agama.



Bahkan, ada yang segera menggunakan akidah sebagai sandaran, bahawa keyakinan kita dengan kuasa Tuhan bermakna kita harus menolak langkah-langkah keselamatan yang merubah norma agama.



Hampir dua tahun kemudian, jelas bahawa pendekatan yang mungkin dianggap tegas dan berani ketika itu sebenarnya tidak berasas dan jauh menyempang dari pemikiran rasional mahupun panduan agama berdasarkan prinsip dan nilai-nilainya.



Ia adalah ideologi yang merbahaya dan membawa kemudaratan tatkala nyawa dan keselamatan umat manusia terancam.



Bahkan, pemikiran sedemikian adalah tanda kelemahan dan ketandusan pemahaman agama yang tidak berpijak di bumi nyata dan dipandu fakta yang jelas.



Di manakah berlakunya kesilapan dan apakah punca kelemahan sedemikian?



Saya berpandangan ianya berkait dengan pendidikan dan pemahaman agama yang tidak mengambil pendekatan holistik lagi menyeluruh.



Agama bukan hanya berkaitan hukum bagi perbuatan manusia semata-mata.



Ia mempunyai matlamat dan tujuan yang jauh lebih besar dan penting.



Saya merujuk kepada sejarah Islam dan para Nabi dan Rasul dalam memahami sikap dan pendekatan mereka di dalam kehidupan.



Ini adalah kerana mereka pelopor pembaruan dan pendukung penyesuaian.



Di dalam bahasa hari ini, mereka bersifat inovatif dan progresif di zaman mereka. Mereka tidak mempertahankan budaya dan gaya kehidupan masyarakat di atas hujah ia telah lama berakar, jika ianya mengancam kehidupan yang aman dan bahagia seperti yang dimaksudkan risalah agama.



Bahkan, mereka sering ditentang oleh masyarakat sendiri kerana membuat pembaharuan seperti menentang kezaliman yang berleluasa, memperjuangkan hak golongan yang miskin dan lemah, serta mengelakkan kemudaratan yang tersebar luas.



Begitu juga terpampang cara dan pendekatan Nabi Muhammad saw yang sangat prihatin dengan kesan dan implikasi sesuatu hukum dan amalan ke atas masyarakat.



Bahkan banyak hukum agama yang kita warisi dan amalkan hari ini adalah hasil penyesuaian rapi dan teliti Baginda saw. Kadangkala, Nabi saw meninggalkan sesuatu amalan, walaupun ia baik, kerana ia boleh menimbulkan kesukaran sekiranya amalan tersebut dijadikan sebagai suatu kewajipan.



Sebagai contoh, Baginda saw mengelakkan dari menunaikan solat tarawih dengan berjemaah kerana khuatir ia diwajibkan ke atas umatnya. Begitu juga Baginda saw akur dengan kelebihan bersiwak (membersihkan gigi dan mulut) tetapi tidak menjadikannya satu kewajipan sebelum setiap solat kerana ia akan membebankan umatnya.



Tanggungjawab kita adalah untuk mengikut panduan Nabi Muhammad saw, bukan mendatangkan risalah yang baru.



Kita diamanahkan untuk memelihara agama dan menterjemahkan ajarannya dengan sebaik dan setepat mungkin, agar maksud dan tujuan asal pengamalan agama dapat dicapai.



Kerana itu, kita perlukan pelbagai alat yang dapat membantu kita menghadapi situasi kehidupan yang amat rumit dan rencam.



Ini agar kita mencapai dengan tepat apa yang dihasratkan.



Sebarang bentuk penyesuaian memerlukan prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang tertentu, kerana ia tidak seharusnya dilaksanakan hanya untuk mengikut arus perubahan semata-mata.



Walaupun ajaran agama sememangnya telah jelas lagi nyata, ulama silam tetap berusaha untuk meneliti semua hukum-hukum agama demi memahami apakah maksud dan matlamat syariat yang sebenar



Mereka memikirkan sama ada syariat ini memerintah dan melarang hanya untuk menguji dan menilai siapa yang taat dan siapa yang ingkar, ataupun terdapat sebab dan matlamat besar yang ingin dicapai untuk kebaikan manusia itu sendiri?



Perbincangan ini amat panjang, namun dapat diringkaskan bahawa syariat Islam bertujuan mencapai keadilan, rahmat, kebaikan dan kebijaksanaan.



Hukum dan amalan agama bertujuan mencapai matlamat sedemikian.



Ulama seperti Shatibi dan Ibn Qayyim membincangkan matlamat syariat ini agar agama dapat terus mekar dan berkembang dalam setiap suasana dan keadaan.



Ini menjadi dasar bagi memikirkan situasi-situasi mendatang dan membantu kita mencari huraian yang sesuai.



Malah, matlamat ini merupakan satu bentuk sandaran bagi penyesuaian yang perlu kita laksanakan.



Ini berbeza dengan polar pemikiran bahawa agama itu sangat tegar dan sukar, serta menolak sebarang penyesuaian ketika menghadapi situasi yang baru, dengan hujah bahawa agama sudah jelas dan sempurna.



Sedangkan kejelasan dan kesempurnaan agama terletak pada kesyumulan prinsip, nilai, matlamat dan hukum yang tidak patut dipisahkan kerana setiap daripadanya amat bergantung pada satu sama lain.



Kekhuatiran dan keraguan tentang penyesuaian timbul apabila kita gagal memerhatikan hubungan rapat di antara semua aspek agama dan kehidupan.



Bak kenderaan yang membantu kita mendaki gunung, jika rosak satu bahagian kerana kita hanya tertumpu pada bahagian lain, bukan sahaja gunung gagal dijelajahi, tetapi kita tergelincir dan jatuh membahayakan diri dan orang lain.



Saya ingin mengajak masyarakat Islam Singapura untuk sama-sama memahami keindahan agama dengan pandangan yang menyeluruh, meneliti matlamat syariat dengan sempuran, serta menerima penyesuaian yang berprinsip dan berpandukan nilai-nilai agama tatkala diperlukan.



Ini dapat menjadikan penyesuaian lambang kekuatan dan daya tahan keagamaan, bukan kelemahan.



Dengannya, kita dapat terus membina keyakinan bukan sahaja untuk mengatasi cabaran, tetapi mencorak arus masa hadapan.




HARAPAN MUFTI 

"Saya ingin mengajak masyarakat Islam Singapura untuk sama-sama memahami keindahan agama dengan pandangan yang menyeluruh, meneliti matlamat syariat dengan sempuran, serta menerima penyesuaian yang berprinsip dan berpandukan nilai-nilai agama tatkala diperlukan.

Ini dapat menjadikan penyesuaian lambang kekuatan dan daya tahan keagamaan, bukan kelemahan.

Dengannya, kita dapat terus membina keyakinan bukan sahaja untuk mengatasi cabaran, tetapi mencorak arus masa hadapan."

- Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir




  • Penulis Mufti Singapura. Rencana ini ditulis untuk Berita Minggu (BM).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >