Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Pembaharuan kepimpinan kalangan AP Melayu berterusan

Jun 20, 2020 | 05:30 AM



DI peringkat nasional, terdapat apa yang digelar pimpinan generasi keempat atau 4G.



Namun di kalangan kepimpinan Melayu/Islam juga berlaku pembaharuan kepimpinan. Terutama ialah peralihan peranan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat daripada Dr Yaacob Ibrahim kepada Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



Di barisan pelapis yang membantu Encik Masagos, adalah beberapa pemegang jawatan politik seperti Dr Mohamad Maliki Osman (Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Encik Zaqy Mohamad (Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia), Encik Amrin Amin (Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri) dan Profesor Madya Faishal Ibrahim (Setiausaha Parlimen Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan).



Sejak Encik Masagos mengambil alih, rangkaian kepimpinan masyarakat diluaskan menerusi M3 yang mengeratkan lagi kolaborasi antara Mendaki, Muis dan Mesra. Beliau seterusnya giat melibatkan lebih ramai karyawan menyertai rangkaian itu.



Ada di antara karyawan dalam M3 juga disebut-sebut sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP). Antaranya ialah mantan kolonel Encik Mohd Fahmi Aliman dan Cik Mariam Jaafar.



Jelas, terdapat kesinambungan dalam proses pelapis, dan kekuatan ini dapat menemui ketandusan kepimpinan mapan seperti Puan Halimah Yacob, yang menjadi Presiden, dan kemungkinan Dr Yaacob yang bakal bersara dari politik.



Karyawan-karyawan yang dikatakan bakal bertanding dalam pilihan raya, berpeluang mendapat pendedahan sedemikian, selain daripada kerja-kerja akar umbi.



Berita Harian (BH) difahamkan sehingga tiga lagi Anggota Parlimen Melayu/Islam mungkin mengundurkan diri, sejajar dengan falsafah peralihan kepimpinan parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP).



Sementara itu, terdapat kerusi di GRC Marsiling-Yew Tee, yang dikosongkan Puan Halimah apabila beliau mengambil keputusan bertanding dalam pilihan raya Presiden, yang perlu diisi calon minoriti Melayu selain kerusi di GRC Sengkang, yang baru dibentuk dalam laporan sempadan kawasan undi baru-baru ini.



Mantan kolonel kini perjuangkan nasib pekerja



Antara mereka ialah mantan Timbalan Ketua Eksekutif, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohd Fahmi Aliman.



Mantan pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) berpangkat Kolonel itu meninggalkan Muis pada lewat Mac lalu bagi menyertai Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) sebagai Pengarah bagi Sekretariat Divisyen Mobilisasi dan Operasi di Unit Pentadbiran dan Penyelidikan (NTUC-ARU).



Ini sekali gus memperkukuh spekulasi mengenai penyertaan beliau dalam politik.



Secara tradisional, sesetengah calon yang bertugas dalam perkhidmatan awam akan meletak jawatan dan menyertai NTUC.



Contohnya, Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Zainal Sapari, merupakan mantan superintenden di Kementerian Pendidikan yang menyertai NTUC sebelum bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2011.



Berhubung Encik Fahmi, gambaran paling jelas mengenai kemungkinan beliau menyertai politik diberikan oleh Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong menerusi satu catatan Facebook Mac lalu.



Encik Goh berkata 'pasukan impiannya bagi GRC West Coast atau di mana-mana' terdiri daripada mantan ketua eksekutif IHH Healthcare, Encik Tan See Leng; Encik Fahmi; AP SMC MacPherson Cik Tin Pei Ling; dan AP SMC Mountbatten Encik Lim Biow Chuan.



Ahli korporat lulusan Harvard, relawan di Woodlands



Seorang lagi yang disebut-sebut sebagai calon potensi ialah ahli korporat, Cik Mariam Jaafar, 43 tahun, pengarah urusan dan rakan kongsi Boston Consulting Group (Singapore).



Lulusan sarjana daripada Universiti Harvard itu telah menyumbang tenaga sebagai sukarelawan bersama akar umbi di kawasan undi Woodlands di bawah GRC Sembawang sejak beberapa bulan lalu.



Beliau berkhidmat di Sesi Bertemu Penduduk (MPS) bersama Anggota Parlimen kawasan itu, Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Amrin Amin.



Sebelum pemutus litar Covid-19 awal pada April lalu, beliau juga telah berjalan-berjalan menemui penduduk di Kelab Masyarakat Woodlands Galaxy, Woodlands North Plaza, Kelab Masyarakat Woodlands.



Ditanya apakah beliau akan ditampilkan sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang beliau memberitahu Berita Harian: "Saya hanya ingin membantu seberapa boleh dalam masyarakat, lebih-lebih lagi dengan ramai orang dalam masyarakat yang terjejas teruk oleh Covid."



Cik Mariam berkata beliau kini menyumbang kembali kepada masyarakat setelah meraih pendidikan yang baik, yang membuka pelbagai peluang dalam kehidupannya.



"Saya berasa amat bersyukur diberi banyak peluang dan menerima banyak kebaikan," ujarnya.



Jurutera mahu bantu warga dakap teknologi



Jurutera, Encik Mohamed Sharael Mohd Taha, 38 tahun, pula aktif di GRC Pasir Ris-Punggol sejak awal tahun ini.



Encik Sharael, naib presiden strategi dan pejabat pengurusan projek di Singapore Aero Engine Services Ltd (SAESL), kerap dilihat mendekati penduduk kawasan undi Pasir Ris East bersama Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Zainal Sapari.



Selain membantu dengan pengagihan pelitup kepada penduduk, Encik Sharael juga tampil berkongsi tentang pelbagai daya usaha dan skim yang boleh membantu mereka menghadapi masa sukar sekarang.



Misalnya, beliau melakukan demikian menerusi perbincangan yang diadakan menerusi sesi Facebook Live bagi topik seperti Skim Pelepasan Pendapatan Bagi Individu Bekerja Sendiri (SIRS), Program Pelatih SGUnited dan bagaimana untuk memanfaatkan SkillsFuture.



Apabila ditanya rancangannya selepas ini, Encik Sharael berkata beliau amat prihatin tentang usaha mempersiap golongan belia bagi ekonomi baru, melengkapkan pekerja pertengahan usia dengan kemahiran baru serta membantu warga emas mendakap teknologi.



Peguam terajui M3@Choa Chu Kang



Peguam korporat, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, pula aktif di peringkat akar umbi Choa Chu Kang sejak 2017, yang bermakna beliau bukan 'muka baru' di kawasan itu.



Beliau kerap mendekati penduduk kawasan tersebut bersama Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara) dan Anggota Parlimen (GRC Choa Chu Kang) Zaqy Mohamad.



Kededuanya bersama anggota akar umbi lain baru-baru ini mengunjungi pasukan penjagaan kesihatan di poliklinik Choa Chu Kang, Family Medicine Centre @ KHCC dan klinik-klinik di Keat Hong untuk mengucapkan terima kasih atas usaha mereka membantu Singapura menghadapi situasi Covid-19 ini.



Pos tersebut telah dimuatnaik Encik Zaqy ke Facebooknya baru-baru ini.



Encik Zhulkarnain juga dipaparkan dalam satu lagi pos Encik Zaqy di mana beliau telah membantu pengagihan pelitup di beberapa Pusat Jawatankuasa Penduduk di kawasan Choa Chu Kang.



Sebelum ini, beliau pernah menjadi Pengerusi AMP Singapura, serta pengarah Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan Setiausaha Kehormat Rumah Wanita Casa Raudhah.



Encik Zhulkarnain, seorang rakan kongsi di Dentons Rodyk, juga dilantik Pengerusi Pengerusi M3@Choa Chu Kang tahun lalu.



Pensyarah politeknik tabur bakti di Pasir Ris-Punggol



Pada November lalu, pensyarah Dr Wan Rizal Wan Zakariah, 41 tahun, tampil berucap semasa Majlis Anugerah PAP65 dan Konvensyen PAP untuk mengongsi pengalamannya.



Dalam ucapan itu, beliau telah mengongsi laluan pendidikannya daripada aliran normal di sekolah menengah ke politeknik, hingga beliau meraih ijazah sarjana muda dan kemudian ijazah Doktor Falsafah (PhD).



Beliau kini merupakan pensyarah kanan di Sekolah Sukan, Kesihatan dan Riadah, Politeknik Republik (RP)



Dr Wan Rizal mula aktif sebagai aktivis Parti Tindakan Rakyat (PAP) sejak lebih dua tahun lalu atas dorongan Encik Zainal Sapari, dan kerap membantu di Divisyen Pasir Ris East dan Divisyen Punggol East.



Baru-baru ini, beliau muncul dalam satu webinar SkillsFuture anjuran Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central Singapore, bersama mayor Cik Denise Phua dan Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo.



Peguam, relawan muda gemar bantu penduduk



Peguam korporat, Cik Nadia Ahmad Samdin, 28 tahun, pula merupakan antara relawan muda yang aktif di peringkat akar umbi dan nasional.



Beliau telah dilihat membantu di akar umbi Ang Mo Kio bersama Anggota Parlimen (AP) kawasan itu, Dr Intan Azura Mokhtar.



Cik Nadia mula berkecimpung dan aktif sebagai seorang sukarelawan sejak berusia 15 tahun.



Beliau kini memegang beberapa jawatan termasuk sebagai anggota Majlis Pembangunan Masyarakat South East (SECDC), di mana Cik Nadia merupakan anggota termuda majlis itu apabila mula dilantik pada 2014.



Selain itu, beliau merupakan anggota lembaga pengarah Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dan anggota jawatankuasa kecil Majlis Perwakilan Wanita Singapura (SCWO).



Cik Nadia juga aktif dalam badan Melayu antara lain sebagai anggota lembaga pengarah Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).



Peralihan dan perubahan



Dengan spekulasi mengenai enam individu yang mungkin bertanding sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) ini, sumber-sumber BH juga mengatakan beberapa AP Melayu dijangka berpindah kawasan undi.



Antara mereka ialah Encik Zaqy, yang dijangka berpindah dari GRC Chua Chua Kang ke GRC Marsiling-Yew Tee, mengisi kekosongan yang ditinggalkan Presiden Halimah Yacob sebelum ini.



Seorang lagi, Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin Amin, pula dijangka meninggalkan GRC Sembawang untuk menganggotai GRC Sengkang - antara kawasan undi baru yang diumumkan menyusuli semakan sempadan kawasan undi pada Mac lalu.



Calon Pembangkang



Sementara itu, parti pembangkang kini turut mempersiapkan barisan calon mereka, termasuk beberapa muka baru calon Melayu/Islam.



Pada 18 Jun lalu, Parti Kemajuan Singapura (PSP) pula mendedahkan lima muka baru, termasuk Encik Muhammad Taufik Supan, 40 tahun, seorang pengurus projek IT.



Dalam satu sidang media maya PSP untuk memperkenalkan individu itu, Encik Taufik menarik perhatian tentang isu ketidaksamaan pendapatan dan meluahkan harapan ingin memperjuang isu relevan kepada masyarakat Melayu.



"Saya percaya ianya penting untuk menyelami akar punca masalah. Isu seperti pendidikan, kemiskinan, ketidaksamaan, dan diskriminasi mesti diatasi," ujar Encik Taufik.



Antara muka baru yang dilaporkan bergerak aktif bersama Parti Pekerja (WP) pula ialah peguam Encik Fadli Fawzi, 39 tahun.



Encik Fadli telah dilihat membantu di Sesi Bertemu Penduduk ketua WP, Encik Pritam Singh, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied.



Encik Fadli meraih pendidikan guamannya daripada program Doktor Juris di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), menurut biodatanya di laman Inkwell Law Corporation. Laman firma guaman tersebut menyenaraikan Encik Fadli sebagai antara anggota pasukannya.



Sebelum memasuki bidang guaman, beliau bekerja sebagai seorang pegawai pembangunan dasar kanan di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). - Laporan tambahan ERVINA MOHD JAMIL, SITI AISYAH NORDIN




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >